Kertas Pandora: Ambil tindakan jika ada bukti – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan menghalang tindakan pihak berkuasa terhadap mana-mana individu yang disebut dalam pendedahan Kertas Pandora berkenaan pemilikan aset kewangan luar pesisir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa sekiranya mereka mempunyai bukti pelanggaran undang-undang negara.

Katanya, pendirian itu adalah berasaskan keterbukaan kerajaan terhadap apa jua tindakan undang-undang di negara ini.



“Dalam negara (ini) kita terbuka, kalau didapati ada kes terhadap sesiapa pun, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan. Kita terbuka dan serah kepada pihak berkuasa

“Pihak berkuasa baca semua, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baca semua baca berita yang dikeluarkan.

“Justeru, terserah kepada pihak berkuasa, kita tidak menyekat tindakan daripada pihak berkuasa kepada sesiapa, tetapi mesti ada bukti. Kalau tak ada bukti, tak bolehlah,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau penyelenggaraan lif di Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul, hari ini.



Baru-baru ini, media melaporkan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan beberapa ahli keluarganya serta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah antara nama disebut dalam pendedahan Kertas Pandora kerana mempunyai akaun luar pesisir.

Isnin lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pula berkata, Bank Negara (BNM) sedia bekerjasama dengan agensi penguat kuasa undang-undang untuk memantau dan menyiasat dokumen terkandung di dalam Kertas Pandora yang membabitkan individu di negara ini.

Katanya, BNM sebagai pihak berkuasa berwibawa sentiasa bersedia bekerjasama dan memanjangkan sokongan kepada agensi terbabit seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta yang berkaitan.

“Pemantauan berterusan, kalau ada mencurigakan, sentiasa dibuat agensi penguatkuasa undang-undang dan agensi pengawal selia Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).



“Maka kalau ada sebarang isu yang timbul, inilah agensi yang bertanggungjawab. Kalau ada perkara yang perlu disiasat, BNM sentiasa sedia bekerjasama,” katanya sewaktu menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab persoalan berkenaan Kertas Pandora dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan RUU terbabit.

 


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Pandora Papers: Benarkan ia dibahaskan di Parlimen – Najib



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker