Hanya Sempat 47 Hari Berkahwin, Munirah Pasrah Suami Meninggal Akibat COVID-19

Hanya Sempat 47 Hari Berkahwin, Munirah Pasrah Suami Meninggal Akibat COVID-19

KUALA TERENGGANU: Masih dalam kehangatan cinta dan fasa bulan madu, seorang wanita terpaksa menerima hakikat suami yang baru dikahwini selama 47 hari meninggal dunia akibat dijangkiti COVID-19.

Lebih memilukan, Munirah Mamat, 37, dari Kampung Batu Hampar, Manir di sini sempat melayari kebahagiaan berumahtangga hanya lima hari sebelum suaminya terpaksa pulang ke Johor atas urusan kerja.

Cerita Munirah, dia berkahwin dengan Safri Muhamad, 50, yang berasal dari Ulu Tiram, Johor pada 29 Julai lalu di Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu selepas berkenalan selama 15 tahun.

“Selepas lima hari berkahwin, saya dan suami tinggal berasingan kerana arwah bekerja di Johor.

“Hanya panggilan video jadi penghubung sepanjang tempoh kami berjauhan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Dia yang bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya di sini berkata, arwah kemudian mengadu demam berpanjangan bermula 3 September sebelum disahkan positif COVID-19.

Ketika itu, katanya, Safri yang mempunyai penyakit asma sudah menerima vaksin namun tidak sempat melengkapkan dos kedua berikutan demam.

“Ketika kami berhubung melalui panggilan video, arwah pandang saya sambil tersenyum tapi jelas dia nampak letih.

“Saya bimbang melihat keadaan dia tapi hanya mampu berdoa,” katanya.

Wanita itu memberitahu, suaminya kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) pada jam 6.30 petang, 12 September selepas kesihatan merosot dan dia turut ke Johor bagi memantau perkembangan Safri.

Kata Munirah, kebimbangannya bertambah apabila doktor hubungi untuk meminta kebenaran menidurkan Safri, sejam selepas dimasukkan ke HSI kerana kadar oksigen dalam badan suaminya menurun.

“Waktu itu, saya sudah pasrah dan menyerahkan sepenuhnya kepada ALLAH SWT. Pada 14 September iaitu selepas 36 jam ditidurkan, pihak hospital hubungi saya dan beritahu suami meninggal dunia pada jam 7.15 pagi,” katanya.

Jenazah arwah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Taman Mount Austin kira-kira jam 1 tengah hari.

Jelas Munirah, dia reda dengan takdir bahawa jodoh mereka hanya selama 47 hari dan menyifatkan arwah suaminya seorang yang bertanggungjawab serta penyayang.

“Arwah suami sebenarnya sudah merancang untuk berhenti kerja di Johor dan pulang ke Terengganu tinggal bersama saya namun apakan daya, impian kami tidak tercapai kerana ALLAH SWT lebih sayangkan dia,” katanya-SH

Hanya Sempat 47 Hari Berkahwin, Munirah Pasrah Suami Meninggal Akibat COVID-19


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Harga emas merudum dipengaruhi sentimen ekonomi AS

Bengang selalu ‘dibandingkan’, cucu bakar rumah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker