PRN Melaka: PAS mahu elak pertembungan
PRN Melaka: PAS mahu elak pertembungan
PAS memberi jaminan parti itu tidak akan meletakkan calon di kerusi yang bakal ditandingi UMNO dan BERSATU pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, walaupun berdepan kemungkinan jumlah kerusi ditandingi mereka jauh lebih kecil berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata keputusan itu dicapai dalam usaha PAS mengelak pertandingan tiga penjuru, sekali gus mengukuhkan kerjasama dan muafakat ummah antara ketiga-tiga parti.
Sambil menegaskan tidak berbangkit isu PAS bakal kehilangan banyak kerusi yang boleh ditandingi pada PRN nanti, beliau berkata, jumlah kerusi diperoleh parti itu bergantung kepada rundingan ketiga-kita parti kerana PAS lebih mementingkan kemenangan di kerusi yang bakal ditandingi parti kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, gerak kerja PAS diteruskan di 12 kerusi DUN, walaupun jumlah sebenar kerusi bakal ditandinginya masih dalam rundingan.
“Kita (PAS) tidak akan ambil kerusi UMNO, kerusi BERSATU. Kita ambil kerusi yang belum dimenangi, kerusi ini PAS nak. Misalnya daripada 12 kerusi (ditandingi PAS di Melaka pada PRU-14), mungkin timbang-timbang dapat tujuh atau enam, mungkin enam ini ‘confirm’ bukan UMNO dan BERSATU punya.
“Kita nak elak pertembungan. Apa yang penting calon PH (Pakatan Harapan) tidak menang,” katanya ketika ditemui BH di Parlimen.
Keputusan PRU-14 bagi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menyaksikan UMNO hanya menang 13 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi 15 kerusi, sekali gus melayakkan gabungan terbabit yang ketika itu diterajui BERSATU, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) membentuk majoriti mudah.
Bagaimanapun, kerajaan negeri ditadbir PH tumbang pada awal Mac 2020 selepas BERSATU membentuk gabungan baharu dengan Barisan Nasional (BN) Melaka.
Gabungan baharu ketika itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia daripada PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Pengkalan Batu daripada DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai wakil rakyat Bebas dalam Perikatan Nasional (PN).
Ia menjadikan BN mempunyai 13 ADUN, ditambah dua ADUN BERSATU, iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) selain Jailani yang kemudian menyertai UMNO pada awal tahun ini dan Norhizam, sekali gus mempunyai sokongan majoriti ADUN.
Bagaimanapun, komposisi berubah selepas pembubaran DUN Melaka 4 Oktober lalu susulan tindakan dua ADUN UMNO, iaitu Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), bersama Noor Effandi dan Norhizam menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, turut menegaskan PAS akan menyokong mana-mana calon, sama ada UMNO mahupun BERSATU berdasarkan penyandang di kerusi berkenaan jika permuafakatan gagal dicapai dalam kalangan dua parti sekutu itu.
Namun, katanya, PAS belum memutuskan dasar yang akan diambil jika UMNO dan BERSATU berhasrat meletakkan calon di kerusi dimenangi PH pada PRU-14.
“Kalau kerusi itu kerusi (tradisi) UMNO, seluruh pengundi PAS akan sokong calon UMNO, undi akan diberi kepada UMNO, bererti kalau BERSATU masuk, pengundi PAS tidak akan memberi undi kepada BERSATU,” katanya.
“Kalau kerusi itu BERSATU punya, UMNO masuk, orang PAS takkan undi UMNO. Dengan cara ini, dua-dua pihak kena duduk bersama. Jika kerusi PH, kita akan runding, kita akan adakan perbincangan siapa nak bertanding,” katanya.
“Kalau tak ada penyelesaian siapa nak bertanding, dua-dua (UMNO dan BERSATU) masuk, kerusi macam ini kita tak letak dasar buat masa ini. Bagi kita selesai runding dulu, kalau tak boleh jalan keluar, pada masa itu kita akan buat keputusan,” katanya.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata PAS tidak boleh mencampuri urusan dalaman parti sekutu, termasuk UMNO yang mahu bersendirian pada PRN Melaka.
“Kalau UMNO tidak mahu bersama, hendak jalan sendiri, kita tiada pilihan, itu bab parti masing-masing. Cuma kita bagitau kalau berlaku pertandingan tiga penjuru (UMNO, PAS, BERSATU), semua akan rugi, jadi semua kena elakkan tanding tiga penjuru,” katanya. BH
PRN Melaka: PAS mahu elak pertembungan
Baca Artikel Menarik :
- Senator PAS dikecam lepas kaitkan bunuh diri dengan drama Korea
- Azhar minta Wee perjelas, kemuka bukti
- 10 pasangan selebriti Malaysia ini adalah sepupu
- Pacak tripod, rakam sedang sembahyang – Zul Ariffin
- Ini cubaan halang saya wakili Najib
- Payung terjun gagal dibuka, tentera terjunam ke tanah
- Ribuan dolar AS ditemui dalam tong sampah
- Pandora Papers: Benarkan ia dibahaskan di Parlimen – Najib
- Tiz Zaqyah kena kecam kerana ini….
- Aneka perisa cakoi menjadi rebutan
- Ustaz Don pula jadi mangsa scammer
Layari Laman Facebook MYKMU
Tentera tembak diri sendiri, ibu mentua, selepas bertengkar dengan isteri
You must be logged in to post a comment.