Kita tumpu pada isu yang tak selesaikan masalah – Dr. Maza

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, tokoh politik seharusnya mencari orang agama dengan tujuan untuk membangunkan umatnya dan mendengar nasihat yang benar.

Ujarnya, di sisi lain, orang agama perlu kerjasama daripada orang politik dengan tujuan melakukan islah pembaharuan, memperbetulkan keadaan, maka kita akan kuat.

Beliau berkata demikian menerusi rancangan bual bicara ‘Eksklusif Bersama Dr Maza’ yang dihoskan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dan disiarkan secara langsung semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Ikuti wawancara penuh bersama tokoh agama ini yang turut menyentuh pelbagai perkara termasuk soal trend agama masa kini, pimpinan negara, pembangunan masyarakat serta isu-isu yang menarik.

JOHAN: Bagaimanakah kita hendak pastikan bahawa kita boleh mengulang kegemilangan satu masa dahulu pada zaman ini, dalam keadaan di mana kita sebagai umat Islam ini dikatakan lemah?

MOHD ASRI: Saya rasa kita tidak ke arah itu. Seketika kita ada zaman pembaharuan daripada dunia yang agak gelap, kita menghargai peristiwa yang lepas iaitu semangat tokoh-tokoh yang lepas. Tetapi dahulu kita melihat agama banyak tertutup pemikiran mereka. Hal itu pernah berlaku di tempat kita. Kemudian orang perempuan tidak boleh pergi belajar, kita ada golongan reformis, al-Hadi dan seterusnya. Demikian hal-hal itu, akhirnya orang Islam melangkah ke hadapan. Kita boleh melihat orang agama sudah ada standard mereka dan sudah mula perkatakan soal pembangunan dan seumpama itu.

Saya menghargai orang membuka sekolah agama untuk tujuan kebaikan. Tetapi saya lihat sekolah agama dibuka dengan lebih banyak. Jakim kata 1,000 sekolah agama yang tidak didaftarkan pada dua atau tiga tahun yang lepas. Saya tidak nafikan ada sekolah yang bagus. Mereka buka tahfiz, sekolah agama dan mereka mengajar.

Tiga atau empat guru mengajar sekolah agama dengan 50 atau 60 orang pelajar. Ibu bapa di bandar hantar anak-anak “kau mesti jadi baik kerana saya dahulu pernah mengalami pengalaman yang macam-macam dan saya nak anak saya menjadi orang yang beragama”. Melalui proses ini, kemudian kita akan tengok produknya ialah produk meniru acuan ustaz berkenaan bukan pemikiran agama yang keseluruhan.

Ada pandangan yang mengatakan asalkan Melayu Islam lakukan rasuah atau salah guna kuasa tidak mengapa. Apakah komen Datuk?

Saya pun tidak gemar dengan slogan itu. Mana yang lebih baik, jika sekiranya Melayu Islam rasuah berbanding Melayu bukan Islam tetapi tidak rasuah? Itu juga satu perbandingan yang memerangkap kita. Kenapa mesti dibandingkan? Perbandingan itu saya tidak gemar. Kita ada Melayu Islam yang tidak rasuah cuma kita gagal. Kita gagal kerana kita. Seorang wakil rakyat di kampung kita, kita nak wakil rakyat itu melawat kampung, jamu kita dengan makanan, salam dengan kita dan beri duit.

Maka itu wakil rakyat kebanggaan kita kerana dia mesra rakyat. Sedangkan itu bukan tugasan dia, kalau dia buat seperti itu, habis duit gaji dia. Dia kena mencari sumber pendapatan yang lain. Kalau kita ada wakil rakyat yang cemerlang, ada idea boleh bercakap di Dewan Undangan Negeri (DUN) dia, tetapi dia tidak dapat pergi kenduri dan beri RM500 kepada semua, dia tidak akan popular, kita yang mahukan demikian. Demikianlah kita mendapat pemimpin yang korup dan mengamalkan rasuah dalam negara kita.

Banyak orang mengatakan keserasian di antara Islam dan orang Melayu. Akhir-akhir ini masyarakat mengetepikan aspek Melayu itu untuk menonjolkan keIslaman seseorang itu. Apakah komen Datuk?

Itu kita kena akui. Kita ada penjajahan Portugal, Belanda, British dan juga Jepun tetapi orang Melayu tidak bertukar agamanya.

Ia kerana elemen kehidupan, pegangan orang Melayu itu kuat pada asalnya. Walaupun mungkin pengamalan agama itu kurang tetapi aqidahnya tidak berubah.

Tetapi apa yang berlaku, apabila kita lihat kita mula dimomok dengan ketakutan seperti kalau baca Bible dalam bahasa Melayu, kita akan masuk Kristian. Momokan ini datang daripada golongan-golongan yang tidak matang agamanya dan ini menafikan kekukuhan orang Melayu itu dalam beragama.

Sebab itu agama bukan menyatakan buang baju kita dan pakai pakaian Arab. ALLAH SWT kata supaya kita saling mengenali agama satu bangsa dengan satu bangsa yang lain. Ia tidak menyatakan supaya diselaraskan semua agama mereka.

Kadang-kadang tumpuan kita hanya pada bincang perkara-perkara yang kecil. Pada waktu yang sama, kita tumpu sepenuhnya kepada diskusi arak yang kita tidak minum, Nur Sajat dan sebagainya. Jadi apakah komen Datuk mengenai perkara ini?

Sebagai contoh kita selalu mengeluh makanan. Ada makanan yang halal dan tidak halal. Tetapi kita tidak fikir keluarkan produk kita sendiri. Apabila kita ambil produk orang, begitulah jadinya kita. Pada saya kalau isu asasnya, berapa ramai pekerja Islam yang bekerja di industri yang membabitkan arak. ALLAH SWT bukan sahaja melaknat peminum arak, tetapi juga orang yang bawa arak, orang yang diminta membawa arak dan orang yang menuang arak.

Semua itu terbabit dalam arak. Tetapi kita bincang arak Timah, kita lupa di kedai-kedai, anak-anak kita yang bekerja di kaunter dan kena menjual arak. Sebab pasar raya yang tidak dikuasai oleh orang kita. Kalau kita menguasai pasar raya- pasar raya yang besar tentunya kita memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak kita. Dan ini saya lihat kita tidak tumpu.

Kita tumpu pada hal yang bukan dapat menyelesaikan masalah tetapi yang sedap untuk didebatkan.

Apakah nasihat kepada pimpinan negara dalam konteks Islam yang sesuai diambil untuk negara kita, mengambil kira soal toleransi antara satu sama Islam

Soal toleransi saya rasa kita tidak begitu gusar. Kalau lihat di negara luar, toleransi mereka tidak sampai ke mana-mana pun. Negara-negara yang kononnya juara perjuangkan demokrasi, mereka pun gagal untuk menunaikan apa yang dikatakan toleransi.

Cuma nasihat saya kepada pemimpin agama, ramai orang politik mencari orang agama kerana pengaruh agama memperkuatkan politik. Orang agama mencari orang politik kerana kuasa politik dapat mempertahankan kedudukan mereka dalam posisi-posisi agama. Kerjasama ini saling memerlukan atas kepentingan agama.

Orang politik mencari orang agama bertujuan untuk membangunkan umatnya, dan mendengar nasihat yang benar.

Orang agama mencari orang politik dengan tujuan melakukan islah pembaharuan, memperbetulkan keadaan, maka kita akan kuat.

Itu sangat bergantung kepada niat dan tujuan kita, antara dua puak ini menghampiri antara satu sama lain.

Hubungan kerjasama antara orang politik dan orang agama amat bergantung kepada niat dan tujuan kedua-dua pihak tersebut.

Kita tumpu pada isu yang tak selesaikan masalah – Dr. Maza


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Permohonan Najib masukkan bukti baharu didengar 7 Disember

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker