Zahid yakin rakyat Malaysia rindukan pentadbiran BN

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan rakyat Malaysia merindui pentadbiran parti itu selepas mereka tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2019.

Beliau menegaskan, langkah pertama untuk mengembalikan kerinduan itu adalah melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November nanti.

“Majoriti rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama merindui pentadbiran kerajaan BN.

“Maka PRN Melaka langkah pertama untuk mengembalikan apa yang pernah negara kehilangan,” katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

BN membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRN Melaka kerana menghormati ketetapan Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November dan pengundian pula akan berlangsung pada 20 November 2021.

PRN Melaka dianggap penting bagi BN kerana ia disifatkan sebagai cerminan sebenar masa depan parti itu dalam menghadapi PRU15 nanti.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, BN merupakan sebuah parti yang menyatupadukan rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama.

“Kita masih ingat rakyat tanpa mengira asal usul dan kepercayaan hidup harmoni di bawah pentadbiran kerajaan BN.

“Kepentingan Melayu dan Islam ditegakkan, hak kaum dan penganut agama lain dihormati. BN mentadbir dan memakmurkan Malaysia berasaskan Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Meletakkan Malaysia dalam landasan ekonomi menuju sebuah negara berpendapatan tinggi yang jitu. Sentiasa berusaha menjamin kehidupan dan kebajikan rakyat pada setiap masa dan tempat,” katanya.

Ahmad Zahid turut menjelaskan kekalahan BN selepas lebih 60 memerintah negara adalah disebabkan mainan persepsi pihak lawan.

“Jelas keburukan yang diilustrasikan lawan semasa PRU14 semata-mata permainan persepsi merebut kuasa.

“Malaysia tidak menuju negara bankrap, polisi dan dasar ekonomi BN terus diperakui, tiada masyarakat tersisih.

“Alhamdulillah BN tidak pernah merajuk dan berpaling daripada usaha mengembalikan kebenaran,” katanya.

Zahid yakin rakyat Malaysia rindukan pentadbiran BN


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bajet2022: Pelepasan cukai sehingga RM2,500 untuk peranti

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker