‘Takut PKP berulang lagi, kami tetap nak nikah’

TANAH MERAH: ‘Jika patah sayap rajawali, bertongkat jua kami ke mari’

Demikian digambarkan betapa bulatnya tekad bakal pengantin di negeri ini yang ingin berkahwin sebaik sahaja kelonggaran diberikan apabila Kelantan memasuki fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Fenomena ‘berebut mahu nikah’ itu diakui jurugambar perkahwinan, Muhammad Alif Idris, 30, yang tidak menang tangan melayani pelanggan tidak putus-putus menghubunginya sejak dua bulan lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Alif memberitahu, tiada lagi slot kosong untuk perkhidmatannya bagi November dan Disember, manakala bagi Januari dan Februari pula, tempahan hampir penuh.

“Sampai kebas jari saya membalas kiriman Whatsapp yang bertanyakan pakej gambar perkahwinan sejak dua bulan lalu, berterusan sehingga ke hari ini. Semua bakal pengantin berebut mahu nikah secepat mungkin.

“Mereka sudah tidak peduli hari apa nak nikah, sama ada hari biasa atau minggu, hari cuti atau kerja. Hari apa-apa pun mereka sanggup, asalkan dapat nikah. Apabila ditanya kenapa, rupa-rupanya kerana bimbang PKP berulang,” katanya di sini baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Muhammad Alif berkata, dia amat bersyukur menerima tempahan tidak putus-putus itu memandangkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, dia hilang punca pendapatan berbulan-bulan lamanya.

“Dalam tempoh PKP, aktiviti mengambil gambar perkahwinan dilarang. Jadi saya habiskan masa membantu menguruskan kolam air tawar milik bapa saudara bagi menyara diri dan keluarga,” katanya.

Turut ‘habis ditempah’ untuk dua bulan akan datang, perkhidmatan pengusaha Butik Putera Bridal merangkap perancang perkahwinan, Nurul Atiqah Mohamad Nor, 31, yang mengakui, fasa tiga PPN memberi rezeki melimpah ruah kepadanya.

“Dalam tempoh perintah PKP, saya terpaksa membuat pekerjaan lain bagi menampung sewa kedai setiap bulan. Antaranya, berniaga kosmetik, brownies dan kek secara dalam talian. Ketika itu, semua busana dan perhiasan perkahwinan rosak atau berhabuk.

“Sejak bulan lalu saya sudah kembali membuat busana, membina pelamin dan pelbagai lagi hiasan perkahwinan mengikut permintaan pelanggan. Tempahan yang saya terima sekarang adalah hingga ke cuti Tahun Baharu Cina tahun depan,” katanya. – UTUSAN

‘Takut PKP berulang lagi, kami tetap nak nikah’


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Saya dah beri amaran, dasar PN akan sebabkan inflasi lebih teruk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker