Amanah, PAS bersaing siapa lebih konservatif, kata penganalisis

Amanah, PAS bersaing siapa lebih konservatif, kata penganalisis

PAS dan parti serpihannya, Amanah mungkin cuba bersaing untuk menjadi lebih konservatif bagi memenangi hati pengundi luar bandar, kata penganalisis sosio-politik.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, biarpun Amanah mengatakan mereka adalah progresif namun perbezaan antara kedua-duanya semakin sukar dilihat ketika menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila parti-parti itu memperjuangkan isu sama dan begitu senada.

“Mereka mungkin terjerumus dalam pemikiran konservatif yang sama dan cuba dilihat menjuarai isu-isu Islam walaupun ia tidak relevan,” katanya.

Semalam, Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa berkata, sensitiviti umat Islam perlu dijaga dalam semua aktiviti berkaitan alkohol dari segi pemilihan nama dan simbol jenama.

Beliau mencadangkan supaya “dasar arak” diperkenalkan untuk melindungi sensitiviti umat Islam.

Dasar itu, katanya, harus melarang umat Islam daripada terlibat dalam pemprosesan, penjualan, pengangkutan dan penyediaan alkohol, dan aktiviti lain yang berkaitan.

“Kedua-dua parti ini menarik orang yang sama, berjuang untuk jenama Islam politik yang sama dan mungkin cuba untuk mengatasi satu sama lain ketika PRU semakin menghampiri,” kata Awang Azman kepada FMT.

Beliau berkata, kontroversi arak Timah baru-baru ini, misalnya, tidak dapat disangkal lagi kerana sudah ada jenama arak timur tengah yang popular dengan nama seperti Hadi, Omar dan lain-lain.

“Tetapi ia menjadi isu bagi parti politik di sini yang berjuang di atas platform agama,” katanya.

Awang Azman berkata, Islam yang progresif tidak akan menghalang juruwang Islam daripada bekerja di hotel yang menghidangkan minuman keras.

“Bagaimanapun, seorang ahli politik konservatif akan mengatakan orang Islam tidak boleh bekerja di tempat yang menghidangkan minuman keras,” katanya.

Malah Amanah, katanya, mungkin cuba menjadi konservatif seperti PAS dalam isu-isu yang tidak relevan di era moden.

Pemikiran seperti itu, katanya, boleh mendorong ramai orang Melayu memilih PKR kerana ia dilihat lebih sederhana dan menghormati orang lain.

“Mereka mungkin mahu menyertai parti politik yang lebih progresif dan sederhana kerana mereka mengimbangi kehidupan rohani dan kehidupan mereka,” katanya.

Tahun lalu, Mujahid mengkritik usahawan kosmetik Nur Sajat dengan mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap catatan di media sosialnya.

Wanita Amanah juga sebelum ini menggesa pengharaman lagu hit Sepanyol, “Despacito”, kerana liriknya yang didakwa mengelirukan.

Amanah juga sebelum ini menggesa minuman keras dan tembakau hanya dijual di premis tertentu, kerana ada orang Islam yang bekerja di kedai serbaneka. FMT

Amanah, PAS bersaing siapa lebih konservatif, kata penganalisis


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Mahathir jawab Sultan Johor isu Pulau Batu Puteh

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker