Perkhidmatan JPJ seluruh Malaysia masih seperti tahun 80-an

Perkhidmatan JPJ seluruh Malaysia masih seperti tahun 80-an

Mutu perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa ketinggalan zaman kerana masih mengamalkan layanan seperti dalam era 1980-an apabila pelanggan dikatakan perlu menunggu dan beratur panjang.

Situasi itu didakwa Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL), Mohd. Haron Mohd. Sidik yang memberitahu situasi berkenaan bukan sahaja berlaku di Johor seperti dakwaan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Menurutnya, situasi berkenaan bukan perkara baharu dan mempersoalkan jika kerajaan tidak pernah menyedari masalah itu selama ini.

“Pelanggan masih perlu berbaris panjang di luar pejabat. Pelanggan terdedah dengan hujan dan panas terik.Di mana kesilapan yang sebenarnya? Dari sembang-sembang di kedai kopi, bila menteri turun padang, itu tandanya Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) sudah dekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Ka Siong berkata, sistem perkhidmatan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedia ada berusia lebih 10 tahun kuno dan perlu dimodenkan selari dengan era digitalisasi.

Beliau yang melakukan lawatan mengejut ke Ibu Pejabat JPJ Johor semalam turut menegur agensi kerajaan tersebut agar memantau kesesakan yang berlaku di ibu pejabatnya, khususnya pada hari Ahad.

Dalam pada itu, Mohd. Haron berkata, tindakan Ka Siong kononnya adalah untuk menunjuk sikap prihatin dengan nasib rakyat, sedangkan beliau memberitahu pernah menegur beberapa kali sebelum ini namun tiada tindakan susulan.

“Ramai dalam kalangan rakyat menegur juga di dalam suratkhabar, facebook dan lain-lain media tetapi macam biasa tiada sebarang usaha untuk membaiki keadaan.

“Kita ambik contoh JPJ Cawangan Petaling Jaya, sudah beberapa kali persatuan tegur, mutu perkhidmatannya sangat teruk,” selarnya.

Jelasnya lagi, di cawangan berkenaan, orang ramai perlu berbaris panjang sehingga perlu buat pusingan di luar pejabat tersebut walaupun dalam keadaan cuaca panas untuk berurusan di kaunter JPJ.

“Bangunan JPJ Petaling Jaya itu dua tingkat tetapi tidak mahu dibaik pulih. Sedangkan ramai pelanggan ke sana setiap hari, duit banyak masuk tetapi malangnya bangunan ini tidak digunakan sepenuhnya,” dakwanya. Utusan

Perkhidmatan JPJ seluruh Malaysia masih seperti tahun 80-an


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Buli jalan raya rampas beg tangan (Video)

Satu Malaysia kena ‘game’ dengan Tauke

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker