Tasik Kenyir kembali sesak dengan pengunjung

HULU TERENGGANU – Tasik Kenyir yang merupakan salah satu destinasi pelancongan popular Terengganu sesak dengan kehadiran pelancong yang datang bercuti selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula pada Isnin lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, seramai 15,000 pengunjung dengan 4,500 kenderaan dilaporkan memasuki kawasan Tasik Kenyir pada Jumaat dan jumlah itu dijangka terus meningkat.

“Setakat ini kita dapati majoriti pengunjung yang bersiar-siar dan menyewa rumah bot adalah penduduk Terengganu. Kita jangka masuk minggu kedua dan ketiga nanti lebih ramai pelancong luar akan datang ke Tasik Kenyir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bagi sektor pelancongan di Tasik Kenyir, di sini pada Sabtu.

Menurut Rohaimi, sebanyak enam pasukan melibatkan 12 pegawai dan 35 anggota ditempatkan di Tasik Kenyir pada hujung minggu bagi memantau aliran trafik serta kesesakan pengunjung selain pemantauan pematuhan SOP ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pengunjung, peniaga dan pengusaha pelancongan mematuhi SOP terutama membenarkan hanya individu lengkap menerima vaksin Covid-19 menaiki rumah bot.

Selain Tasik Kenyir katanya, polis turut melakukan pemantauan pematuhan SOP di kawasan tumpuan pelancong lain seperti jeti ke pulau-pulau, Pantai Batu Burok, Pantai Seberang Takir dan jambatan angkat (drawbridge).

“Saya dapati kadar pematuhan SOP di Terengganu mencapai 96 peratus dan setakat ini belum ada kompaun dikeluarkan di pusat peranginan sejak rentas negeri dibuka,” katanya.

Sementara itu Rohaimi memaklumkan, jumlah kenderaan memasuki Terengganu meningkat sebanyak 65 peratus pada Jumaat berbanding Jumaat minggu lalu namun aliran trafik masih terkawal.

“Kita sudah jangka akan berlaku peningkatan terutama pada hujung minggu tapi tidak ada kesesakan melampau dilaporkan. Jumlahnya akan meningkat sekali ganda pada Sabtu dan Ahad nanti,” katanya.

Tasik Kenyir kembali sesak dengan pengunjung


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Bukan kerajaan keluarkan arak Timah – Ahmad Marzuk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker