Bajet2022: Penstrukturan semula ekonomi amat perlu – Johari

Bajet2022: Penstrukturan semula ekonomi amat perlu – Johari

Rakyat Malaysia tidak patut terlalu optimis mengenai Bajet 2022 kerana satu belanjawan tahunan bukanlah penawar bagi masalah struktur yang membantutkan ekonomi, kata Johari Ghani hari ini.

“Ekonomi Malaysia perlu diperbetulkan dan satu belanjawan tahunan tidak akan dapat selesaikan masalah besar ini kerana beberapa isu struktur ekonomi telah wujud sebelum krisis Covid-19 melanda lagi,” kata bekas Menteri Kewangan II itu.



Menjelang pembentangan Bajet 2022 petang ini oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Johari menasihatkan rakyat agar jangan menaruh harapan terlalu tinggi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu juga menasihatkan kerajaan agar menyediakan kepimpinan yang mantap dan hala tuju yang jelas untuk mengatasi masalah struktur yang menjerumuskan ekonomi.

Jika tidak, belanjawan ini akan menjadi satu lagi usaha yang banyak berjanji tetapi tidak banyak membuahkan hasil.

Isu terbesar yang perlu ditangani adalah perbelanjaan operasi, tegasnya.



Johari berkata, keupayaan kerajaan untuk memperkenalkan program dan inisiatif baharu adalah terhad kerana lebih 90% daripada perbelanjaan operasi merupakan perbelanjaan tetap seperti gaji dan pencen penjawat awam, caj perkhidmatan hutang kerajaan, bekalan dan perkhidmatan kerajaan serta perbelanjaan subsidi.

“Dengan defisit fiskal dijangka mencecah setinggi 7%, mengatasi ramalan 5.4% sebelum ini, ruang fiskal bagi kerajaan terkekang dan terhad disebabkan oleh peraturan fiskal, iaitu perbelanjaan operasi hanya boleh dibiayai dengan hasil dan pinjaman kerajaan hanya boleh digunakan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan,” katanya.

Walaupun perbelanjaan kerajaan terus meningkat, pendapatannya mendatar. Hasil yang diperoleh tahun lepas misalnya, iaitu RM225 bilion adalah sama seperti yang diperoleh pada 2017.

Dengan ruang terhad untuk memperkenalkan cukai baharu, Johari berkata, kerajaan perlu meminjam lebih banyak, seperti yang dilihat pada tahap hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dinaikkan kepada 65% dan jumlah peningkatan hutang kerajaan daripada RM680 bilion pada 2017 kepada RM975 bilion tahun lepas – iaitu peningkatan sebanyak RM295 bilion dalam tempoh tiga tahun.



Ini tidak termasuk hutang luar kunci kira-kira yang dianggarkan sekitar RM300 bilion.

Beliau turut maklum berhubung satu petunjuk keadaan ekonomi yang membimbangkan: sektor swasta yang disebut-sebut sebagai enjin pertumbuhan sedang “bergelut”, lebih-lebih lagi selepas wabak Covid-19.

Sebagai contoh, secara purata sektor swasta mewujudkan kira-kira 100,000 pekerjaan setiap tahun. Pada masa yang sama, kira-kira 300,000 graduan memasuki pasaran buruh setiap tahun dan mereka terpaksa bersaing merebut peluang yang terhad.

Johari mengingatkan bahawa Malaysia pernah menjadi destinasi pilihan pelaburan langsung asing (FDI) di rantau ASEAN, tetapi kini ketinggalan berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam.



Aliran masuk FDI ke setiap negara tersebut melebihi USD15 bilion tahun lepas, manakala Malaysia hanya berjaya meraih USD3.5 bilion.

Johari berkata, Malaysia merupakan ekonomi ketiga terbesar di ASEAN selepas Indonesia dan Thailand pasca krisis kewangan global 2008, tetapi hari ini negara telah dipintas malah oleh Filipina dan Vietnam. Purata pertumbuhan KDNK tahunan Malaysia sebanyak 3.9% antara 2008 dan 2020 adalah paling perlahan di rantau ini.

“Malaysia juga ketinggalan dari segi pertumbuhan KDNK per kapita dengan purata pertumbuhan tahunan hanya 1.9% antara 2008 dan 2020, manakala negara lain di rantau ini menikmati purata pertumbuhan yang kukuh,” katanya.

Purata pertumbuhan Indonesia adalah 6.5%, Thailand 5.3%, Filipina 5.5%, Vietnam 11.9%, Myanmar 10%, Kemboja 8.6%, dan Laos 16% dalam tempoh yang sama.



Johari berkata, KDNK per kapita Malaysia lebih dua kali ganda berbanding China 12 tahun lalu, tetapi tahun lepas, China mencatatkan USD10,500 manakala Malaysia USD10,400.

“Ini sangat mengagumkan memandangkan mereka mempunyai populasi 1.4 bilion berbanding Malaysia dengan hanya 32.4 juta,” kata Johari.

Dalam negara, petunjuk ekonomi utama seperti pengangguran menunjukkan jumlah penganggur meningkat daripada 500,000 sebelum wabak Covid-19 melanda kepada setinggi 825,000 pada 2020, bermakna 325,000 orang telah kehilangan pekerjaan.

Jumlah penganggur semasa adalah 750,000 orang, bermakna hanya 75,000 orang yang memasuki semula tenaga kerja, manakala selebihnya masih menganggur.



Johari berkata, 202,400 graduan menganggur pada 2020 berbanding 165,200 pada 2019, dan ini mencadangkan pengangguran dalam kalangan graduan adalah isu struktur kerana ia sudah pun berada pada tahap yang tinggi sebelum krisis Covid-19.

Wabak Covid-19 menjejaskan isi rumah dengan teruk ketika kadar kemiskinan meningkat daripada 5.6% pada 2019 kepada 8.4% pada 2020, dengan pendapatan lebih 200,000 isi rumah jatuh bawah pendapatan garis kemiskinan negara, yang ditetapkan sebanyak RM2,280.

Hutang isi rumah berbanding KDNK pada 2020 mencecah rekod tertinggi, iaitu sebanyak 93.3%, berbanding 82% pada 2017, menunjukkan isi rumah berpendapatan rendah masih bergelut dari segi kewangan.

“Semua isu struktur ini perlu diperbetulkan dalam strategi yang tidak dapat diselesaikan oleh satu belanjawan tahunan dan kerajaan perlu menyediakan kepimpinan secara jelas untuk mengatasinya,” tambah Johari. FMT

Bajet2022: Penstrukturan semula ekonomi amat perlu – Johari


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Bajet2022: Penstrukturan semula ekonomi amat perlu – Johari

Minuman keras dibenarkan di bandar Arab Saudi?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker