BN, UMNO bawa aura ‘feel good’ ke Melaka

BN, UMNO bawa aura ‘feel good’ ke Melaka

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Kemenangan besar diraih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh dianggap satu keputusan luar biasa, namun ramalan awal sudah menjangka kejayaan gabungan UMNO, MCA dan MIC itu, khususnya di kawasan dengan peratusan tinggi pengundi Melayu, di samping ‘track record’ Melaka sendiri sebagai kubu UMNO sejak dulu.

Penulis yang berkampung di Melaka sejak hari penamaan calon 8 November lalu, dapat melihat momentum kemenangan BN bermula pada minggu kedua kempen selepas jentera pilihan rayanya turun dari seluruh negara memenuhi pusat daerah mengundi (PDM) setiap DUN.

Tumpuan gerak kerja mereka terarah kepada mengenal pasti pengundi ‘putih’ atau tegar menerusi ‘kempen’ rumah ke rumah, bersemuka secara umum serta panggilan telefon, dengan sasaran mengenal pasti sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi ‘putih’ di setiap DUN sebelum tempoh berkempen 12 hari berakhir.

Pendekatan ‘sentuhan peribadi’ oleh jentera BN, terutama UMNO yang sememangnya pakar dalam aspek berkenaan, nyata membuahkan hasil dalam menarik sokongan pengundi, khususnya di luar bandar yang mungkin ‘tidak selesa’ dengan kempen secara digital atau dalam talian.

PN juga dilihat menggunakan cara yang sama, namun kekangan jentera pilihan rayanya walaupun dengan sokongan PAS menyebabkan pendekatan sedemikian kurang berkesan.

Menjelang hari mengundi, khususnya sebaik pusat mengundi dibuka jam 8 pagi, tumpuan jentera adalah memastikan pengundi ‘putih’ keluar mengundi sebelum jam 1 tengah hari. Mereka juga menyediakan pelbagai kemudahan khususnya logistik dan pengangkutan untuk memastikan semaksimum mungkin pengundi tegar mengundi sebelum 5.30 petang.

Berdasarkan keputusan kelmarin, jelas mereka yang mengundi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tiga tahun lalu, kekal meneruskan sokongan yang menyaksikan gabungan parti berkenaan mendahului dari segi meraih sokongan undi asas.

Ia ditambah dengan peralihan ketara trend sokongan pengundi atas pagar yang memihak PH pada 2018, kelmarin beralih kepada BN dan sebahagian kecil mengundi PN, sekali gus turut memberi kelebihan kepada BN. Boleh disimpulkan, saingan utama tiga penjuru dalam PRN ini menyaksikan dominasi undi kepada PH pada PRU 2018 berjaya dipecahkan.

Atas sebab itu jugalah, PH khususnya PKR, tewas semua kerusi ditandingi mereka, manakala sekutunya dari Parti Amanah Negara (AMANAH) hanya berjaya mengekalkan DUN Bukit Katil. Prestasi DAP juga merudum apabila sekadar berjaya mengekalkan empat kerusi disandang, iaitu Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Ayer Keroh.

Strategi BN menampilkan lebih 80 peratus muka baharu, sebahagian besarnya dianggap calon digemari penduduk tempatan, membolehkan gabungan itu menggugat kedudukan parti penyandang, di samping berjaya meningkatkan majoriti undi di sesetengah kerusi.

Cukup menarik juga, sokongan pengundi bukan Melayu khususnya pengundi Cina dan India, mula beralih kepada BN. Pola ketara ini dapat disaksikan di hampir semua kerusi yang menyebabkan sebahagian besar kerusi dimenangi DAP pada PRU-14 dirampas kembali oleh BN atau DAP masih menang, namun majoriti undi menurun.

Peralihan ketara pola sokongan undi bukan Melayu turut menyaksikan BN berjaya merampas tiga kerusi DUN daripada PH, iaitu di DUN Machap Jaya yang disadang PKR, selain dua kerusi DAP di Kelebang serta Gadek, yang masing-masing dimenangi calon MCA dan MIC.

Jelas, motto PRN Melaka diperkenalkan BN, iaitu ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ sampai kepada pengundi di negeri berkenaan, khususnya mereka yang ingin kestabilan politik dan mengelak kemelut berulang yang akhirnya menyusahkan rakyat sendiri.

Namun, dari lapisan akar umbi hasil tinjauan selama hampir dua minggu di Melaka, penulis turut mendengar gaya kepemimpinan, komitmen dan usaha dirintis Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO, turut menjadi antara pendorong mereka memilih BN.

Kestabilan politik di peringkat Pusat melalui persefahaman di antara kerajaan Persekutuan dan PH hasil usaha dirintis Perdana Menteri tambah mengukuhkan keyakinan pengundi bahawa kestabilan yang sama boleh diperluaskan ke Melaka, sekali gus rakyat dapat sama-sama meraih manfaatnya.

Usaha berterusan kerajaan untuk memulihkan kembali ekonomi dan menjaga kebajikan seperti pelbagai inisiatif digariskan dalam Bajet 2022 serta Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), turut disambut baik sektor perniagaan dan penggiat industri pelancongan Melaka yang sebelum ini terjejas teruk disebabkan pandemik COVID-19. BH

BN, UMNO bawa aura ‘feel good’ ke Melaka


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Myvi baharu mula dijual, harga bermula RM45,700

Fitnah terbaru RM100j, Najib sekolahkan balik Mahathir

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker