Kerajaan akan bina semula KWAN selepas ekonomi pulih – Tengku Zafrul
Kerajaan akan bina semula KWAN selepas ekonomi pulih – Tengku Zafrul
Kerajaan memberi jaminan akan “membina semula” dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang digunakan untuk rakyat ketika mendepani Covid-19 apabila keadaan ekonomi kembali pulih.
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan menggunakan dana daripada kumpulan wang itu untuk tujuan yang betul dan telah membentangkan secara telus bahawa penggunaannya adalah untuk pembelian vaksin untuk rakyat.
“KWAN ditubuhkan pada 1988, kira-kira 30 tahun lepas untuk generasi akan datang. Kalau bukan generasi sekarang, jadi generasi mana lagi? Pada masa ditubuhkan, kita berbalah. Menyimpan ini untuk (kegunaan) apabila keadaan sukar.
“Saya percaya bahawa pandemik Covid-19 ini salah satu situasi yang amat sukar bagi negara dan global. Yang penting kita gunakannya untuk tujuan yang betul. Apabila ekonomi kembali pulih, kita akan membina semula KWAN yang kita gunakan untuk rakyat,” katanya dalam program bersama Tengku Zafrul di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai komen sesetengah pihak yang mempersoalkan tindakan kerajaan menggunakan dana KWAN dalam konteks ekonomi.
Program yang berlangsung kira-kira sejam di semua platform Sinar Harian itu dihoskan oleh Tokoh Wartawan Negara, Johan Jaaffar.
Pada April lepas, kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 (KWAN) yang membolehkannya menggunakan RM5 bilion daripada sejumlah RM19 bilion dana kumpulan wang itu untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.
Mengikut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.
Menyentuh mengenai masa depan ekonomi negara dalam era endemik ini, Tengku Zafrul melahirkan keyakinan bahawa “terdapat cahaya di hujung terowong”.
“Saya optimis terhadap masa depan ekonomi negara. Baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan kebenaran rentas negeri, yang sedikit sebanyak akan menolong sektor pelancongan.
“Kegiatan ekonomi kita juga telah mula dibuka secara berfasa dengan selamat, kadar vaksinasi sudah tinggi, kita sudah mula program vaksinasi kepada golongan remaja. Saya optimistik bahawa bermula tahun 2022, negara kita akan kembali pulih. Kita perlu gerakkan ekonomi. Ia akan menjadi tahun pemulihan,” katanya.
Ditanya mengenai perbezaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), beliau berpendapat RMK12 bersifat lebih menyeluruh berbanding RMK11 kerana ia lebih banyak mengandungi isu-isu keterangkuman, kemampanan dan revolusi industri 4.0 (4iR).
“Yang paling penting adalah konsep “Keluarga Malaysia” dan kita tidak mahu sesiapa ketinggalan menjelang 2025. Kita akan pastikan bahawa rakyat berjaya sampai ke tahap negara berpendapatan tinggi pada tahun 2025.
“Namun, kita tidak boleh berterusan mengharapkan bantuan daripada kerajaan. Kebanyakan bantuan yang disediakan kerajaan adalah berbentuk ‘start-up’, atau membantu perniagaan untuk memulakan semula perniagaan mereka yang terjejas kerana pandemik ini. Selepas itu, mereka perlu berusaha untuk naik sendiri,” katanya.
Mengenai pemberian subsidi termasuk subsidi minyak, Tengku Zafrul memberi bayangan bahawa kerajaan perlu lebih bersasar pada masa hadapan.
“Kita buat peruntukan pada tahun lepas, subsidi minyak, termasuk minyak masak, adalah lebih kurang RM3.4 bilion. Bagaimanapun, harga minyak sudah meningkat jadi perkiraan subsidi minyak kita meningkat kepada RM8 bilion tahun ini.
“Bagi tempoh jangka panjang, kita mesti lebih bersasar. Kerajaan boleh menggunakan (lebihan subsidi) duit itu untuk menolong rakyat yang lebih memerlukan. Dalam krisis (Covid-19), kita lebih banyak fokus kepada semua, tetapi dalam jangka masa sederhana dan panjang, saya rasa kita perlu lebih bersasar,” katanya. FMT
Kerajaan akan bina semula KWAN selepas ekonomi pulih – Tengku Zafrul
Baca Artikel Menarik :
- Kami minum teh tarik saja – Tok Mat
- Pemimpin Dap setuju mungkin kehilangan Pulau Batu Puteh kerana Mahathir
- Video erotik Syahrini disebar bapa angkat
- CEO LHDN letak jawatan?
- Jelutong pun akan duduk – Apek Cina
- Harta karun di Pulau Nangka hilang?
- Saya tidak akan guna watikah calon PRU untuk balas dendam – Zahid
- Pertembungan heavyweight di Parlimen Tambun
- Meninggal dunia selepas dos kedua vaksin campuran
- Bersatu enggan bayar Haniff Khatri yuran guamannya
- Ribut Solar Landa Bumi, Orang Ramai Diminta Tidak Panik
Layari Laman Facebook MYKMU