TEKUN bantu usahawan mikro industri halal

Sebaran :

TEKUN bantu usahawan mikro industri halal

Usaha melahirkan usahawan berdaya saing termasuk meningkatkan pembangunan keusahawanan dan menggalakkan usahawan dipacu oleh inovasi antara agenda dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Justeru, bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi yang menjadi fokus pertama RMKe-12, beberapa industri strategik dan berimpak tinggi seperti industri halal akan dilonjakkan manakala transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan diperkasa.

Dianggarkan, dalam tempoh RMKe-12 (2021-2025), pencapaian sasaran pertumbuhan ekonomi PMKS dianggarkan mampu menyumbang sehingga 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 25 peratus kepada jumlah eksport pada 2025.



Bagi industri halal pula, dijangkakan bahawa menjelang 2030, pasaran halal global dijangka mencecah AS$5.0 trilion manakala pasaran domestik pula dianggarkan mencecah AS$113.2 bilion.

Ini menunjukkan bahawa industri halal kekal mempunyai potensi yang besar untuk diperkasakan dengan strategi terancang dan inklusif.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui agensinya, TEKUN Nasional akan membantu membimbing usahawan untuk memulihkan perniagaan mikro yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dari segi pensijilan halal bagi memberi nilai tambah terhadap pasaran perniagaan.

Sehubungan itu, MEDAC mengambil langkah proaktif dengan menerapkan pendekatan realistik dan praktikal menerusi Program Pembangunan Keusahawanan Halal (PPKH) untuk memperkukuh kemampuan usahawan dan koperasi memacu sektor halal.



Inisiatif program dikelola MEDAC itu memberi fokus kepada pembangunan modal insan usahawan dan koperasi, menaik taraf produk, peningkatan produktiviti serta pengantarabangsaan menerusi empat program utama yang strategi dirangka bagi meningkatkan keupayaan ekosistem halal.

Empat program utama terbabit merangkumi Program Pembangunan Kapasiti Usahawan (Halal Outreach Programme for Entrepreneurs – HOPE), Program Pembangunan Kapasiti Produk (Produk Transformation Programme – PuTRA), Program Adaptasi Teknologi dan Inovasi (Halal Technology and Transformation Programme – HTTP) dan Pengantarabangsaan (Product Registration Incentive – PRInce dan Market Access Incentive – MASSIVE).

Usaha giat digerakkan bersama TEKUN Nasional sebagai salah satu agensi utama yang diberi tanggungjawab penuh untuk memberi bantuan bimbingan kepada usahawan mikro memperoleh pensijilan halal.

30 usahawan dibimbing mohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM)



Melalui program keusahawanan halal yang dilaksanakan sejak 2020, terdapat tiga program utama membabitkan usahawan TEKUN Nasional yang sedang dilaksanakan iaitu HOPE, PuTRA dan Adaptasi Teknologi dan Inovasi (HTTP).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adam Abd Ghani berkata seramai 30 usahawan dibimbing untuk mendapatkan pensijilan halal menerusi program HOPE.

Katanya, selain pensijilan halal, TEKUN Nasional turut memainkan peranan dalam membangunkan perniagaan usahawan di bawah agensi itu termasuk pembangunan produk, penjenamaan, pelabelan dan pembungkusan.

“Bagi program PuTRA, TEKUN Nasional turut terbabit dalam pembangunan pembungkusan dan pelabelan 25 SKU produk halal bagi 13 usahawan.

“Selain itu, lima usahawan turut terbabit dalam program HTTP bagi aktiviti menaik taraf peralatan mesin pengeluaran produk bagi membolehkan usahawan memenuhi permintaan pasaran mereka,” katanya.

Komited bantu usahawan tingkat prestasi perniagaan

Kata Adam, TEKUN Nasional komited dalam membimbing dan membantu usahawan mikro mendapatkan pensijilan halal, meningkatkan kualiti dan produktiviti perniagaan melalui inovasi pembungkusan dan menaik taraf peralatan, mesin serta teknologi dalam pengeluaran produk.

“Terdapat beberapa kaedah dijalankan dalam usaha membantu usahawan mikro supaya turut terbabit dalam komuniti dan ekosistem halal di negara ini.

“Melalui program latihan dan bimbingan keusahawanan yang dijalankan, usahawan akan diberikan pemahaman mengenai pensijilan halal menerusi Program Kesedaran Halal yang dikendalikan khusus buat usahawan.

“Usahawan akan diberikan pendedahan berhubung konsep pensijilan halal dan kepentingan pensijilan halal terhadap perniagaan dijalankan mereka memandangkan ia mampu memberi nilai tambah terhadap perniagaan,” katanya.

Tingkat kesedaran usahawan kepentingan sijil halal

TEKUN Nasional akan turut bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi menjalankan program latihan buat kakitangan serta memberi kesedaran kepada usahawan dan memahami kaedah dalam proses mendapatkan pensijilan halal.

Adam berkata, program dan inisiatif seperti PPKH perlu dilaksanakan secara berterusan membabitkan lebih ramai usahawan TEKUN Nasional bagi meningkatkan pertumbuhan industri halal khususnya dalam kalangan usahawan mikro.

“Bagi menembusi pasaran halal tempatan dan antarabangsa, persediaan utama perlu dilakukan antaranya seperti memberi kesedaran dan pengetahuan berhubung pensijilan halal secara menyeluruh kepada usahawan.

“Perkara ini penting kerana proses untuk mendapatkan pensijilan halal ini memerlukan komitmen tinggi serta modal tambahan oleh usahawan sendiri.

“Sekiranya usahawan memahami kepentingan pensijilan halal, mereka akan lebih berminat untuk mendapatkan sijil berkenaan bahkan mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan untuk permohonan,” katanya.

Usahawan perlu rebut peluang

Kata Adam, usahawan perlu rebut peluang untuk menceburi pasaran halal bagi membolehkan perniagaan mereka berkembang ke peringkat lebih jauh dalam dan luar negara.

“Selain membuka peluang menjana pendapatan lebih tinggi, akses pasaran perniagaan usahawan yang memiliki pensijilan halal juga luas.

“Kualiti dan produktiviti pengeluaran produk perniagaan supaya mendapat sambutan yang lebih tinggi dapat dipertingkatkan.

“Keyakinan pengguna juga meningkat di samping dapat mewujudkan satu standard kualiti tinggi bagi usahawan yang menceburi pasaran halal,” katanya.

Ambil positif cabaran dihadapi

Beliau mengakui usaha dikendalikan itu turut memberi cabaran tertentu, namun dilihat sebagai satu peluang oleh TEKUN Nasional.

“Antara cabaran perlu dihadapi adalah kurangnya pemahaman dan pengetahuan mengenai pensijilan halal dalam kalangan usahawan TEKUN Nasional berhubung kepentingan pensijilan halal, proses untuk mendapatkan pensijilan halal dan penjenamaan produk.

“Kekangan menampung kos tambahan bagi mendapatkan pensijilan halal seperti konsultansi dan pengubah suaian premis mengikut kriteria yang ditetapkan turut menjadi cabaran.

“Perkara itu membuatkan usahawan lebih selesa dengan kualiti dan konsep penjenamaan produk sedia ada, malah hilang minat bagi menjalankan penambahbaikan terhadap pelabelan dan pembungkusan produk mereka,” katanya.

Semua pihak perlu main peranan

Justeru, menurut Adam, menerusi program bimbingan itu lebih ramai lagi usahawan mikro khususnya mendapat pensijilan halal dengan menjamin kelestarian perniagaan yang dijalankan.

“Setiap pihak yang terbabit perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu usahawan mendapatkan pensijilan halal dan pembangunan produk menerusi program kesedaran dan bimbingan secara berterusan.

“Usahawan juga perlu komited untuk membangunkan produk dikeluarkan sehingga mendapat pengiktirafan pensijilan halal,” katanya.

Selain TEKUN Nasional, bagi merealisasikan program PPKH, MEDAC turut melantik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan SME Corp Malaysia sebagai agensi pelaksana selain menjalinkan kerjasama strategik bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain). HM

TEKUN bantu usahawan mikro industri halal


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Gelagat Mak Nubhan Masuk Butik Mewah Buat Ramai Terhibur (Video)

Pas nak lawan UMNO atau PH, tanya Asyraf


Sebaran :

Leave a Reply