Kerana masa, emas binasa

SELASA lalu, rakyat Malaysia digemparkan dengan insiden mengejutkan selepas Muhammad Ziyad Zolkefli dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter yang merupakan rekod baharu dunia.Beliau telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan persaingan disebabkan lewat melaporkan diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.Bahananya maruah negara tercalar dan ganjaran bernilai lebih satu juta ringgit mungkin terlepas begitu sahaja hanyalah disebabkan kerana masa yang tidak dipatuhi atau bukan kesalahan beliau sendiri dan juga kontinjen negara yang tidak diketahui.

ALLAH SWT bersumpah dengan masa dalam Surah al-Asr kerana masa itu adalah sangat penting pada seseorang insan. Seseorang insan itu berjaya atau gagal di dunia ini adalah berkait rapat dengan pengurusan masanya sama ada ia dimanfaatkan dengan sebaiknya atau dia membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa dimanfaatkan.

Masa dapat dikaitkan dengan amanah, masa dikaitkan dengan amal soleh, masa dikaitkan dengan pengalaman, masa dikaitkan dengan kehidupan untuk mencari rezeki, masa juga dikaitkan dengan janji.

Oleh itu, Surah al-Asr ini sinonim dengan kehidupan semua makhluk ciptaan ALLAH di atas muka bumi. ALLAH SWT memberikan suatu modal yang amat berharga dan tiada galang gantinya.

Dengan modal ini, manusia bahkan binatang dapat meneruskan kehidupan sehariannya dengan cukup sempurna sekiranya dilakukan secara berhemah. Modal tersebut sudah tentunya ‘masa᾿ yang tiada tolok bandingnya. Namun berapa ramaikah dalam kalangan kita yang mengambil pengajaran daripada ayat di atas?

Tersungkur di pentas dunia

Terlalu ramai yang tersungkur di pentas arena dunia fana apabila dikaitkan dengan pengurusan masa. Mereka lebih rela menghabiskan masa yang tidak berfaedah dengan keseronokan tanpa sedikit pun memikirkan tentang kematian yang saban hari mendekati mereka dan kita.

Makhluk kerdil ciptaan ALLAH SWT seperti burung secara fitrahnya bijak menghargai masa, ketika keluar mencari makan untuk dibawa pulang kepada anak-anaknya dan kembali semula ke sarangnya tetap dengan masanya, kalau tidak anak-anak burung akan kelaparan, bagaimana pula dengan manusia?

Atas dasar itulah Nabi Muhammad SAW memberikan contoh di dalam hadis baginda berkaitan mencari rezeki dengan mengaitkannya dengan sikap burung yang tubuhnya kecil, tetapi tawakal dan kecekalannya ibarat gunung.

Sabda Nabi Muhammad SAW daripada riwayat Umar al-Khattab ra yang bermaksud: “Sekiranya kamu benar-benar bertawakal kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan memberi rezeki kepada kamu seperti mana Dia memberi rezeki kepada burung, ia keluar dengan perut yang kosong pada waktu pagi dan pulang pada petang harinya dengan perut kenyang.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Pendek kata, masa memerlukan komitmen. Jika anda tidak mampu memberikan komitmen kepada masa, mungkin anda bukan orang yang menepati masa. Seterusnya jika anda bukan orang yang tidak menepati masa, maka anda juga bukan orang yang menepati janji. Jika anda bukan orang yang boleh menepati janji, maka anda mempunyai sifat- sifat seorang munafik. Hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tanda-tanda orang munafik ada tiga iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

‘Saya bertanggungjawab atas insiden Ziyad’

Terikat dengan masa

Hadis di atas jelas kepada kita begitu penting kepada seseorang itu menepati janji yang pada awalnya bermula pada masa. Setiap orang terikat dengan masa tersendiri, pekerja mempunyai masa kerjanya tersendiri, guru terikat dengan waktu kehadirannya ke sekolah jam 7.30 pagi, pekerja kilang dengan tempoh bertugasnya mengikut giliran tertentu dengan tempohnya tersendiri dan begitulah seterusnya.

Seseorang yang bercadang untuk melancong ke luar negara sudah pasti mempunyai jadual pelepasan pesawatnya tersendiri dan terikat dengan masa pelepasan tersebut.

Seorang pelancong yang bijak akan tiba terlebih awal di lapangan terbang sebelum pesawat dijadualkan berlepas dalam tempoh tiga jam dalam negeri dan empat jam untuk keluar negara. Ia berbuat demikian kerana memahami konsep penumpang menunggu kapal terbang bukan kapal terbang menunggu penumpang.

Dalam erti kata mudah, kita menunggu kapal terbang atau kapal terbang menunggu kita? Jikalau kita yang menunggu kapal terbang, kita akan tiba dengan selamat ke destinasi ditujui, tetapi kalau kapal terbang yang menunggu kita sudah pasti kita tidak akan ke mana-mana.

Dengan adanya sikap menghargai masa dan peraturan seperti ini, produktiviti kerja dalam pelbagai bidang dapat dipertingkatkan dan semua perkara akan berjalan lancar. Apa yang akan berlaku sekiranya seorang guru datang lewat ke kelas, sudah pasti murid di dalam kelas ibarat kambing mengembek begitulah juga dalam sektor-sektor lain.

Oleh itu, kehidupan duniawi ibarat suatu perniagaan yang sedang diusahakan di mana laba atau keuntungannya akan kita peroleh di hari akhirat kelak.

Namun sebahagian pekerja tidak begitu sensitif terhadap ‘modal masa᾿ berbanding modal yang berupa ‘wang ringgit᾿ kerana itu pembaziran masa berlaku sewenang-wenangnya melalui perbualan-perbualan kosong, masa interaksi di media sosial yang tidak berfaedah dan pelbagai lagi aktiviti lain untuk menghabiskan masa.

Justeru, marilah kita gunakan masa yang ada ini untuk memperbanyakkan amal soleh kita untuk dibawa sebagai bekalan di alam kubur, yang muda gunakan usia muda dengan menambah ilmu sebanyaknya untuk meningkatkan kualiti amalan di hari tua. Yang tua, jangan gunakan masa tua hanya banyak termenung mengenang kisah muda yang banyak lekanya.

Gunakan masa yang ada untuk amal soleh yang pasti menerangi kubur yang gelap gelita. Tidak kira apa jua kebaikan di dunia ini jangan kita persiakan.

Walaupun ianya kecil, tapi besar bila di timbang di neraca Tuhan. Setiap saat berlalu, maka berlalulah modal tersebut sama ada ia telah memberikan keuntungan kepada kita pada hari akhirat kelak atau sebaliknya, ianya terpulanglah bagaimana cara kita menguruskannya.

Benarlah pepatah Arab yang bermaksud: “Masa ibarat pedang jika kamu tidak menggunakannya untuk memotong, ia akan memotong kamu.”

* Datuk Mohamad Din Yusoh ialah penulis buku Covid-19 Melanda Negara dan Dunia

Kerana masa, emas binasa


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Keputusan Batal Pingat Emas Ziyad Kekal, Saya Mintak Maaf Pada Rakyat Malaysia- Ziyad

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker