Boleh isytihar darurat tangguh PRN Melaka jika khuatir Covid – pakar perlembagaan



Sebaran :

Boleh isytihar darurat tangguh PRN Melaka jika khuatir Covid – pakar perlembagaan

Proklamasi darurat boleh diisytiharkan di seluruh Melaka bertujuan untuk menangguhkan pilihan raya negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) jika terdapat kebimbangan terhadap jangkitan pandemik Covid-19 negeri atau di seluruh negara.

Pakar perlembagaan Prof Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata walaupun PRN Melaka perlu diadakan dalam masa 60 hari selepas pembubaran DUN berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, namun di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, darurat boleh diisytihar bagi kawasan berkenaan untuk mengelak daripada penggunaan perlembagaan secara normal.

Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka menyatakan satu pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.



“….Ia sama seperti yang dibuat di Sarawak juga beberapa lokasi seperti Batu Sapi, Bugaya (kedua-duanya di Sabah) dan Grik, Perak dan bidang kuasa itu terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 31 Julai, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di seluruh Sarawak berkuat kuasa 2 Ogos sehingga 2 Feb 2022, sekali gus menggantung PRN daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada 4 Okt daripada Speaker DUN Melaka Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf dalam sidang media khas semalam mengumumkan bahawa DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt setelah dipersetujui Yang Dipertua Negeri Mohd Ali Rustam dan Proklamasi Pembubaran DUN Melaka yang ke-14 diwartakan pada Selasa.



Ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) – Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) – mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, Shamrahayu yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata mengikut Perlembagaan Negeri Melaka, ia tidak mensyaratkan untuk Yang Dipertua Negeri berbincang dengan mana-mana pihak bagi pembubaran DUN selain daripada permintaan Ketua Menteri.

“Jadi pada saya, sekiranya ada permintaan daripada Ketua Menteri yang telah kehilangan kepercayaan majoriti, maka berpandukan kepada Fasal (2) Perkara 8 Perlembagaan Negeri Melaka yang menyatakan bahawa Yang Dipertua Negeri bertindak mengikut budi bicara dalam pelaksanaan kuasa di bawah iaitu melantik seorang Ketua Menteri, untuk tidak memberi perkenan atau memberi perkenan untuk pembubaran dewan sekiranya ada permintaan dilakukan.

“Jadi tidak timbul soal sama ada Yang Dipertua Negeri hendaklah berbincang dengan mana-mana pihak. Kalau nak berbincang pun, ia terserah kepada Yang Dipertua Negeri. Jadi pendekatan yang diambil oleh peringkat Persekutuan sebelum ini adalah berbeza daripada pendekatan yang diambil oleh Yang Dipertua Negeri Melaka,” katanya.



Mengenai Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang dibuat untuk memudahkan kawalan penyakit berjangkit Covid-19 termasuk jumlah kompaun yang boleh dikenakan berbanding denda maksimum RM1,000 yang dinyatakan dalam Akta 342 dan masih belum diungkai, Shamrahayu berkata ordinan berkenaan secara umumnya masih terpakai.

“Apabila kita merujuk kepada Seksyen 15 Ordinan Darurat berkaitan pembubaran, ‘summon’ (memanggil) ataupun persidangan Dewan Undangan Negeri, di situ dinyatakan pembubaran DUN hendaklah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong apabila pembubaran itu dalam masa darurat.

“Tetapi oleh kerana darurat itu telah berakhir walaupun Ordinan Darurat itu masih berkuat kuasa, maka Seksyen 15 itu hanya terpakai dalam keadaan darurat. Oleh kerana darurat berakhir 1 Ogos lepas, maka persidangan dewan dan pembubaran dewan boleh dilakukan,” katanya.

Seksyen 15 (1) (a) ordinan berkenaan menyatakan bagi tempoh darurat berkuat kuasa, peruntukan yang berhubung dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Dewan Undangan Negeri dalam Jadual Kelapan kepada Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan mana-mana negeri dan mana-mana undang-undang negeri tidak mempunyai kesan.



Seksyen 15 (1)(b) menyatakan Dewan Undangan Negeri hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Raja atau Yang Dipertua Negeri yang berkenaan.

Seksyen 15 (2) pula menyatakan mana-mana mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang telah dipanggil sebelum tarikh permulaan kuat kuasa Ordinan tetapi belum diadakan adalah dibatalkan.

Pandangan sama turut dikongsikan seorang lagi pakar undang-undang, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berkata Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa bagi mengisytiharkan darurat sekiranya Seri Paduka berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan ancaman keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam.

“Dalam hal ini faktor yang dikaitkan ialah pandemik Covid-19. Jadi jika Yang di-Pertuan Agong ingin menggunakan kuasa itu, faktor risiko Covid-19 yang mungkin merebak akibat PRN perlu dibuktikan secara benar, telus dan jujur.



“Pihak yang perlu terlibat dalam proses ini tentunya Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), SPR dan polis. Antara aspek yang perlu dinilai termasuklah tahap jangkitan di Melaka, vaksinasi, SOP kempen dan pengundian, jangkaan kehangatan kempen dan kemampuan jentera penguat kuasa,” kata pensyarah dan penyelidik di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur itu.

Sependapat dengan Shamrahayu dan Muhammad Fathi, seorang lagi pakar undang-undang dan perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat ke atas Melaka atas nasihat Perdana Menteri jika PRN masih difikirkan tidak sesuai dilaksanakan sekarang. FMT

Boleh isytihar darurat tangguh PRN Melaka jika khuatir Covid – pakar perlembagaan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Boleh isytihar darurat tangguh PRN Melaka jika khuatir Covid – pakar perlembagaan

Pukul rakan hingga mati tak puas hati upah baiki tandas


Sebaran :


Leave a Reply