JDT kalahkan Kedah, mara ke separuh akhir

Sebaran :

JDT kalahkan Kedah, mara ke separuh akhir

ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan JDT akan menentang Terengganu FC pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Nerus pada Isnin ini yang bakal menjanjikan pertembungan menarik membabitkan kedua-dua pasukan.

Dalam perlawanan itu, pengendali JDT, Benjamin Mora membuat rombakan kecil apabila menyenarai Gonzalo Cabrera yang beraksi di posisi sayap kiri manakala Guilherme De Paula diturunkan dalam kesebelasan utama mengemudi posisi serangan bagi menggantikan Bergson Da Silva.



Seawal minit kesembilan pasukan tuan rumah dihidangkan peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan selepas bola lorongan Arif Aiman Hanapi ke dalam kotak penalti tepat kepada De Paula namun dia menyepak bola tinggi melepasi palang gol.

Sepanjang 20 minit babak pertama, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak tampak lebih gemar berkampung di kawasan sendiri bagi mengelak skuad Harimau Selatan melakukan percubaan berbahaya ke kubu pasukan Lang Merah.

Tuan rumah sekali lagi mengundang cemas pada benteng pelawat pada minit ke-32 apabila Ariff Aiman yang melakukan sepakan lintang tepat kepada Cabrera yang bertindak merembat bola ke gawang pasukan pelawat namun sempat ditepis penjaga gol, Mohd Shahril Sa’ari.

Ketika aksi berbaki empat minit babak pertama, tuan rumah berjaya memecah kebuntuan jaringan selepas bola umpanan Leandro Velazquez di celah pemain skuad Lang Merah menyaksikan Ariff Aiman menyusup masuk ke dalam kotak penalti dan melepaskan rembatan kencang tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Mohd Shahril.



Sebaik babak kedua bermula, tuan rumah menggandakan asakan apabila Ariff Aiman bertindak secara solo pada minit ke-48 apabila menyusup masuk ke dalam kotak penalti di posisi sayap kanan dan merembat bola namun Mohd Shahril sudah bersedia menangkap bola kemas.

Ariff Aiman bagai duri dalam daging buat skuad Lang Merah apabila hampir mencipta gol kedua peribadi pada minit ke-52 selepas menyambar bola umpanan Velazquez namun bola rembatan deras pemain muda JDT itu sempat ditepis keluar Mohd Shahril.

KDA yang ketinggalan tampak sukar melepasi benteng tuan rumah, malah kelibat Kpah Sherman dan Tchetche Kipre tampak hanya sekadar pelengkap pasukan apabila gagal menyerlah untuk memburu gol. BH

JDT kalahkan Kedah, mara ke separuh akhir




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Myvi Facelift 2022 mula masuk showroom?

Langgar SOP: “YB Pekan Sentiasa Dalam Perhatian Saya” – Khairy Jamaluddin


Sebaran :

Leave a Reply