KPDNHEP jamin kit ujian kendiri cukup menjelang kebenaran rentas negeri

Sebaran :

Rosol Wahid berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan kit ujian kendiri Covid-19 mencukupi. (Gambar Bernama)

KUALA BERANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan kit ujian kendiri Covid-19 mencukupi di pasaran untuk menampung permintaan meningkat susulan kebenaran rentas negeri yang bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Timbalan Menterinya, Rosol Wahid berkata, terdapat enam juta kit ujian kendiri Covid-19 dalam pasaran dengan 28 syarikat yang diberikan lesen oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai pembekal dan pengedar.

“Memang kita jangka permintaan bagi kit ujian ini akan terus meningkat selaras saranan kerajaan agar rakyat melakukan ujian kendiri Covid-19 sebelum merentas negeri untuk mengawal penularannya.

“Jumlah pembekal juga dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa untuk memenuhi permintaan pasaran. Jadi, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kita percaya tidak timbul isu kekurangan bekalan kit ujian ini,” katanya selepas menyampaikan hadiah cabutan bertuah program kayuhan basikal, Fun Ride Parlimen Hulu Terengganu sempena Hari Sukan Negara 2021 di sini.

Program itu mendapat sambutan hangat apabila lebih 1,000 permohonan diterima, bagaimanapun hanya 250 peserta diterima penganjur mengikut prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara.

Mengenai cadangan beberapa pihak supaya kerajaan memberi subsidi pembelian kit ujian kendiri Covid-19, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, ia memerlukan kajian terperinci.

“Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak stabil dan dalam fasa pemulihan, perkara itu perlu dikaji dengan lebih mendalam kerana kerajaan telah memberi terlalu banyak subsidi seperti minyak masak dan lain-lain.”

Selain itu, Rosol berkata, harga maksimum baharu kit ujian Covid-19 dijangka diumumkan Menteri KPDNHEP akhir November ini, selepas perbincangan bersama pemain industri dan KKM dimuktamadkan.

KPDNHEP jamin kit ujian kendiri cukup menjelang kebenaran rentas negeri


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


KJ maklumkan harga kit ujian Covid-19 bakal turun lagi


Sebaran :

Leave a Reply