PRU-15: Kepentingan rakyat adalah keutamaan, tarikh boleh dibincang – Pengerusi BN

KUALA LUMPUR: Memorandum persefahaman (MoU) kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) bukan ‘kitab suci’ untuk tidak membenarkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan sebelum Julai 2022.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun ia tidak bermakna MoU tersebut perlu dilanggar tetapi boleh dirundingkan demi mendapatkan keputusan secara konsensus.

“Kita boleh memberi pandangan tetapi keputusan untuk pilihan raya awal berdasarkan daripada nasihat. Dan nasihat itu sudah tentu mengambil kira sebagai faktor termasuk MoU yang ditandatangani di mana dalam MoU itu pilihan raya boleh diadakan selepas Julai 2022.



“Kita menghormati MoU itu, tetapi MoU itu bukan kitab suci, jauh daripada ayat-ayat tercatat dalam al-Quran. Selain daripada itu, insya-Allah boleh diubah.

“Saya tidak fikir kita harus melanggar tetapi yang terbaik adalah kita berunding dan semua pihak sudah pasti ada pandangan yang berbeza dan secara konsensus. Keputusan majoriti akan dibuat berdasarkan kepada hasil perbincangan yang diadakan,” katanya dalam pertemuan di Parlimen, Khamis lalu.

MoU antara kerajaan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan PH itu ditandatangani pada 14 September lalu dengan menggariskan beberapa ikrar daripada kedua-dua pihak.

Antaranya ialah kerajaan berjanji untuk tidak membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU sekurang-kurangnya sehingga 21 Julai 2022 bagi memberi ruang kepada pelaksanaan pelbagai pembaharuan dituntut PH.



Sebagai balasan, PH tidak akan menyekat sebarang agenda utama kerajaan.

Total war UMNO-Bersatu pasti berlaku dalam PRU-15

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sebarang keputusan untuk mengadakan PRU perlu mengambil kira semua faktor termasuk kepentingan rakyat yang seharusnya menjadi keutamaan.



“Dalam soal begini, jangan pertimbangkan politik sahaja harus dijadikan kayu ukur. Kita perlu lihat juga bagaimana perasaan rakyat. Bagaimana kedudukan ekonomi serta soal kehidupan rakyat keseluruhannya.

“Dalam hal ini, tentunya nasihat yang diberikan akan mengambil faktor mengutamakan rakyat, tetapi harus diingat bahawa kestabilan politik akhirnya dapat memberikan pertumbuhan ekonomi yang baik dan juga soal penyatuan ummah keseluruhannya,” katanya.

Ditanya adakah sekarang masa yang sesuai untuk mengadakan PRU memandangkan Barisan Nasional (BN) menang majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu, Ahmad Zahid berkata, beliau tiada kuasa untuk menentukannya.

“Saya tidak ada kuasa untuk menentukan bilakah tarikh atau tempoh yang tepat untuk mengadakan PRU kerana ia merupakan kuasa mutlak Agong atas nasihat Perdana Menteri. Maka pandangan parti hanya boleh diberikan tetapi tentunya seseorang yang menasihatkan Agong mempunyai pertimbangan mengikut perkiraan yang ada pada dirinya.



“Saya melihat soal masa ini berubah-ubah. Mungkin satu ketika dulu pemimpin berjanji mengadakan pilihan raya tiga atau empat bulan selepas kepemimpinannya (tapi) perkara ini tidak dilakukannya. Mungkin masa itu sesuai pada kita tetapi tidak sesuai pada dia. Akhirnya apa yang dijanjikan jatuh ke laut,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

PRU-15: Kepentingan rakyat adalah keutamaan, tarikh boleh dibincang – Pengerusi BN


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




PAS akan bincang dengan UMNO hadapi PRU-15

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker