Pulang segera aset kerajaan, KM Melaka beritahu Exco letak jawatan

MELAKA: Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali berkata tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang meletak jawatan perlu memulangkan aset kerajaan termasuk kenderaan rasmi seperti yang termaktub dalam peraturan.

Beliau berkata ini kerana Idris Haron, Noor Effandi Ahmad dan Norhizam Hassan Baktee tidak lagi memegang jawatan itu apabila melepaskannya pada Isnin lepas.

”Mereka sudah memaklumkan pelepasan jawatan mereka dan surat peletakan jawatan pun saya sudah terima, begitu juga Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

”Jadi mereka bukan lagi Exco dan segala aset seperti kereta perlu dipulangkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri mengikut prosedur yang ditetapkan,’’ katanya kepada pemberita semasa menghadiri Program Tanggungjawab Sosial Korporat Pembinaan Rumah Baharu Lembaga Perumahan Melaka di Tangga Batu hari ini.

Sulaiman diminta mengulas keengganan Norhizam, yang juga bekas Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan dan Koperasi negeri, menyerahkan aset kerajaan walaupun telah meletak jawatan.

Menyentuh status bangunan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun), beliau berkata kesemua 28 wakil rakyat juga perlu menyerahkannya namun bukan dengan segera.

”Bukanlah kita suruh keluar dari Japerun serta-merta. Kita beri tempoh seminggu untuk mengosongkannya, tak kira sama ada pembangkang mahupun bukan pembangkang. Jadi ada masa untuk mengeluarkan barangan peribadi.

“Hak kerajaan, tinggalkanlah dalam pejabat itu. Jika seminggu yang diberikan tidak mencukupi, terserah kepada budi bicara pegawai daerah,” katanya.

Sulaiman berkata ia bukan perkara baharu kerana ketika kerajaan negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional tumbang dahulu, arahan sama dikeluarkan oleh Pakatan Harapan dan langkah yang sama juga perlu dilakukan ketika ini.

Di Jasin, Setiausaha Kerajaan Negeri Kamel Mohamad berkata setakat ini, hanya Idris telah memulangkan aset kerajaan pada Khamis lepas manakala Noor Effandi memohon menangguhkan pemulangan itu sehingga Isnin ini.

Pulang segera aset kerajaan, KM Melaka beritahu Exco letak jawatan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


KKM dah sediakan SOP untuk PRN Melaka – Khairy

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker