Penyelesaian terbaik untuk peminjam B50

PETALING JAYA: Pandemik Covid-19 telah memberi kesan besar terhadap masyarakat, negara, perniagaan dan kehidupan secara keseluruhannya.

Pada masa yang sama, aktiviti ekonomi juga terhenti seketika hingga menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan pekerjaan di seluruh dunia, manakala pemulihannya pula berdepan dengan pelbagai cabaran susulan kemunculan varian baharu Covid-19.

Malaysia yang turut terjejas akibat pandemik ini telah melaksanakan langkah pengawalan bagi mengurangkan kesan terhadap perniagaan, kehilangan pekerjaan dan pemotongan gaji.



Selain kesihatan awam, kesan akibat pandemik yang masih berlarutan lebih banyak dirasai oleh rakyat Malaysia daripada kumpulan berpendapatan rendah. Kebanyakan individu-individu ini bergelut untuk meneruskan hidup akibat daripada kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan yang agak besar.

Walaupun terdapat beberapa pakej bantuan kewangan seperti Pemulih dan Pemerkasa serta pakej rangsangan ekonomi, Prihatin untuk membantu rakyat, namun hakikatnya masih ramai daripada individu daripada kategori B50 yang memerlukan lebih banyak masa dan bantuan untuk meneruskan kehidupan.

Di kala kita kini telah beralih ke fasa endemik selepas sebahagian besar populasi dewasa lengkap dos vaksin dan aktiviti ekonomi juga mula dibuka semula, tanda awal pemulihan sudah mula kelihatan.

Walau bagaimanapun bagi kebanyakan segmen golongan rentan, ia mengambil masa lebih panjang untuk bangkit kembali memandangkan wang simpanan masing-masing semakin susut selepas ianya digunakan bagi menampung kehidupan sejak pandemik melanda.



Beberapa pihak seperti bank-bank, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan pihak berkuasa telah mengambil pendekatan holistik untuk membantu peminjam B50 bagi memastikan mereka terus dibantu dari segi kewangan.

Dengan kerjasama AKPK, Program Pengurusan & Ketahanan Kewangan (URUS) diperkenalkan untuk membantu individu rentan bukan hanya untuk meneruskan kelangsungan hidup tetapi menyusun kembali kewangan mereka.

URUS adalah satu penyelesaian secara menyeluruh yang menangani keperluan khusus peminjam B50. Pihak bank menyumbang kira-kira RM1 bilion untuk program ini yang menyediakan bantuan kewangan kepada peminjam B50, termasuk pengecualian kadar faedah.

Program terbabit menyediakan sokongan aliran tunai kepada peminjam yang layak dengan pemberian pengecualian kaedah faedah selama tiga bulan. Program ini menyerupai skim pengurusan hutang AKPK yang sedia ada, yang telah terbukti berjaya membantu lebih daripada 324,000 peminjam.



Peminjam boleh memilih untuk mengurangkan jumlah ansuran bulanan bagi tempoh 24 bulan bersama pengecualian kadar faedah selama tiga bulan dan bantuan ini juga diperluaskan kepada pembiayaan kad kredit dan pembiayaan peribadi tanpa jaminan.

Ketika tanda awal di pasaran menunjukkan perkembangan yang positif, pemerhati juga percaya bahawa pelaksanaannya akan menjadi kunci kejayaan program berkenaan.

Pengerusi Bursa Malaysia Abdul Wahid Omar berkata, pelaksanaan program URUS adalah tepat pada masanya dan satu langkah positif yang diambil oleh pihak bank dan AKPK.

“Amat mengujakan apabila melihat kesediaan sektor bank untuk mengambil langkah bagi memperluaskan bantuan kepada peminjam rentan.



“Dengan pelaksanaan segera, program ini boleh membantu mencapai matlamatnya untuk membantu peminjam B50 meneruskan kelangsungan hidup.

“Menerusi usaha ‘outreach’ serta kadar pengambilan dan keberkesanan program, saya berharap kita dapat melihat kesan positif dalam pasaran domestik.”

Di bawah URUS, mereka yang mempunyai pinjaman dengan beberapa bank tidak perlu membuat permohonan bantuan daripada setiap bank terbabit tetapi hanya perlu melakukannya menerusi salah satu bank sahaja untuk semua kemudahan pinjaman itu.

AKPK juga akan menyediakan pelan kewangan peribadi kepada peminjam di bawah skim URUS untuk membimbing mereka sepanjang tempoh program.



Ia bertujuan memberi panduan kepada peminjam dalam mengambil langkah pemulihan bagi memperbaiki kedudukan kewangan masing-masing.

Dengan sokongan dan galakan yang betul, peminjam B50 yang berdepan cabaran kewangan berupaya memulihkan keadaan itu secara beransur-ansur selepas pandemik.

AKPK akan membuat penilaian terhadap pelan yang disediakan sebaik sahaja situasi kewangan peminjam menunjukkan perkembangan yang baik.

Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Penyelidikan AmBank Dr Anthony Dass berkata, URUS menyediakan peluang untuk bank menerapkan penyelesaian lebih bermakna dalam tempoh jangka panjang bagi menangani cabaran fiskal yang dihadapi oleh pelanggannya.



“Ekonomi akan mendapat manfaat daripada peminjam B50 yang mengikuti program bantuan pembayaran berbeza ini dan akhirnya berupaya memulihkan keadaan kesihatan kewangan sekali gus melunaskan semula hutang dan menyumbang kepada ekonomi.”

“Selain itu, terdapat keperluan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang memberi aliran pendapatan kepada kumpulan B50 dan dapat mengurangkan risiko mereka memerlukan bantuan kewangan secara berterusan.

“Ia juga menyediakan peluang kepada mereka untuk keluar daripada kategori kumpulan peminjam “tertekan”

Penyelesaian terbaik untuk peminjam B50


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Selepas Timah, arak jenama Omar pula muncul

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker