Adib Dihentak Dan Diseret Keluar Dari Van Bomba Hingga Mati
Oleh Nurul Aisyah
SEDIH dengan sandiwara yang berlaku dalam kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim anggota bomba yang terbunuh dalam tragedi rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya kira-kira tiga tahun lalu.
Seorang anak muda yang mempunyai masa depan yang cerah terkorban dalam rusuhan kuil tersebut. Kenapa pembunuh Adib enggan dibawa ke muka pengadilan? Adakah ada unsur “politik” yang mengekang perkara tersebut?
Rakyat tidak boleh terima perkara ini. Apatah lagi keluarga Adib. Setiap kali t melalui tempat tragedi tersebut, hati bagai dirobek, kepala rasa naik tanduk. Kenapa susah sangat mencari pembunuh Adib? Tiga orang Perdana Menteri telah bertukar, segala janji untuk mencari pembunuh Adib dilihat sebagai kenyataan kosong yang cuba meraih “mileage” politik semata-mata.
Tiba-tiba kita dikejutkan dengan kenyataan bahawa kes Adib telah ditutup. Perkara ini mengundang kemarahan rakyat terutamanya orang Melayu. Nasib anak Muda Melayu ini bagaikan tidak ada nilai di mata mereka.
Memetik sumber, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin di parlimen mengatakan perbicaraan bagi mencari pembunuh Muhammad Adib telah berakhir pada 23 Sept.
Menurut satu lagi sumber yang lain juga, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin menegaskan kes kematian Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.
Realitinya, perbicaraan tersebut belum berakhir. Peguam Aidil Khalid yang mewakili keluarga Adib menegaskan perbicaraan itu belum berakhir.
Beliau membidas kenyataan Hamzah Zainuddin di parlimen yang mengatakan perbicaraan bagi mencari pembunuh Muhammad Adib telah berakhir pada 23 Sept.
“Kononnya dikatakan perbicaraan Muhammad Adib berakhir Khamis lalu, itu tidak benar.
“Kes itu bukan melibatkan kes bunuh, tapi melibatkan 18 tertuduh yang antara kesalahan mereka memiliki senjata dalam perhimpunan haram. Mereka dituduh di bawah (tuduhan) yang bukan tuduhan bunuh.
“Maksudnya setakat ini pembunuh belum pernah lagi dituduh. Jadi, untuk menteri jawab dalam parlimen mengaitkan kes perbicaraan Adib itu berakhir 23 September lalu, itu tidak betul.
Aidil berkata kenyataan Zuraida dan Hamzah bercanggah dengan keputusan inkues berhubung kematian Adib.
“Tidak ada tempoh had masa selagi mana pembunuh itu tidak dapat dijumpai,” katanya.
Memetik sumber, Mahkamah Koroner pada 26 September 2019 menyatakan anggota bomba itu terkorban akibat perbuatan jenayah bunuh oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.
Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.
Koroner Rofiah Mohamad ketika membacakan keputusan itu berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian, boleh diterima serta ada asas, selain ia disokong saksi ke-30 yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.
Beliau berkata, pihaknya turut menolak teori dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dilanggar.
Katanya, keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul di mana ia membabitkan kira-kira 20 hingga 30 lelaki.
Adakah pembunuh Adib yang kejam ini mahu dilepaskan begitu sahaja?
Artikel ini adalah pendapat penulis dan Mykmu.net tidak semestinya bersependapat dengannya.