Dikenali Di Padang Mahsyar Kerana Amalan ini

Dikenali Di Padang Mahsyar Kerana Amalan ini

Seluruh umat manusia dari yang pertama dicipta hingga yang terakhir, termasuk para nabi dan rasul akan dibangkitkan kembali. Mereka keseluruhannya dikumpulkan di satu kawasan luas dinamakan padang Mahsyar.

Mereka saling tidak mengenali dan hanya sibuk memikirkan nasib untung diri. Keadaan mereka saat itu berbeza-beza sesuai dengan amal yang dilakukan di dunia. Ada yang wajahnya berseri-seri dan ada juga yang hitam muram tampak kelam.

Tiada tanda nama sebagai pengenalan diri. Namun bagi kita umat Nabi Muhammad s.a.w. tetap boleh dikenali. Semuanya disebabkan wajah yang putih bercahaya dan berseri-seri. Itulah kesan basahnya tubuh dari air wuduk yang disempurnakan saban hari.

Dalam satu riwayat hadis, beberapa orang sahabat telah bertanya kepada Baginda s.a.w. katanya,

“Bagaimana engkau mengenali umatmu setelah sepeninggalanmu wahai Rasulullah s.a.w.?” Lalu Baginda s.a.w. menjawab,

“Tahukah kalian apabila seseorang memiliki kuda yang berwarna putih pada dahi dan kakinya di antara kuda-kuda yang berwarna hitam yang tidak ada warna selainnya, bukankah ia akan mengenali kudanya?” Para sahabat menjawab,

“Tentu wahai Rasulullah.” Rasulullah berkata,

“Mereka (umatku) nanti akan datang dalam keadaan bercahaya pada dahi dan kedua-dua tangan dan kakinya kerana bekas wuduk mereka.” HR Muslim

Dari segi rohani apabila seseorang itu sentiasa membasahkan anggotanya dengan wuduk, sudah pasti ia akan menjaga diri daripada perbuatan tidak elok. Dan seandainya mati dalam keadaan berwuduk pun, ada kelebihan yang besar di sisi Allah kerana ia jelas dalam keadaan bersuci.

Dari sudut jasmani pula ia akan sentiasa dalam keadaan sihat serta jauh daripada penyakit kerana setiap anggota wuduk adalah anggota yang mudah diserang penyakit.

Ada tanda putih di dahinya

Dalam membicarakan tentang kesan wuduk pada hari kiamat sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis Baginda s.a.w. memang terdapat perbahasan ulama tentang anggota tubuh mana yang bercahaya, sama ada muka sahaja atau seluruh anggota wuduk.

Antara hadis yang menyebutkan tentang kelebihan berwuduk pada hari kiamat adalah dari Abu Hurairah r.a. berkata,

Aku mendengar Baginda s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya umatku dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan ghurran muhajjilin (wajahnya bercahaya dan bersinar) kerana bekas berwuduk, maka barang siapa yang mampu memanjangkan ghurra hendaklah melakukannya.” HR Bukhari & Muslim

Muka Atau Seluruh Badan Bercahaya?

Melihat pada matan hadis inilah yang menjadi dasar sesetengah ulama menyatakan, bercahaya itu hanyalah di muka sahaja bersandarkan pada perkataan dalam hadis itu ghurran. Hal ini kerana, ghurran itu dari segi bahasa adalah keputihan yang ada di dahi kuda.

Lazimnya orang Arab menggunakan perkataan ini sebagai satu perumpamaan kepada ayat tasybih, yang menjurus kepada kecantikan, kemuliaan dan kemahsyuran. Dek kerana itulah sebahagian ulama berhujah yang bercahaya pada hari kiamat nanti hanyalah muka sahaja.

Walau bagaimanapun terdapat juga sebahagian muhaddisin yang mengatakan semua anggota wuduk akan bercahaya di Hari Kiamat nanti bersandarkan kepada hadis lain pula iaitu “sesungguhnya umatku akan dipanggil pada Hari Kiamat nanti dalam keadaan dahi, kedua-dua tangan dan kaki mereka bercahaya kerana bekas wuduk” HR Bukhari Muslim

Sekalipun terdapat perbahasan terhadap anggota wuduk yang akan bercahaya pada Hari Kiamat nanti, namun yang pasti hasil dari basahan wuduk menjadi bukti yang nyata “Akulah umat nabi Muhammad s.a.w.”

Sememangnya kesempurnaan wuduk sangat penting kerana jika wuduk yang diambil tidak sempurna, sudah pasti solat yang didirikan tidak sah dari sudut syarak. Walaupun begitu timbul lagi perbahasan di kalangan ulama, adakah kesan cahaya di Hari Kiamat itu hanya tertakluk ketika berwuduk untuk mendirikan solat atau juga di luar solat?

Wuduk menjadi identiti umat Muhammad di Padang Mahsyar kerana wajah bercahaya
Dari perbahasan-perbahasan tersebut, dapat disimpulkan bahawa berwuduk sama ada dalam solat atau tidak tetap juga wajahnya akan bercahaya di akhirat kerana di situ ada hadis yang menjelaskan wuduk tanpa solat dibolehkan, dan sentiasa berkeadaan berwuduk pun lebih baik terutama sebelum masuk tidur. Hadis yang menyebut tentang keharusan berwuduk sebelum tidur sebagaimana yang dinyatakan ini.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barang siapa tidur pada malam hari dalam keadaan suci (berwuduk) maka malaikat akan tetap mengikutinya, lalu ketika ia bangun nescaya malaikat akan mengucapkan, “Ya Allah! Ampunilah hamba Mu si fulan kerana ia tidur di malam hari dalam keadaan selalu bersuci,” HR Ibnu Hibban

Manakala dalam riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepada Bilal r.a. seusai solat fajar, “Sesungguhnya aku mendengar suara terompahmu di hadapanku di syurga,

Bilal berkata, “Tidaklah aku mengamalkan satu amalan yang lebih aku harapkan di sisiku melainkan berwuduk pada malam dan siang hari, dan terus mengerjakan solat yang dapat aku lakukan setelah itu.” HR Bukhari Muslim

Dari hadis-hadis yang telah dinyatakan, ia telah menjadi kelebihan bagi kita umat nabi Muhammad s.a.w. bahawa dengan berwuduk Allah mengangkat darjat dan martabat kita lebih tinggi dari umat-umat yang lain.

Justeru itu lazimilah membasahkan diri dengan air wuduk sama ada untuk solat atau tidak supaya kita dikenali oleh Baginda s.a.w. ketika sedang bersesak dan berhimpun di Padang Mahsyar nanti.

Sains kata tubuh boleh Bercahaya

Dalam satu kajian sains yang dilakukan oleh penyelidik dari Jepun, mereka mendapati bahawa tubuh manusia sememangnya dapat mengeluarkan cahaya dalam kuantiti kecil mengikut masa yang berbeza.

Masaki Kobayashi penyelidik di Tohoku Institute of Technology, Sendai Jepun dalam penelitiannya telah menggunakan kamera sensitif yang mampu mengesan setiap zarah tenaga cahaya. Seramai lima orang pemuda ditempatkan di depan kamera dalam satu ruangan yang sangat gelap.

“Mereka ditempatkan dalam ruangan yang sangat gelap dan menghadap kamera selama 20 minit setiap tiga jam sekali. Penelitian ini dilakukan selama tiga hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam,” kata Kobayashi.

Hasil ujian menunjukkan tubuh kelima-lima tubuh lelaki itu tampak bersinar dan meredup secara bergantian sepanjang hari. Titik minimum cahaya terjadi pada jam 10 pagi, sementara titik maksimum pancaran cahaya terjadi pada jam 4 petang.

Dari ujian ini jelas menunjukkan pada jam 10 pagi, merupakan titik redup paling rendah yang dipancarkan tubuh sebaliknya ia menjadi terang benderang pada jam 4 petang dan mula meredup secara perlahan-lahan.

Keadaan ini berlaku kerana emisi cahaya yang berhubungan dengan tubuh kita yang berkemungkinan besar terkait dengan bagaimana fluktuasi irama metabolisme yang ditampilkan tubuh sepanjang hari.

Kajian ini telah membuktikan bahawa walaupun tanpa wuduk tubuh manusia bercahaya, apatah lagi jika ia dibasahkan dengan air wuduk, sudah tentu cahaya yang keluar sangat terang. Ini dikuatkan dengan janji-janji Baginda s.a.w. dalam hadis yang disebutkan di atas bahawa orang yang berwuduk pasti akan berseri dan bersinar tubuh mereka. Wallahu a’lam utv

Dikenali Di Padang Mahsyar Kerana Amalan ini


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Dikenali Di Padang Mahsyar Kerana Amalan ini

Wajah Uqasha dah macam Sajat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker