Laut terbelah di Pantai Mek Mas jadi tarikan pengunjung

Laut terbelah di Pantai Mek Mas jadi tarikan pengunjung

Fenomena ‘pantai terbelah’ sepanjang lebih satu kilometer menjadi tarikan baharu Pantai Mek Mas dekat Kuala Besar di sini hingga menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke situ.

Kejadian itu berlaku sejak lebih sebulan lalu itu disebabkan air surut yang kemudian membentuk beting pasir hingga membolehkan pengunjung berjalan untuk ke tengah laut.

Tinjauan di lokasi mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang berkunjung ke pantai terbabit untuk melihat sendiri keadaan ‘pantai terbelah’ selepas ia tular sejak beberapa hari lalu.

Pengunjung juga patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan memakai pelitup muka dan jaga penjarakan sosial bagi membendung wabak COVID-19.

Penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Nurul Afiqah mazeni, 20, berkata, fenomena itu sangat unik berikutan di tengah-tengah laut seolah-olah terbahagi dua.

“Saya mendapat tahu ‘pantai terbelah’ ini selepas ia tular dan menarik perhatian untuk saya datang melihat sendiri kejadian ini. Saya tidak sangka fenomena ini betul-betul terjadi.

“Ini adalah pengalaman baru buat saya kerana selama ini hanya boleh berjalan di pesisir pantai sahaja, namun kali ini saya boleh berjalan di tengah-tengah seolah-olah berada di permukaan laut,” katanya ketika ditemui di pantai berkenaan semalam.

Nurul Afiqah berkata, walaupun ramai pengunjung, namun masing-masing dilihatnya berusaha mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

Suri rumah dari Machang, Noriah Hassan, 61, berkata dia datang bersama anak-anak ke lokasi itu untuk pertama kalinya kerana mahu melihat ‘pantai terbelah’.

“Kami datang dari jauh untuk lihat keunikan lokasi ini yang dikatakan terbelah. Alhamdulillah saya dapat lihat sendiri dan ia benar-benar ada.

“Selain fenomena itu, lokasi ini juga mempunyai tarikan yang lain termasuk timbunan pasir seolah-olah seperti padang pasir,” katanya.

Sementara itu, penduduk setempat, Mohd Yusoff Mohamad, 37, berkata, ‘pantai terbelah’ itu terjadi lebih sebulan lalu yang menjadi tarikan kepada orang kampung dan dari luar untuk berkunjung ke lokasi itu.

Katanya, beting pasir itu terbentuk kemungkinan kerana air laut surut dan sebelum ini berdekatan lokasi itu ada projek mengorek pasir oleh sebuah kapal.

“Kemungkinan pasir berkumpul di lokasi itu yang membentuk beting dan menjadikan lokasi itu lebih tinggi. Ianya seolah-olah menjadikan ‘pantai terbelah’,” katanya. BH

Laut terbelah di Pantai Mek Mas jadi tarikan pengunjung


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tentera tembak diri sendiri, ibu mentua, selepas bertengkar dengan isteri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker