Isytihar aset, hubungan perniagaan, ahli politik diberitahu

Isytihar aset, hubungan perniagaan, ahli politik diberitahu

Ahli ekonomi menggesa supaya ahli politik dalam pentadbiran menyatakan hubungan perniagaan dan kewangan mereka selain mengisytiharkan aset dan pendapatan masing-masing, susulan pendedahan data daripada Pandora Papers.

Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi (MUST), berkata tindakan itu perlu dibuat bagi membuktikan mereka tidak mempunyai sebarang konflik kepentingan.

Katanya, beliau bimbang mengenai kemungkinan berlakunya pengelakan cukai oleh mereka yang mempunyai akaun luar pesisir.

“Ia harus melibatkan semua termasuk mereka yang dikaitkan dengan tindakan mengelak cukai dan yang mendapat manfaat daripada aktiviti haram, termasuk ahli keluarga dan rakan perniagaan,” katanya.

Williams turut bercakap mengenai kemungkinan ahli politik terbabit menggunakan “pilihan cukai yang rendah” menerusi akaun luar pesisir, namun menjelaskan ia tidak menjadi masalah sekiranya transaksi itu tidak digunakan untuk menyembunyikan dana atau sumber pendapatan.

“Jika terdapat pendedahan mengenai masalah kewangan, apa yang mereka lakukan dengan wang itu adalah masalah mereka sendiri,” katanya kepada FMT.

“Sekiranya mereka menggunakan pilihan cukai yang rendah atau pelaburan luar pesisir, sepatutnya tidak ada campur tangan sekiranya mereka mematuhi undang-undang dan membayar cukai.

“Secara keseluruhannya, rakyat bersikap adil dan mengiktiraf bahawa perkhidmatan awam harus dihargai. Apa yang menjadi masalah apabila berlakunya cubaan untuk menyembunyikan sesuatu.”

Katanya, penggunaan akaun luar pesisir untuk menyembunyikan dana dan pendapatan boleh dianggap sebagai perbuatan mengelak cukai.

“Risikonya amat rendah dan berbaloi dari segi kewangan.”

Williams berkata satu-satunya cara untuk mencegah aktiviti pengelakan cukai itu adalah dengan mengenakan hukuman penjara yang berat dan penguatkuasaan yang berkesan.

Seorang lagi ahli ekonomi, Fatimah Mohamed Arshad, berkata ahli politik perlu berundur sekiranya mahu mempunyai akaun luar pesisir memandangkan mereka mempunyai tanggungjawab kepada rakyat.

Katanya, isu asas ialah mereka mempunyai “aktiviti tambahan” yang mungkin melibatkan rasuah.

“Aktiviti ini harus dikekang. Sebarang kekayaan luar biasa dan melampau perlu diaudit,” katanya.

Fatimah mendakwa kronisme dan memegang terlalu banyak kuasa mendorong amalan untuk mengkayakan diri sendiri dalam kalangan ahli politik dan pegawai kerajaan di semua peringkat.

“Melihat kepada budaya rasuah yang telah berakar ini, satu undang-undang perlu diperkenalkan untuk mengekangnya. Sebaik masalah ini dikurangkan, kita boleh meneliti semula isu yang berlaku,” katanya. FMT

Isytihar aset, hubungan perniagaan, ahli politik diberitahu


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pukul rakan hingga mati tak puas hati upah baiki tandas

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker