Pesakit kategori 3, 4, 5 cenderung kena long COVID

Pesakit kategori 3, 4, 5 cenderung kena long COVID

Tahap keseriusan individu yang dijangkiti COVID-19, umur dan komorbiditi adalah antara faktor yang mempengaruhi sama ada pesakit wabak itu akan mendapat kesan jangka panjang atau long COVID.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata meskipun tidak banyak maklumat diketahui berkenaan long COVID, tiga faktor berkenaan dilihat berperanan menyebabkan pesakit COVID-19 masih bergejala selepas dibenarkan keluar daripada hospital.

Katanya, pesakit yang menghidap COVID-19 kategori tiga hingga lima dilihat lebih cenderung menderita long COVID, yang boleh berpanjang antara empat minggu hingga enam bulan atau setahun.

“Long COVID berlaku apabila virus itu menyebabkan keradangan pada organ dalaman seperti paru-paru, jantung dan buah pinggang, hingga organ berkenaan mengalami kerosakan.

“Ini menyebabkan seseorang pesakit tidak benar-benar sembuh walaupun sudah dibenarkan keluar daripada hospital kerana organ yang terkesan tidak dapat berfungsi seperti biasa, dan ia mengambil masa yang lama untuk pulih.

“Malah, ada kemungkinan organ yang terkesan dengan virus COVID-19 tidak dapat pulih sepenuhnya seperti sebelum dijangkiti virus berkenaan, sekali gus pesakit akan mengalami gejala long COVID selain berisiko meninggal dunia,” katanya kepada BH, hari ini.

Rabu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan, seramai 12,654 pesakit COVID-19 dikesan menghidap long COVID dan diberi rawatan susulan di fasiliti kesihatan.

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan lima gejala utama Long COVID yang dihadapi pesakit terbabit iaitu kelesuan, sesak nafas apabila melakukan aktiviti tertentu, batuk, kesukaran tidur dan keresahan.

Ahad lalu, media melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Ramlan Abdul Razak, 59, meninggal dunia akibat long COVID.

Long COVID adalah keadaan pesakit, di mana gejala dan tanda COVID-19 dihidapi melebihi tempoh empat minggu.

Ia merangkumi dua tahap iaitu gejala berterusan COVID-19 bagi pesakit yang bergejala dalam tempoh empat hingga 12 minggu serta sindrom pasca COVID-19 iaitu pesakit yang bergejala melebihi 12 minggu dan dan tidak dapat dikaitkan dengan diagnosis alternatif yang lain.

Dr Sharifa Ezat berkata, pesakit COVID-19 yang berusia juga dilihat cenderung untuk mendapat long COVID kerana faktor keupayaan organ yang semakin lemah.

Selain itu, katanya, pesakit COVID-19 dengan komorbiditi, iaitu memiliki beberapa penyakit lain seperti masalah jantung dan buah pinggang, juga berisiko menghidap kesan jangka panjang virus itu.

“Long COVID ini membimbangkan kerana ia menyebabkan pesakit yang sepatutnya sudah sembuh, tidak dapat kembali meneruskan kehidupan seperti biasa, khususnya jika individu itu melakukan pekerjaan berat.

“Saya harap majikan turut mengambil kira faktor long COVID jika ada pekerja mereka pernah dijangkiti virus ini, dan tidak memandang ringan jika pekerja itu perlukan lebih banyak rehat,” katanya.

Ditanya mengenai kaedah bagi seseorang pesakit mengelak daripada long COVID, Dr Sharifa Ezat berkata, buat masa ini belum ada kaedah untuk memastikan seseorang itu boleh bebas daripada kesan jangka panjang berkenaan.

“Setakat ini, belum ada maklumat terperinci dan jelas bagaimana pesakit tidak menghidap long COVID dan sebaliknya. Cara terbaik ketika ini adalah kuatkan imuniti tubuh badan melalui vaksin bagi mengelak menghidap COVID-19 yang serius jika dijangkiti.

“Oleh demikian, kita menggesa semua orang termasuk kanak-kanak untuk segera divaksin kerana long COVID juga boleh dialami oleh kanak-kanak,” katanya. BH

Pesakit kategori 3, 4, 5 cenderung kena long COVID


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ular sawa belit kaki, lelaki selamba ajak berbual

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker