Sejauh manakah bahayanya Omicron?

BARU-baru ini, para saintis di Afrika Selatan mengumumkan bahawa mereka menemui varian baharu Covid-19, Omicron pada 25 November lalu sehingga mencetuskan kebimbangan meluas di kebanyakan negara yang sedang menjalani fasa pemulihan ekonomi.

Menurut kajian saintis itu, varian tersebut mampu melakukan banyak mutasi selain dianggap sangat berbahaya kepada manusia.

Pada awal bulan ini varian itu dikenali sebagai B.1.1.529 sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertindak menukarkan namanya menjadi Omicron pada Jumaat lalu.



Ia turut mengklasifikasikan varian itu sebagai membimbangkan manakala penerbangan yang datang dari selatan Afrika dilarang daripada memasuki kebanyakan lapangan terbang di dunia

Sebahagian negara di dunia pula bertindak mengharamkan atau menyekat pengembara yang datang dari negara-negara selatan Afrika.

Antara negara-negara yang telah pun melaksanakan larangan mengembara ke selatan Afrika ialah Qatar, Amerika Syarikat (AS), Britain, Arab Saudi, Kuwait dan Belanda.

SAMPEL OMICRON



Afrika Selatan juga telah mengesahkan kira-kira 100 spesimen B.1.1.529 tetapi varian itu turut ditemui di Botswana dan Hong Kong manakala sempadan Israel juga ditutup kepada pengembara bagi mengelak penyebarannya.

Israel juga berjaya mengesan satu kes awal varian itu daripada seorang individu yang datang dari Malawi, Afrika manakala Belgium, Belanda, Kanada, Autralia, Itali, Jerman, Republik Czech dan Britain juga mendapati varian tersebut terdapat di negara masing-masing.

Varian itu dikesan buat pertama kali oleh para saintis berdasarkan sampel yang diambil dari wilayah Gauteng, Afrika Selatan, Botswana dan Hong Kong.

Sejumlah negara di dunia tidak menerima penerbangan dari beberapa negara benua Afrika ekoran penularan varian Omicron. - Foto AFP
Sejumlah negara di dunia tidak menerima penerbangan dari beberapa negara benua Afrika ekoran penularan varian Omicron. – Foto AFP

Seorang doktor yang mengendalikan sebuah klinik dan kini merupakan Pengerusi Persatuan Perubatan Afrika Selatan serta berpengalaman dalam bidang perubatan selama lebih 30 tahun, Dr Angelique Coetzee mendedahkan bahawa pesakit-pesakit yang dijangkiti varian tersebut menunjukkan simptom-simptom luar biasa.



Beliau yang mengesan kewujudan varian itu pada awal bulan ini menjelaskan bahawa para pesakit yang dijangkiti Omicron tidak mempunyai simptom kehilangan deria bau seperti yang kerap dikaitkan dengan pesakit-pesakit Covid-19.

Coetzee mendedahkan kepada akhbar The Telegraph bahawa beliau merupakan individu pertama yang membangkitkan kemungkinan wujudnya varian baharu Covid-19 apabila terdapat pesakit yang datang mendapatkan rawatan di kliniknya di Pretoria, Afrika Selatan.

Beliau menceritakan bahawa pesakit-pesakit itu yang terdiri daripada seorang pemuda dan kanak-kanak berusia enam tahun mengalami kepenatan melampau manakala kadar denyutan jantung pula laju dan tidak mengalami kehilangan deria rasa serta bau.

Kanak-kanak itu turut mengalami peningkatan suhu badan.



KEPENATAN MELAMPAU

Pada 18 November lalu, apabila empat anggota daripada sebuah keluarga diuji positif Covid-19 dan mengalami kepenatan melampau datang ke kliniknya, Coetzee telah bertindak dengan memberitahu perkara tersebut kepada sebuah jawatankuasa penasihat vaksin di negara itu.

Doktor itu turut memberitahu bahawa kira-kira dua dozen pesakitnya telah diuji positif Covid-19 dengan simptom-simptom tersebut dan mereka merupakan lelaki yang sihat tetapi berasa terlalu letih dengan separuh daripadanya belum mendapat vaksin.

Bagaimanapun, doktor tersebut menjelaskan bahawa kesemua simptom baharu yang ditemui itu masih di peringkat lemah dan beliau menyatakan kebimbangan bahawa varian tersebut mungkin mencetuskan bahaya kepada golongan tua.



Pesakit-pesakit yang dijangkiti dengan varian itu termasuk kanak-kanak tersebut kembali sembuh seperti sedia kala setelah mendapat rawatan di kliniknya.

Namun, ketika ini, Omicron didapati lebih berbahaya berbanding varian-varian lain walaupun pakar-pakar kesihatan masih tidak mengetahui jika ia akan menyebabkan kesan yang lebih teruk kepada para pesakit Covid-19.

Seorang tokoh virologi, Tulio de Oliveira pula menyatakan setakat ini terdapat kira-kira 50 mutasi varian itu.

Ia juga mempunyai mutasi yang paling banyak dan mudah untuk dijangkiti serta disebarkan, kata Profesor Mosa Moshabela iaitu Timbalan Naib Canselor Bahagian Penyelidikan dan Inovasi di Universiti KwaZulu-Natal, Afrika Selatan.



Walaupun, sejumlah negara Barat telah mengambil langkah awal untuk tidak membenarkan kemasukan pelawat dan penerbangan dari selatan Afrika, Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa mengkritik langkah tersebut.

Kritikan itu dibuat kerana WHO tidak melarang sekatan penerbangan dari Afrika Selatan dilakukan buat masa ini.

Ramaphosa juga mengkritik langkah itu kerana ia boleh menjejaskan ekonomi yang kini sedang dalam fasa pemulihan.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan warganya supaya mengambil dos vaksin tersebut kerana ia didapati berkesan menghalang penularan Covid-19.- Agensi

Sejauh manakah bahayanya Omicron?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


AstraZeneca Sedia Hasilkan Vaksin Terbaru Kekang Varian Omicron

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker