Projek B10 lahir manusia terpantas Malaysia

Projek B10 lahir manusia terpantas Malaysia

Malaysia kini sedang dalam pembikinan melahirkan manusia terpantas menerusi Projek Larian 100 Meter Bawah 10 saat (B10) di bawah kelolaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, projek ini akan mengambil tempoh lima tahun sehingga 2025 dan ia akan membabitkan beberapa pemegang taruh yang lain antaranya Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dilantik sebagai penyelaras program.



“Malaysia agak ketinggalan untuk mencabar atlet hebat bagi acara ini walaupun di rantau Asia Tenggara,” kata Noraini dalam ucapannya ketika melancarkan projek berkenaan dalam satu siaran langsung di Facebook KPT, hari ini.

“Catatan terbaik di rantau ini pada ketika ini adalah 10.03s yang dicipta atlet sensasi Indonesia, Lalu Muhammad Zohri yang layak beraksi di Olimpik Tokyo baru-baru ini.

“Oleh itu, hanya dengan catatan di bawah 10 saat saja mampu untuk mencabar atlet terbaik dunia yang menguasai acara ini di peringkat Komanwel, Asia dan Dunia.

“Lantaran itu, KPT mempunyai hasrat besar untuk melahirkan atlet pecut 100m pertama di negara ini yang mampu berlari di bawah 10 saat dalam tempoh lima tahun mendatang.



“B10 adalah satu projek khusus dan sangat istimewa kerana ia projek pertama seumpamanya di Malaysia dan fokus pada satu disiplin, acara sukan saja. B10 akan dirancang dan dilaksanakan secara teliti dan berfokus dalam tempoh lima tahun supaya matlamat ditetapkan akan berjaya dan dapat dicapai,” tambahnya.

Untuk rekod, detik gemilang negara dalam acara riben biru ini mula tercetus dengan kejayaan Tan Sri Dr M Jegathesan yang meraih pingat emas di Sukan Asia 1966 di Bangkok, Thailand dan muncul selaku pelari terpantas Asia selama lapan tahun pada era 60an.

Selepas itu, pelari pecut dari Melaka, Datuk Rabuan Pit pula mencipta nama di Sukan Asia 1982 di New Delhi India dan catatan 10.68 saat dilakukannya itu membolehkan dirinya diangkat sebagai manusia terpantas Asia ketika itu.

Watson Nyambek meneruskan legasi kecemerlangan negara dan bekas pelari dari Sarawak itu berjaya memecahkan rekod Jegathesan 10.38 saat dengan catatan baharu dilakukannya di SUKMA Pahang iaitu 10.33 saat.



Rekod dipegang Watson selama 18 tahun itu bagaimana lebur di tangan atlet Khairul Hafiz Jantan di SUKMA Sarawak 2016 dengan catatan 10.18 saat.

Catatan dilakukan Khairul itu juga kini hanya menunggu masa untuk dileburkan dengan kehadiran bakat baharu seperti Muhammad Haiqal Hanafi yang juga juara Sukan SEA Filipina 2019.

Program B10 ini bakal menggunakan khidmat bekas pelari pecut kebangsaan dan jurulatih berpengalaman antaranya seperti Watson, Nazmizan Muhammad, Mohd Poad Md Kassim, M Balamurugan, Azmi Ibrahim, Hamberi Mahat, Mohd Manshahar Abdul Jalil dan Tan Kok Lim.

Pemilihan pelatih untuk ditempatkan dalam projek ini dijangka bermula pada bulan Februari 2022 dengan had umur 18 hingga 22 tahun.



Pelatih juga perlu melepasi empat ujian utama yang ditetapkan.

Setiap pelatih akan menjalani tempoh latihan antara satu hingga lima tahun dan akan menerima elaun bulanan sepanjang berada dalam program khas ini. BH

Projek B10 lahir manusia terpantas Malaysia


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU

Perangai kau tu baik sangat ke? – Diana Danielle

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker