Hak dalam pilihan raya demokrasi
ISNIN lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. Satu lagi pilihan raya negeri mengejut selepas Sabah pada tahun lalu.
Kini, kita sedang menanti tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak yang bakal ditetapkan sebaik sahaja tempoh pelanjutan darurat gantung pilihan raya berakhir pada 2 Februari 2022. Dalam pada itu, cakap-cakap mengenai pilihan raya umum (PRU) nasional juga terus kedengaran, sekali gus mencerminkan pilihan raya telah menjadi sebahagian daripada ekosistem rakyat.
Di sebalik pelbagai spekulasi yang terus bermain dalam arena politik negara, dewasa ini rakyat memang arif tentang sejarah kemerdekaan negara. Pelbagai aspek tentang pengisian kemerdekaan dirakam dalam pelbagai bentuk tulisan. Majoriti rakyat turut mengetahui tentang politik dan sistem demokrasi yang diamalkan.
Namun, ramai yang belum begitu terdedah kepada maklumat khusus mengenai perkembangan demokrasi dalam konteks pilihan raya. Pendidikan mengenai pilihan raya juga dilihat belum menyeluruh.
Sistem pilihan raya yang diperkenalkan di Melaka dan Pulau Pinang menjadi perintis apabila Pilihan Raya Perbandaran buat pertama kali diadakan dari 5 hingga 20 Disember 1857. Sejak awal 1950-an, rakyat khususnya yang bermastautin di bandar-bandar besar mula mengenali erti politik dan demokrasi secara lebih meluas.
Dalam arena politik dan pilihan raya yang lebih luas, Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan pada 1955 telah membuka ruang kepada parti-parti politik untuk mengambil bahagian lebih aktif dalam pilihan raya. Segala urusan dikendalikan secara lebih sistematik dengan tertubuhnya SPR, dua tahun kemudian. Dan maklumat dalam konteks pilihan raya telah dapat dihayati khususnya aspek perundangan dan sistem pilihan raya itu sendiri.
Bertolak dari itu, buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia setebal lebih 800 halaman ini menyediakan satu huraian lengkap yang diperlukan oleh setiap rakyat sama ada pemilih, parti politik, calon atau agensi yang terlibat dalam pengurusan pilihan raya bagi menjayakan objektif sistem demokrasi, dan akan menjadi penting sementara kita mula menuju untuk melaksanakan sistem undi 18 tahun.
Selari dengan perkembangan sistem dan undang-undang pilihan raya, proses pilihan raya dan persaingan kini dilihat semakin kompleks. Pilihan raya tidak hanya terhad kepada proses keluar mengundi semata-mata. Sebaliknya, ia turut membabitkan proses pendaftaran pemilih, penamaan calon, syarat-syarat berkaitan kempen, pengiraan undi, pengisytiharan keputusan dan juga petisyen serta pilihan raya kecil. Keseluruhannya, pada hari ini ada 30 proses dalam pengurusan pilihan raya.
Maka, pengetahuan mendalam mengenai selok-belok pilihan raya bukan hanya hak dan perlu diketahui oleh para calon, malah perlu difahami oleh setiap rakyat iaitu lebih 15 juta pengundi. Pilihan raya merupakan satu komponen amat penting di negara yang mengamalkan demokrasi seperti Malaysia. Oleh itu, ketersediaan dan kedapatan bahan rujukan berkaitan proses pilihan raya demokrasi amat penting.
Bagi memenuhi keperluan setiap pemegang taruh, buku terbitan Penerbit Universiti Malaya ini menyediakan satu panduan bernilai lagi menyeluruh bagi setiap pemegang taruh – pengundi, calon, ejen calon, penyokong, pembuat dasar, pelajar atau sesiapa sahaja yang ada peranan dan minat dalam proses pilihan raya, seterusnya membantu mewujudkan barisan mereka yang diberikan amanah untuk mentadbir negara.
Bagi tujuan itu, karya ini menghidangkan data dan fakta penting berkaitan sejak PRU pertama 1959 dalam bentuk kronologi dan trivia yang menarik serta senarai keputusan penuh PRU-14 sebagai rujukan bagi menghadapi PRU-15 dan PRN ke-12 Sarawak serta pilihan raya mengejut di Melaka, bulan depan.
Bagi tujuan itu, buku ini terdiri daripada 14 bab, iaitu huraian mengenai Kerajaan dan Pilihan Raya, Sistem dan Proses Pilihan Raya, Undang-undang dan Peraturan, Penamaan Calon, Daftar Pemilih, Kempen Pilihan Raya, Pengundian dan Pengiraan Undi, Setelah Selesainya Pilihan Raya dan Petisyen Pilihan Raya. Satu bab dikhususkan untuk menghuraikan perkembangan sejak selepas PRU 2018, termasuk mengenai hak dan tanggungjawab pengundi dan wakil rakyat.
Diyakini karya ini akan membantu usaha menyuburkan lagi demokrasi di Malaysia.
DR. G. Manimaran ialah pengamal media dan bekas Ahli Tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).
Baca Artikel Menarik :
- PH Melaka tak bertanggungjawab cetus krisis – Ahli Parlimen PKR
- DAP tentang Norhizam sebagai calon PH
- Muhammad nama popular di UK?
- Golongan antivaksin tidak akan dianiaya – Hishammuddin
- Idris Haron dan 3 lain menaruh harapan kepada PH
- Timah, hanya modal untuk serang PAS – Tuan Ibrahim
- Bapa Perkosa Anak Kandung Konon Percaya ‘Nasihat’ Pakar Feng Syui
- Lelaki Terkaya Di Asia Miliki Aset RM415 Billion Setara Elon Musk dan Jeff Bezos
- Anak Pengasas Microsoft Bill Gates Kahwini Dengan Pemuda Muslim
- Kekasih Sajat ‘serang’ pegawai polis
- Mana ada orang betul-betul kaya baling duit
Layari Laman Facebook MYKMU