Najib mohon tangguh ke Singapura, mahu fokus PRN Melaka

Najib mohon tangguh ke Singapura, mahu fokus PRN Melaka

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini supaya meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya.

Bekas Perdana Menteri itu memohon supaya beliau dibenarkan meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya daripada 20 Oktober hingga 22 November kepada 25 Oktober hingga 6 Disember ini.



Beliau sepatutnya ke Singapura antara Oktober hingga November bagi menemani anak perempuannya yang kini sarat mengandung bersalin di negara itu.

Bagaimanapun Najib telah diminta oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membantu jentera parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berlangsung 20 November depan.

Dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama-sama notis usul terpinda, Najib menjelaskan, beliau perlu memikul tanggungjawab memandangkan Ahmad Zahid akan ke Jerman bagi tujuan perubatan tulang belakangnya.

Menurut Najib, beliau sepatutnya bertolak ke Singapura pada 21 November dan pulang ke tanah air pada 5 Disember ini atau lebih awal daripada tarikh berkenaan.



Najib memberitahu, beliau akan memulangkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah selewat-lewatnya pada 6 Disember ini.

Sementara itu, menurut peguam yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pihaknya telah memfailkan permohonan tersebut semalam manakala Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata, beliau perlu mendapatkan arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara berhubung permohonan tersebut.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan kemudian menetapkan 26 Oktober ini bagi mendengar permohonan Najib.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bermula 20 Oktober hingga 22 November ini. MG



Najib mohon tangguh ke Singapura, mahu fokus PRN Melaka


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tujuan PPBM ditubuhkan hanya untuk bunuh UMNO – Tok Mat



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker