Tempahan tiket MAS naik 1,000 peratus

Sebaran :

SHAH ALAM – Mimpi ngeri syarikat-syarikat penerbangan kini semakin berakhir apabila masing-masing mula menerima tempahan luar biasa daripada segenap lapisan masyarakat Malaysia susulan kebenaran aktiviti merentas negeri dan negara.

Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) mengakui syarikat itu mencatatkan peningkatan sehingga 1,000 peratus dalam tempahan penerbangan di dalam negara.

“Selain itu, cabang operasi pelancongan kami, MHholidays, juga telah menunjukkan aliran menaik dengan pakej percutian dijual lebih daripada 100 peratus daripada sasaran,” kata MAS dalam jawapan kepada Sinar Premium pada Rabu.

Melihat kepada perkembangan positif itu, Malaysia Airlines optimis bahawa industri penerbangan negara akan pulih walaupun mengambil masa yang lebih lama.



“Kami berharap agar industri penerbangan di seluruh dunia pulih pada keadaan asalnya seperti pra-pandemik Covid-19, lebih cepat daripada ramalan pemulihan kami pada Q2 – Q3 2022 untuk pasaran domestik dan ASEAN, manakala pasaran antarabangsa atau antara benua pulih pada 2024.

“Syarikat juga akan terus menyokong inisiatif kerajaan dan menjadi salah satu pemain utama untuk menggalakkan percutian domestik melalui promosi berterusan.

“Kerjasama daripada semua pihak berkaitan adalah amat penting untuk mencari penyelesaian pantas yang saksama demi memulih dan menstabilkan kembali sektor penerbangan, pelancongan dan ekonomi negara,” katanya.

Malaysia Airlines mendedahkan ketika kemuncak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara Mac-Mei 2020 syarikat itu berdepan pengurangan kapasiti sehingga 96 peratus dan kadar cash burn yang amat tinggi setiap sebulan ekoran tiada aliran pendapatan hasil.



HARAPAN BAJET 2022

Ditanya tentang apakah antara harapan terbesar Malaysia Airlines untuk sektor penerbangan negara menjelang pembentangan Bajet 2022, Malaysia Aviation Group mengharapkan pertimbangan kerajaan dalam beberapa bidang.

Pertama, pengecualian atau kelewatan dalam penghantaran cukai, levi atau caj yang dikenakan oleh kerajaan dan pihak berkuasa kawal selia, tanpa faedah atau penalti sehingga 31 Disember 2022. Ini akan membantu memudahkan aliran tunai syarikat penerbangan yang merupakan salah satu industri paling teruk terjejas oleh pandemik Covid-19.

Senarai cukai dan caj yang dikenakan pada syarikat penerbangan termasuk Cukai Jualan & Perkhidmatan, Levi Berlepas dari Malaysia, Caj Perkhidmatan Kawal Selia, Caj Perkhidmatan Penumpang.



Kedua, melanjutkan had masa bagi cukai kerugian yang tidak digunakan dan melonggarkan syarat Pelepasan Kumpulan.

“Di bawah undang-undang semasa, syarikat boleh mengemukakan kerugian cukai yang tidak digunakan untuk hanya tujuh tahun. Memandangkan kesan pandemik yang berlarutan, kerajaan perlu mempertimbangkan semakan semula had masa tujuh tahun ini untuk kerugian cukai.

“Kelonggaran syarat pelepasan kumpulan akan membantu meringankan beban syarikat kumpulan yang masih bergelut untuk mencatatkan keuntungan,” kata kenyataan tersebut.

Menurut MAS, seterusnya, rangka tindakan yang jelas bagi dijadikan panduan untuk pembatalan sekatan perjalanan pasaran antarabangsa.

“Pembukaan sempadan antarabangsa dengan pelaksanaan gelembung perjalanan udara sektor kritikal akan membantu mempercepatkan pemulihan perjalanan udara. Untuk memastikan perjalanan lancar sebaik sahaja gelembung perjalanan udara tersedia atau sempadan antarabangsa dibuka, kerajaan harus memastikan pengiktirafan bersama ujian Covid-19 dan sijil vaksin dengan seberapa banyak negara yang mungkin,” katanya.

Tempahan tiket MAS naik 1,000 peratus


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU,NET


Exco Selangor maki penjawat awam, MB kata akan beri nasihat [VIDEO]


Sebaran :

Leave a Reply