Nona Superwoman cari usahawan wanita perkasa

Nona Superwoman cari usahawan wanita perkasa

SELEPAS tercetusnya fenomena majlis penganugerahan Nona Superwoman Award yang mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan golongan wanita dalam pelbagai bidang anjuran majalah Nona pada 2018 dan 2020, kini kesinambungan misi pencarian ikon wanita tersebut dikembangkan dalam bentuk program realiti.

Rancangan yang diberi judul Pencarian Nona Superwoman, merupakan kerjasama strategik antara NU Ideaktiv Sdn. Bhd. dan Astro Prima selaku penganjur bersama serta penyiar rasmi.

Program berkenaan merupakan sebuah pertandingan berkonsepkan realiti untuk mencungkil potensi golongan usahawan wanita, khususnya kumpulan B40 dan M40 yang terjejas akibat pandemik.

Selain mencungkil potensi wanita untuk lebih berdaya saing, objektif program berkenaan juga mahu memberi inspirasi dan dorongan positif kepada segenap lapisan masyarakat yang ingin meneroka peluang mencari sumber pendapatan baharu dengan menceburi bidang perniagaan.

Mengulas lanjut mengenai program tersebut, Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd. Salleh berkata, sumbangan besar kaum wanita kepada pembangunan dan ekonomi negara tidak boleh disangkal dan sememangnya telah lama mendapat pengiktirafan.

“Seperti yang dapat dilihat, penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan pada hari ini semakin meluas. Bahkan banyak bidang perniagaan kini didominasi oleh kaum Hawa.

“Hal ini membuktikan wanita juga mampu melangkah jauh untuk sama-sama menyemarakkan industri ke tahap yang lebih baik pada masa depan,” ujarnya.

Tambah ilmu

Sementara itu bagi Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak, program berkenaan dilihat memberi peluang kepada usahawan terjejas untuk berkembang, menambah ilmu berniaga dan merebut hadiah lumayan yang ditawarkan.

“Ini adalah platform terbaik buat usahawan wanita yang diserap sebagai peserta untuk melebarkan empayar. Dalam setiap episod, peserta dan penonton dapat belajar melalui pelbagai cabaran, dorongan dan ilmu-ilmu yang dikongsikan,” katanya.

Seramai 250 calon peserta telah menghadiri sesi uji bakat yang dikendalikan sepenuhnya secara dalam talian pada Mei lalu dan penyertaan terbuka kepada golongan usahawan wanita kumpulan B40 dan M40 berusia antara 25 hingga 45 tahun.

Calon peserta juga perlu mempunyai perniagaan sendiri, sama ada secara sepenuh atau separuh masa. Daripada jumlah tersebut, seramai 12 finalis terbaik berjaya terpilih menyertai musim pertama Pencarian Nona Superwoman.

Mereka terdiri daripada Syu Ramli yang berusia 33 tahun dan berasal dari Melaka, Fazsfaozi (35, Perak), Linda Roos (36, Kuala Lumpur), Ana (26, Perak), Rina (35, Kelantan) dan Ayu Omar (28, Kuala Lumpur.

Enam lagi peserta lain ialah Sya (32, Kelantan), Jiejie (26, Sabah), Ayda (30, Kelantan), Emma (37, Selangor), Sarah Ismail (34, Kuala Lumpur) dan Fazlia Akma (37, Kuala Lumpur).


SERAMAI 12 peserta melayakkan diri bertanding dalam musim pertama program Pencarian Nona Superwoman yang akan bersiaran pada 22 September ini.

Permarkahan

Nasib peserta ditentukan sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh juri profesional mengikut kriteria utama termasuklah keyakinan diri, kebijaksanaan, pengetahuan am, kreativiti, personaliti dan karisma yang menarik.

Dalam asasnya, Pencarian Nona Superwoman menekankan peserta menjadi wanita yang menguasai semua aspek, bukan sekadar cantik luaran, dan mempunyai ciri-ciri unggul serta kepimpinan yang disegani.

Selebriti Awal Ashaari dan Ketua Pengarah Ekesekutif USANITA, Datin Adzliana Hasan yang juga penerima anugerah Nona Best Strategic Business Thinker pada Nona Superwoman Award 2020 diberi mandat menggalas tanggungjawab selaku juri tetap.

Terdapat barisan personaliti popular lain bakal diundang khas secara bergilir-gilir pada setiap minggu sebagai juri jemputan.

Sementara pengacara dan pelakon Uyaina Arshad memegang peranan selaku hos bersandarkan kepada bakatnya dalam bidang pengacaraan.

Pencarian Nona Superwoman akan bersiaran secara eksklusif menerusi Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125) bermula 22 September, setiap hari Rabu pukul 9 malam serta boleh distrim dalam aplikasi Astro Go dan On Demand.

Program berbentuk kapsul berjudul Profil Peserta Pencarian Nona Superwoman menerusi paparan 12 buah episod ditayangkan setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 5.55 petang sejak 6 September lalu.

Sementara Kapsul Pencarian Nona Superwoman pula disiarkan selama lapan buah episod pada setiap Rabu, pukul 7 malam mulai 22 September ini.

Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 berserta trofi, sementara tempat kedua dan ketiga masing-masing berpeluang memenangi RM10,00 dan trofi.
K Online

Nona Superwoman cari usahawan wanita perkasa


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ratusan surat beta terima dari rakyat, rintih penuh duka – Agong

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker