Hayati 7 wasiat raja-raja Melayu

, penting kerajaan stabil dan punyai sokongan majoriti rakyat

HAK keistimewaan orang Melayu dan kedudukan tinggi agama Islam sebenarnya mempunyai susur galur sejarah yang besar sehingga ia diabsahkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keistimewaan ini sebenarnya tidak menghalang hak kaum lain atau menindas mereka. Ia bukan dalam erti kata tuan dan hamba tetapi lebih kepada penghormatan sebagai anak watan.

Toleransi yang dicapai antara kaum di antara pimpinan kaum di Malaysia, kontrak sosial yang disertai antara kaum kini sering dilupai sehingga menuntut raja-raja Melayu beberapa kali mengingatkan kita sejak kebelakangan ini. Begitu juga kedudukan tinggi agama Islam, tidak menindas masyarakat bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka.

Hakikat inilah yang menzahirkan raja-raja Melayu mengeluarkan `Tujuh Wasiat’ bagi menjadi panduan kepada rakyat jelata.

Tujuh wasiat tersebut ialah:

1.Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia)

2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytiharkan dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman luar nagara;

4. Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini;

5. Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan;

6. Kami tetapkan tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu

7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

PELINDUNG HAK ISTIMEWA

Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa orang Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu terletak di tempat tinggi yang membentuk jati diri negara.

Persetujuan dua pertiga Parlimen dan perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sebelum usul pindaan dibentangkan di Parlimen.

Hal yang demikian menjadi benteng kepada negara daripada cubaan mengganggu gugat kedudukan tersebut.

Kekuatan Perkara 159 ini bukan saja menghalang pindaan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa terlebih dulu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja, apatah lagi sekiranya langsung tidak menghiraukan atau melanggar peruntukan Perlembagaan berkenaan.

Perkara yang ingin dipinda ini termasuklah kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan ketua agama undang-undang Islam dan juga mahkamah syariah.

Ia juga mencakupi hal ehwal berkaitan pewartaan kuota itu dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak.

Perkara 153 juga mengisytiharkan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Begitulah besarnya peranan raja-raja Melayu sebagai pelindung hak istimewa Islam dan pribumi di Malaysia. Janganlah ada pihak yang mempersoalkan lagi keistimewaan diberi kepada orang Melayu serta kedudukan tinggi agama Islam dalam negara kita.

Ia sudah tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah dihormati. Sebagai undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan mesti dipertahan.

Kerajaan perlu akur kedudukan ini dan tidak sewenang-wenangnya menutup mata terhadap peruntukan Perlembagaan. Mempertahankan keluhuran Perlembagaan adalah tanggungjawab bersama.

Kedudukan istimewa raja-raja Melayu bukanlah sekadar istiadat atau atau dekorasi semata-mata, tetapi mempunyai kuasa tertentu yang menjadi elemen penting kepada jati diri pembentukan negara.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Hayati 7 wasiat raja-raja Melayu


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Persatuan Ulama’ Malaysia beri teguran homartilah titah Raja-Raja Melayu

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker