Harga lantai baharu umrah ditetapkan RM6,900

Sebaran :

Harga lantai baharu umrah ditetapkan RM6,900

HARGA lantai baharu bagi pelaksanaan ibadah umrah kepada syarikat pengendali untuk tempoh 12 hari dan 10 malam ditetapkan pada aras RM6,900 seorang.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan memaklumkan, penetapan harga baharu itu selaras dengan perkembangan semasa iaitu peningkatan kos memandangkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sama ada di pihak Arab Saudi atau Malaysia.

Menurut MOTAC, kali terakhir harga lantai umrah ditetapkan semula adalah pada tahun 2017 iaitu pada paras harga RM4,900.



Antara faktor yang mempengaruhi peningkatan kos, kata MOTAC adalah bilangan kapasiti dalam bilik penginapan; kapasiti pergerakan pengangkutan yang membenarkan 50 peratus daripada jumlah kapasiti sebenar dan pengurusan mutawif serta ujian saringan COVID-19.

“Harga lantai akan disemak semula apabila wabak COVID-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan sudah kembali normal yang mana kekangan SOP tidak lagi dilaksanakan Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

“Harga ini juga merupakan panduan bagi pihak kementerian dalam melaksanakan pemantauan terhadap industri umrah menakala orang ramai boleh menjadikannya sebagai panduan dalam membuat pertimbangan dalam memilih syarikat mana yang sesuai dengan bajet mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MOTAC turut menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berhati-hati jika didapati harga yang ditawarkan terlalu rendah atau terlalu tinggi daripada yang telah ditetapkan bagi mengelak kes-kes penipuan pakej umrah.



Katanya, orang ramai boleh menghubungi pejabat MOTAC negeri atau melayari laman web rasmi kementerian bagi mengenal pasti syarikat-syarikat yang telah dilesenkan.

Pada masa sama, MOTAC memaklumkan mana-mana syarikat yang dilesenkan wajib memohon kebenaran bagi mengiklankan promosi umrah.

Menurut kementerian itu, ia selaras dengan Peraturan 6(1A)(a), Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yang menyatakan ‘pengendali pelancongan berlesen tidak boleh mengiklankan pakej yang ditawarkan tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan’.

“Sehingga kini, kementerian telah menerima sebanyak 31 permohonan iklan dengan setiap iklan yang diluluskan akan diberikan Nombor Siri Khas iklan umrah yang perlu dipaparkan di iklan-iklan yang akan dipromosi.



“Ini bertujuan untuk membantu kementerian ini mengenal pasti iklan-iklan haram pakej umrah. Borang permohonan boleh dimuat turun daripada laman web rasmi kementerian iaitu www.motac.gov.my,” jelasnya. Utv

Harga lantai baharu umrah ditetapkan RM6,900


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


5 artis popular Malaysia menghilang tanpa khabar dari dunia hiburan


Sebaran :

Leave a Reply