Mengapa Islam Lebih Istimewa Berbanding Agama Lain

Inilah Sebab Mengapa Islam Lebih Istimewa Berbanding Agama Lain

Perkaitan kesihatan dengan keagamaan adalah bukan sesuatu yang sia-sia, bahkan ianya sememangnya ada perkaitan yang sangat kuat. Meskipun tiada dalil yang kukuh mengenai orang yang taat akan sihat, namun bukti tentang orang taat beragama itu sihat ada banyak.

Islam adalah agama yang mengharamkan zina dan menyeru kepada pernikahan kerana ianya banyak manfaat. Sebagaimana firman Allah dalam surah ar-Rum ayat 21



“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Manakala ayat tegahan zina dalam surah al-Isra’: 32 menyebutkan, “Dan janganlah kamu mendekati zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.”

Ini kerana, zina atau seks bebas tanpa pernikahan mendatangkan banyak kesan buruk kepada si pelaku. Sepertimana yang kita semua tahu, salah satunya adalah mengakibatkan risiko penyakit kelamin.

Menurut anggaran WHO, setiap tahun, seorang daripada 20 remaja di dunia dijangkiti penyakit kelamin yang mana daripada sejumlah 333 juta kes baru penyakit kelamin, 111 juta kes berlaku di kalangan mereka yang berusia di bawah 25 tahun.



Sihat luar sihat dalam

Namun itu Dr. Kamaluddin Nurdin Marjuni Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), menegaskan semua yang di atas adalah secara fizikalnya, apa yang lagi penting ialah secara mentalnya. Sebenarnya mereka yang taat beragama ini mempunyai pelbagai kelebihan lain yang kadang-kadang kita langsung tidak menyedarinya.

Malah manusia sering melihat kepada penyakit zahir sahaja, dan berusaha menyembuhkan penyakit itu walau berhabis jutaan ringgit. Walhal, penyakit zahir itu banyak terlahir dari penyakit hati. Ia bersandarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w.:

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya dalam tubuh manusia ada segumpal daging, jika itu baik maka akan baik seluruh tubuh manusia, tapi jika itu buruk maka akan buruk seluruh tubuh manusia, ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati manusia.” – (HR Bukhari Muslim).



“Lihat sahaja para ahli sufi terdahulu. Mereka tetap sihat meskipun usianya telah lanjut. Ibadah dan kerja dakwahnya masih mekar meskipun dirinya sudah mencapai sisa usia. Ia disebabkan ketaatannya kepada Allah dan hatinya bersih dari sebarang perkara kotor. Ia mendorong tubuh itu memiliki jasmani yang sangat mantap,” bicara Dr. Kamaluddin lagi.

Imam Ghazali membahagi penyakit kepada dua bahagian, satunya ialah penyakit zahir dan keduanya adalah penyakit batin. Seperti yang kita maklum, penyakit zahir mempunyai pakar, mempunyai ubat yang pelbagai sama ada dari sudut perubatan tradisional juga moden. Namun penyakit hati tiada pakar melainkan kembali kepada Allah dan memperhambakan diri pada tuntutan-Nya.

Doa, Ubat Stres

Tahukah anda, kebanyakan penyakit datang dari fikiran yang kusut atau tekanan? Ketua NeurExpand, juga pensyarah di Harvard Medical School, Dr. Majid Fotuhi, mengatakan bahawa salah satu perosak otak yang paling buruk adalah stres (tekanan).



Ketika stres terjadi, tubuh menghasilkan toksik yang membahayakan. Salah satu cara mengatasi stres adalah dengan berdoa. Dan hal ini pastinya tidak akan dilakukan oleh mereka yang tidak percaya Tuhan.

Justeru, bagi menghadapi tekanan, Allah telah berjanji bahawa berzikir dapat menenangkan hati. Sebagaimana firman-Nya menerusi surah 13:28

“(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan zikir kepada Allah. Ingatlah bahawa hanya dengan zikrullah hati menjadi tenang.”

Disebabkan itu, Dr. Kamaluddin memberitahu, Islam agama yang sangat istimewa berbanding agama lain. Meskipun setiap agama ada kepercayaan pada Tuhan, dan berdoa pada tuhan mereka ketika melanda pelbagai keresahan dan kekusutan, namun tiada yang lebih berkuasa dan abadi berbanding Allah taala.



Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Ma’aarij ayat 19,

“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat kedekut. Kecuali orang yang mengerjakan sembahyang.”

Berdasarkan ayat ini, ternyata keistimewaan amalan ibadah khusus membuktikan bahawa Islam telah menyediakan pakej penjagaan kesihatan fizikal (jasmani) dan spiritual (rohani) yang begitu diperlukan oleh manusia sejagat tanpa perlu terikut-ikut kepada konsep penjagaan kesihatan yang lain.

Solat khusyuk secara zahirnya adalah menghadapkan diri kepada Allah dengan penuh adab dan penghormatan. Kerana Allah S.W.T. adalah Raja di dunia dan Raja di akhirat, Raja yang Maha Kaya lagi Maha Berkuasa.



Solat yang mencapai tahap khusyuk, bukan sahaja memberikan kesan yang baik dalam hubungan kita dengan Allah S.W.T. malah berupaya membentuk keperibadian Muslim yang unggul. Bukan itu sahaja, beberapa kajian daripada pakar-pakar perubatan telah memperakukan bahawa puasa pada bulan Ramadan dan puasa-puasa sunat yang lain, memberikan kesan yang amat positif kepada kesihatan manusia.

Namun begitu, Dr. Kamaluddin ingatkan kepada semua akan konsep mencegah lebih baik daripada mengubat. Itu bermakna, setiap Insan perlu taat kepada Allah bagi mencegah dari berlakunya pelbagai kemungkaran pada diri dan hati.

Selain mengelakkan dari penyakit-penyakit yang berbahaya. Walau bagaimanapun, harus diingat, jika Allah telah uji seseorang dengan penyakit, wajib ke atasnya untuk mengubati, sama ada dengan cara tradisional ataupun moden. Wallahu a’lam


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ular sawa belit kaki, lelaki selamba ajak berbual

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker