PRN Melaka: Beri peluang kepada semua calon, RTM ambil langkah berani

Sebaran :

MELAKA – Satu langkah berani, proaktif dan tepat pada masanya.

Demikian reaksi rata-rata calon apabila diminta mengulas mengenai pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa untuk membenarkan poster dan biodata calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula esok.

Mengambil kira kesulitan kempen dan pengundi yang kurang mengenali calon-calon yang bertanding di kawasan masing-masing, mereka menganggap langkah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) itu, sebagai terbaik dan adil buat semua calon.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, langkah KKMM tersebut suatu yang proaktif, terutama dalam keadaan tidak boleh berkempen secara fizikal.



“Satu pembaharuan yang sangat baik dan tahniah kepada KKMM untuk langkah yang sangat proaktif dalam memberi peluang kepada semua calon. Ini juga adalah ruang untuk kita mempraktikan demokrasi dan memorandum yang ditandatangani dulu.

“Takkan kita nak tengok memorandum itu setakat di Dewan Rakyat sahaja. Ini satu permulaan yang sangat baik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagi calon Bebas, DUN Telok Mas, Muhammad Ariff Adly Mohammad pula, beliau berkata, langkah tersebut tepat pada waktunya bagi mempromosikan calon bebas di media arus perdana, menjelang hari mengundian pada 20 Nov ini.

“Walaupun kami (calon) ada media sendiri, ia tidak mencukupi dan meluas. Jadi, bila media arus perdana seperti RTM menyiarkan kami, secara tidak langsung kami ini akan dikenali terutama di Melaka.



“Lebih utama ketika ini, masyarakat sekarang tidak cenderung untuk keluar mengundi. Bila mereka lihat di RTM dan dapat maklumat tepat, potensi untuk mereka keluar lebih besar,” katanya.

Bagi calon PH, DUN Durian Tunggal, Mohd Sofi Wahab, langkah tersebut amat baik dan memberinya sokongan penuh.

“Ia akan memberi peluang kepada rakyat negeri Melaka mengenali calon-calon yang bertanding kerana calon mempunyai keterbatasan untuk bertemu pengundi kerana SOP (prosedur operasi standard) yang ketat.

“Terutamanya kepada calon muka baharu, rakyat akan dapat mengetahui biodata, latar belakang pendidikan dan pengalaman kerja mereka,” katanya.



Calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) DUN Duyong, Mohd Faizal Amzah pula berharap, kebenaran tersebut perlu menyeluruh dan adil untuk semua parti yang bertanding.

“Sudah tentu kita bersetuju, apatah lagi untuk calon muka baharu seperti saya, ia pasti akan membantu saya mendekati pengundi, kerana SOP yang digariskan sekarang amat ketat sehingga sukar untuk kita berkempen bertemu rakyat,” katanya.

Sebelum itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan membenarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyiarkan poster dan biodata calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula esok.

Annuar menjelaskan, penyiaran poster dan biodata calon itu akan dialu-alukan sekerap mungkin, adil dan saksama, berikutan SOP yang ketat pada PRN berkenaan. -Bernama

PRN Melaka: Beri peluang kepada semua calon, RTM ambil langkah berani


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Muhyiddin koyak sampai kena maki Shahrir


Sebaran :

Leave a Reply