Guru Sains SMK Jerlun terima Anugerah Princess Maha Chakri

Guru Sains SMK Jerlun terima Anugerah Princess Maha Chakri

ALOR SETAR: Seorang guru mata pelajaran Sains di sebuah sekolah luar bandar, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, dekat sini, meraih Anugerah Princess Maha Chakri 2021 pada 29 Okt.

Beliau sepatutnya menerima anugerah itu di Istana Raja di Bangkok, Thailand namun terpaksa dilangsungkan secara maya berikutan pandemik Covid-19.

Norhailmi Abdul Mutalib, 40, berasal dari Simpang Empat, Perlis terpilih menerima anugerah itu berdasarkan pencapaian luar biasa dalam membudayakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara digital kepada pelajar, guru serta komuniti.

“Saya dipilih menerima anugerah ini selepas menghantar pencalonan pada tahun lepas yang mana setiap negeri perlu menghantar dua calon guru dan nama saya disenarai pendek sebagai lima calon terbaik.

“Selepas itu, saya perlu melalui sesi dokumentasi, pembentangan serta proses temuduga dan lawatan pegawai KPM (Kementerian Pendidikan) ke sekolah sebelum dipilih kementerian untuk menjadi wakil negara menerima anugerah ini,” katanya kepada pemberita.

Anugerah berkenaan diberikan oleh Yayasan Princess Maha Chakri kepada guru-guru ASEAN dan Timor Leste.

Norhailmi yang sudah berpengalaman 15 tahun dalam bidang perguruan menerima anugerah berkenaan di Konsulat Thailand, Pulau Pinang dengan membawa pulang pingat, piala, sijil dan wang tunai AS$10,000 (RM41,535).

Norhailmi menyatakan rasa syukur dan bangga dengan pencapaiannya kerana ia membuktikan guru di negara ini mempunyai standard di peringkat antarabangsa serta hasil kerja yang diiktiraf meskipun mengajar di sekolah luar bandar.

“Ia tidak datang dengan mudah yang mana saya perlu melatih pelajar untuk meminati STEM dengan pelbagai strategi sehinggalah kementerian memilih saya menjadi Ikon Guru STEM Malaysia 2017 dan turut dinobatkan sebagai Guru Sains Terbaik Malaysia oleh Southeast Asean Minister Education Organization (SEAMEO) bagi Anugerah Ki Hajar Dewantara 2018 di Bali, Indonesia,” katanya.

Beliau juga pernah menyertai program guru angkasa antarabangsa bersama NASA di US Space and Rocket Center, Amerika Syarikat pada Sept 2018, selain menjadi guru pertama di Malaysia mengikuti latihan High School Teacher Program 2019 di Pusat Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN) di Geneva, Switzerland dari 7 hingga 20 Julai 2019.

Norhailmi, seorang anak pesawah, berkata kemuncak kejayaannya adalah pada Mac tahun lalu apabila disenaraikan sebagai Finalis Top 50 bagi anugerah guru berprestij iaitu Hadiah Guru Global 2020 oleh Yayasan Varkey berpusat di London.

Beliau berterima kasih atas sokongan dan kerjasama warga SMK Jerlun, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan KPM serta semua guru di negara ini sebagai pencetus semangat kepadanya untuk mengecapi pelbagai kejayaan termasuk dinobatkan sebagai penerima anugerah itu. FMT

Guru Sains SMK Jerlun terima Anugerah Princess Maha Chakri


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Siakap kayangan, usahawan nyaris terkena

Takut Dibunuh, Hacker Ini Mohon Maaf Selepas Bocorkan Data Sensitif Keluarga Diraja Arab Saudi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker