Deepak gagal hidupkan saman terhadap Najib, Rosmah, Azeez Rahim

Deepak gagal hidupkan saman terhadap Najib, Rosmah, Azeez Rahim

Pengarah Carpet Raya Sdn Bhd, JR Deepak Jaikishan dan dua lagi gagal menghidupkan saman terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor serta Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung cukai yang dikenakan ke atas mereka selepas didakwa bertindak sebagai proksi pasangan itu.

Ini susulan tindakan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Najib, Rosmah dan Azeez bagi membatalkan saman itu.



Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah yang mengetuai panel itu, dalam keputusan sebulat suara berkata saman yang difailkan Deepak, Carpet Raya dan adik lelakinya, J Rajesh, yang juga pengarah syarikat tersebut, tidak kukuh dan akan gagal, jika perbicaraan diteruskan.

“Kami mendapati Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam memutuskan saman itu adalah kes jelas untuk dibatalkan. Oleh itu, kami memutuskan tidak ada merit dalam rayuan ini dan menolaknya dengan kos RM10,000 untuk Najib serta Rosmah dan RM10,000 untuk Azeez.

“Keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Zabidin yang bersidang bersama Azizah Nawawi dan S Nantha Balan.

Panel itu membuat keputusan selepas mendengar hujah peguam Daniel Annamalai yang mewakili perayu, peguam David Mathews yang mewakili Najib dan Rosmah serta peguam Prem Ramchandran bagi pihak Azeez.



Pada 16 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib, Rosmah dan Azeez untuk membatalkan saman itu selepas memutuskan pernyataan tuntutan tidak mendedahkan kausa tindakan munasabah, iaitu elemen penting bagi menyokong dakwaan konspirasi untuk mencedera, misfeasans dalam jawatan awam serta pelanggaran kewajipan.

Ketiga-tiganya memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 24 Sept 2019 atas alasan ia menyusahkan dan plaintif tidak mempunyai kausa menyaman mereka.

Menerusi saman yang difailkan pada 15 Nov 2018, Deepak mendakwa antara 2004 dan 2010, beliau dan syarikat itu bertindak sebagai ejen serta proksi Najib dan Rosmah dalam urus niaga tanah serta urusan perniagaan seperti yang diarahkan pasangan tersebut.

Beliau juga mendakwa Azeez bertindak sebagai ejen Najib dan Rosmah untuk menjalankan urus niaga serta menjadi pengantara pasangan itu dan Carpet Raya.



Deepak mendakwa ekoran urus niaga itu, beliau menerima surat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bertarikh 2 Mac 2018 supaya menyelesaikan tunggakan cukai ke atas Carpet Raya dan cukai pendapatannya yang berjumlah lebih RM6 juta, tidak termasuk caj penalti serta faedah.

Deepak mendakwa beliau menerima surat LHDN selepas hubungannya dengan pasangan itu keruh pada 2012, susulan keengganannya mengikut arahan mereka dalam kes sivil membabitkan penyiasat persendirian P Balasubramaniam, dan Azeez mengetahui perkara tersebut.

Beliau mendakwa Najib dan Rosmah turut mengarahkan tindakan perundangan diambil LHDN terhadap Carpet Raya dan petisyen penggulungan difailkan terhadap syarikat itu pada 22 Mac 2017, malah petisyen tersebut disiarkan dalam akhbar.

Plaintif mendakwa petisyen itu menyebabkan perniagaan dan reputasi mereka terjejas, manakala Deepak dilarang meninggalkan Malaysia, selain kemudahan perniagaan mereka ditarik balik Maybank dan kontrak syarikat dengan IKEA dibatalkan.



Mereka memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib dan Rosmah bertanggungjawab membayar tunggakan cukai dikenakan ke atas syarikat itu serta menuntut ganti rugi RM500,000 yang dibayar kepada Maybank, RM47 juta untuk ketidakupayaan syarikat memenuhi kontrak dan jualannya, RM74 juta bagi pembatalan kontrak syarikat itu dengan IKEA, RM200 juta bagi fitnah dan RM37 juta atas kerugian yang didakwa disebabkan salah laku Najib.

Plaintif turut menuntut ganti rugi teruk dan teladan sebanyak RM100 juta. FMT

Deepak gagal hidupkan saman terhadap Najib, Rosmah, Azeez Rahim


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Jangan tunggu lagi, wajibkan penggunaan ‘pulse oximeter’ – gesa Najib



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker