Tangguh Perbicaraan: Mahkamah Rayuan tolak permintaan Rosmah

Sebaran :

Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya esok yang membabitkan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak sementara menunggu pelupusan rayuan beliau dalam kes sama.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said yang membuat keputusan itu sebulat suara berkata, mahkamah berpendapat prosiding di Mahkamah Tinggi perlu diteruskan.

Susulan keputusan tersebut, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu perlu memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi esok.

Bagaimanapun, Kamaludin berkata, Rosmah masih boleh meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan beliau untuk membatalkan perbicaraan kes itu dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama.

Beliau berkata, keputusan itu tidak akan memprejudis Rosmah dan berharap tarikh pendengaran rayuan tersebut boleh dipercepat.

Turut bersidang, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah.

Rosmah telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 18 Februari lepas untuk membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

Beliau memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi pada 6 Mei lepas bagi membatalkan keseluruhan perbicaraannya dalam usaha untuk dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan serta menggugurkan Sri Ram.

Rosmah berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsuddin melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor.

Wang itu didakwa sebagai upah bagi membantu Jepak Holdings mendapat projek bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur antara bulan Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima RM1.5 juta daripada Saidi bagi tujuan sama di kediaman beliau di Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 Sept 2017.

Beliau juga berdepan pertuduhan menerima RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama pada 20 Disember 2016 di Seri Perdana, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Rosmah telah memfailkan permohonan baharu untuk penangguhan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya berhubung perkara itu.

Pada prosiding sebelum ini yang dikendalikan secara dalam talian, peguam utama Rosmah iaitu Datuk Jagjit Singh berhujah bahawa penangguhan hendaklah dibenarkan kerana keadaan kes yang luar biasa.

Bagaimanapun, Sri Ram berhujah fakta prosiding itu mungkin dibatalkan bukanlah keadaan luar biasa yang membolehkan kes itu ditangguhkan.

Sementara itu, seorang lagi peguam Rosmah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader ketika dihubungi berkata pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan hari ini.

Tangguh Perbicaraan: Mahkamah Rayaun tolak permintaan Rosmah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Jenama Nike, Under Armour Hadapi Masalah Bekalan Bila Kilang Di Vietnam Ditutup

 


Sebaran :

Leave a Reply