Sentuhan berbisa Ronaldo menghidupkan kembali aura Old Trafford



Sentuhan berbisa Ronaldo menghidupkan kembali aura Old Trafford

MANCHESTER UNITED 4 NEWCASTLE UNITED 1

Cristiano Ronaldo mendedahkan bahawa dia “amat gementar” menjelang penampilan pertamanya buat Manchester United ketika menentang Newcastle United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.

Bekas penyerang Juventus itu menghidupkan suasana di Old Trafford dengan membuka jaringan pada penghujung separuh masa pertama dan kembali meletakkan pasukan tuan rumah itu di depan selepas gol penyamaan Javier Manquillo.

Bruno Fernandes dan Jesse Lingard kemudian turut menemui sasaran bagi melengkapkan kemenangan bergaya skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu, yang kini mengumpulkan 10 mata daripada empat perlawanan pertama musim ini.




Pada usia 36 tahun dan 218 hari, bintang Portugal, Ronaldo, menjadi pemain tertua menjaringkan dua gol dalam EPL sejak Graham Alexander melakukannya buat Hull City pada April 2010 (38 tahun dan 182 hari).

Kepulangannya ke pangkuan United sejak 12 tahun lalu tampak sempurna tetapi Ronaldo mengakui bahawa dia berasa sedikit tertekan untuk membuktikan dia masih mampu memberikan sumbangan buat The Red Devils.

“Saya tidak jangka akan menjaringkan dua gol, saya sangka hanya satu tetapi (dapat jaringkan) dua gol. Saya perlu menghargai penyokong dan apa yang telah mereka lakukan untuk saya hari ini. Saya berasa amat bangga,” katanya kepada BBC Sport.

“Perkara paling penting adalah kemenangan. Manchester (United) perlu berada di mana mereka sepatutnya berada. Ia demi kemenangan, demi membina pasukan ini dan membina kelab ini dan membina mentalitinya.

“Itulah yang ingin kami lakukan. Sudah pasti saya gembira untuk menjaringkan gol, saya tidak dapat menafikannya tetapi perkara paling penting adalah pasukan ini dan pasukan ini telah bermain dengan baik.




“Ia sukar dipercayai. Apabila saya memulakan perlawanan ini, saya amat gementar, saya berani bersumpah. Ia sesuatu yang normal kerana saya tidak menjangkakan mereka akan menyanyikan nama saya sepanjang perlawanan.

“Saya amat gementar, mungkin saya tidak menunjukkannya tetapi itulah yang saya rasakan. Saya amat gementar dan berfikir sepanjang malam bahawa saya mahu bermain baik dan membuktikan saya masih mampu membantu pasukan ini.

“Penerimaannya amat luar biasa tetapi saya berada di sini untuk menang dan membantu pasukan. Kelab ini amat luar biasa dan saya amat berbangga. Saya akan memberikan segala-galanya untuk membuatkan mereka berbangga dengan saya.

“Semua orang tahu bola sepak di England berbeza dengan tempat lain di dunia dan sejujurnya, ia adalah yang paling istimewa. Saya tiba di sini pada usia 18 tahun dan mereka melayan saya dengan amat luar biasa dan kerana itulah saya kembali ke sini,” katanya.

Ronaldo berpeluang untuk kembali mewakili United dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila mereka bertandang ke Swizerland untuk berdepan Young Boys awal pagi Rabu ini.




Sentuhan berbisa Ronaldo menghidupkan kembali aura Old Trafford


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Permulaan sensasi Ronaldo bersama Manchester United



Leave a Reply

Your email address will not be published.