Kenapa masih tak maju, sedangkan semua sumber dan pakar kita ada?

KADANGKALA kita merasa sangat hairan, negara sekecil Malaysia, segala pakar, sumber, semua ada, tetapi masih tidak maju, berbanding dengan negara lain. Thailand dan Vietnam sudah mula meninggal kita, walaupun suatu ketika dahulu, kita agak terkehadapan.

Jika kita terus terperasan, kita masih ‘terbaik’ dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara, kita akan terus ketinggalan, belakang negara-negara lain, yang kita pandang ‘lekeh’ sebelum ini

Malah negara Islam terbesar dengan saiz dan jumlah penduduknya, seperti Indonesia sudah mula menunjukkan petanda yang jelas akan meninggalkan negara kita.

Logiknya, cabaran menguruskan negara besar dengan kepadatan yang tinggi, sudah tentu jauh lebih sukar berbanding dengan negara kecil, pertumbuhan penduduk yang kecil.

Saiz Indonesia terlalu besar 1,904,569 km2 (Malaysia 330,803 km2) ditambah bilangan pulau yang begitu banyak 15,000 pulau (Malaysia hanya sekitar 878 pulau).

Penduduk Indonesia hampir 10 kali ganda lebih besar daripada kita, 270 juta (Malaysia sekitar 33 juta). Namun, tanda-tanda sudah mula menunjukkan, kita mula ketinggalan.

Hairan bukan? Kita masih tidak mampu bersaing dengan negara asal usul kita sendiri iaitu Singapura. Sedangkan negara ini langsung tidak ada sumber, melainkan pelancungan. Kenapa negara ini cepat membangun?

Puncanya tidak lain, kita terlampau berpolitik, masa dan tenaga banyak terbuang di situ sahaja. Ini belum termasuk soal tawar menawar kerana kemaruk undi, begitu juga tiada penegasan dalam membuat keputusan, salah guna kuasa dan rasuah.

Saya tidak mahu bandingkan dengan Singapura, kerana mungkin ada yang berkata negara ini terlalu kecil. Kita ambil yang paling ekstrem, negara sebesar Indonesia.

Isu besarnya adalah soal kepemimpinan. Allah kurniakan pemimpin Indonesia yang telah terlalu berpolitik. Tetapi kuat bekerja. Ada integriti. Tegas dalam membuat keputusan negara.

Saya tidak kata, kita tidak kuat bekerja, tetapi penghalang besarnya adalah politik dan ‘kegagalan’ dalam membina negara bangsa.

Pertama, Indonesia sangat berjaya dalam membentuk asas satu bangsa, satu negara yang kukuh, berasaskan kepada asimilasi. Mereka tidak ada masalah bangsa. Bangsa mereka hanya ada satu.

Bangsa Indonesia hanya satu, bangsa Indonesia, semua telah diasimilasikan tanpa kompromi. Sebab itu kita lihat, bangsa Indonesia, begitu kuat menjaga jati diri dan identitinya, termasuk bangsa mendatang, seperti bangsa Cina. Mereka sudah tidak melihat dirinya Cina, melainkan bangsa Indonesia.

Kita pula bagaimana? Kita begitu bangga dengan konsep integrasi tanpa asimilasi. Kekal dengan cara hidup masing-masing, sehingga agenda hidup bernegara tergendala. Semuanya terpisah-pisah. Lebih-lebih lagi kita dipisahkan sejak kecil melalui sistem Pendidikan. Setiap bangsa ada media, TV, Radio, NGO dan parti tersendiri. Sosialisasi politik amat perkauman tanpa asimilasi.

Kita dengan bangga mengatakan, inilah Malaysia, truly Asia, unity in diversity. Perpaduan dalam kepelbagaian. Kesannya apa? Adakah kita berjaya melahirkan rakyat yang sanggup berkorban jiwa raga untuk negara?

Kita masih tehegeh-hegeh berkempen menggunakan Bahasa Kebangsaan. Saban tahun kita menghabiskan wang, masa dan tenaga, kempen menggunakan Bahasa kebangsaan, yang sudah sedia termaktub dalam perlembagaan

Tidak ada dalam sejarah, sesebuah negara berkempen, Bahasa kebangsaannya sendiri. Semua sedia maklum bahawa setiap negara yang mempunyai Bahasa kebangsaan, mesti dikuasai oleh warganya. Tetapi tidak untuk Malaysia. Masih ada rakyat yang tidak boleh langsung berbahasa Melayu. Bagaimana nak lahirkan rasa cinta kepada negara.

Sepakat di bawah Keluarga Malaysia

Kempen bulan Bahasa ternyata gagal. Rakyat Malaysia masih ramai yang tidak boleh bertutur dalam Bahasa kebangsaan. Dalam rumah mereka penuh dengan media Bahasa ibunda.

Kedua, kesungguhan Indonesia dalam membenteras korupsi, rasuah dan salah guna kuasa. Ketika Presiden Indonesia, Jokowi – ditanya mengenai rasuah. Dengan tegas Jokowi berkata, kerajaan negara itu tidak berhalangan untuk mengenakan hukuman mati ke atas pesalah rasuah di republik terbabit.

Cadangan hukuman mati ke atas pelaku rasuah timbul selepas seorang pelajar, Harley Hermansyah, mempersoalkan tindakan kerajaan Indonesia yang dilihat tidak berani untuk memberi hukuman berat bagi kesalahan berkenaan.

Jokowi dengan berani menjawab persoalan yang dibangkitkan bersempena sambutan Hari Antirasuah Sedunia di Indonesia Disember 2019. Jokowi secara tegas mengatakan perkara itu boleh dilaksanakan sekiranya rakyat republik itu memahukannya.

Bekas gabenor Jakarta itu menjelaskan peruntukan hukuman mati terhadap pelaku rasuah di negara itu memang sudah ada sebelum ini, namun hanya terpakai untuk kes yang melibatkan bencana alam. Antara kesalahan yang tersenarai untuk hukuman mati ialah jika rasuah tersebut berlaku ketika Indonesia berada dalam keadaan bahaya, bencana alam, kesalahan berulang dan sekiranya dalam krisis ekonomi dan kewangan.

Adakah negara kita begitu serius dalam hal? Penghalang sebenar untuk bergerak maju adalah rasuah. Semua ini, telah mula membawa kestabilan kepada Indonesia dan semua ini menarik pelabur asing masuk ke sana.

Ketiga, pasaran buruh dan pekerja tempatan cekap dan murah, mengikut model China dan Vietnam.

Jangan pergi jauh, ambil contoh sawit. Dahulu, negara kita adalah pengeluar sawit yang terbesar sebab kita mendahului negara lain dari segi penanaman dan teknologi sawit. Kita gunakan majaoriti buruh Indonesia.

Seiring masa berjalan, dengan pengalaman, buruh mereka yang berada di sini, kembali ke negara asal, hari ini, Indonesia sudah mengatasi kita dalam pengeluaran sawit. Pengeluar terbesar dunia. Kita bagaimana?

Sehingga hari ini kita masih bergantung kepada buruh Indonesia untuk mengerjakan ladang sawit dan juga semua sektor berkaitan perburuhan. Anak-anak kita bagaimana? Mereka sibuk dengan kerja lain rupanya. Tidak ada glamour dengan kerja buruh sawit, kelapa, getah dan sebagainya.

Jika tidak, masakan negara kita, dibangunkan oleh buruh dan pekerja Indonesia, tanpa mereka tidak mungkin boleh tertegak bangunan merata tempat, seluruh bandaraya negara kita.

Keempat, keyakinan terhadap kemampuan bangsa Indonesia membangunkan negara berasaskan teknologi. Perkembangan teknologi semakin rancak di sana, walaupun penguasaan Bahasa Inggeris tidak seberapa. Tetapi mereka amat percaya dan yakin dengan bangsa Indonesia. Begitu juga negara lain, seperti China, Jepun, Turki dan lain-lain. Negara ini tetap maju dengan tidak terlalu obses dengan Bahasa Inggeris sehingga Bahasa sendiri dianaktirikan seperti negara kita.

Sebab itulah, asas kemajuan sesebuah negara, bukanlah sangat bergantung kepada kemampuan berbahasa Inggeris, tetapi pada sikap dan perangai kita, attitude dan aptitude. Tidak ada erti berbahasa Inggeris cair bukan main, tetapi perangai langsung tidak ada jati diri.

Kematangan Menteri atau pemimpin Indonesia dalam hal ini jelas kelihatan. Sangat mendaulatkan jati diri negara walaupun mereka boleh berbahasa Inggeris. Cuba lihat, di sisi Menteri kesihatannya apabila bercakap mengenai wabak COVID19, begitu berkeyakinan sekali. Kita mendengar rasa kagum.

Lihat penguasaan Indonesia dalam melahirkan high tech teacher. Sangat mengkagumkan. Ini diakui oleh Vivek Wadhwa seorang Professor di Carnegie Mellon University Engineering, Silicon Valley ketika menulis dalam The Washington Post. Secara jelas, melahirkan keyakinannya, bahawa masa depan Pendidikan digital Indonesia sangat cerah atas kemahuan mereka.

Virtual Reality (VR) merupakan masa depan cerah bagi pendidikan. Banyak tokoh dari berbagai negara juga menyampaikan hal yang sama. Pendidikan Indonesia kini terus berupaya melakukan digitalisasi. Hal ini banyak dimulai dari penggunaan teknologi untuk proses pembelajaran, baik di dalam maupun di luar kelas. Salah satu yang terus diupayakan adalah penggunaan teknologi VR. Berdasarkan ini, High Tech Teacher Indonesia melakukan kolaborasi untuk melatih pendidik Indonesia belajar mengembangkan kandungan VR secara mudah. Begitulah giatnya negara jiran dalam high tech mereka.

Namun, bila lihat negara kita, sangat teruja membaca berita Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri (CCFP) yang ditubuhkan bagi menentukan dasar luar negara, yang mana ahli-ahlinya, selain warga tempatan, ada seorang terdiri daripada pensyarah salah sebuah universiti di Singapura. Saya yakin medium digunakan dalam Bahasa Inggeris walaupun semuanya adalah warganegara, kerana memahami tidak semua rakyat boleh berbahasa Melayu dengan baik.

Persoalannya, berkaitan pensyarah universiti luar yang dipanggil sertai CCFP, apakah kita sudah tandus pakar dasar luar dalam negara, sehingga terpaksa membazir wang dan tenaga memanggil pensyarah daripada negara jiran, yang sememangnya kita tahu, dengan sifat ultra kiasunya.

Negara jiran ini sudah terkenal dengan sifat ultra kiasunya. Langsung tidak mahu berkongsi walaupun asal usul adalah negara kita. Ketika professor yang mengajar saya masih hidup, Profesor Chandran Jeshurun, pernah berkhidmat di salah sebuah universiti di sana. Pesan beliau, sukar untuk mempercayai negara ultra kiasu ini. Negara ini ibarat sebiji kek, dia tidak ada kongsi kek itu, dia mahu makan sendirian. Itulah ultra kiasu.

Kelebihan negara ultra kiasu ini adalah, pemimpin mereka ada integriti. Tegas. Tidak ada kompromi dalam hal berkaitan rasuah. Itulah salah satu resepi untuk maju selain bekerja keras. Kita bagaimana?

Sebenarnya, banyak lagi faktor lain. Cukup setakat ini dahulu, untuk sama-sama kita fikirkan.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Penurunan Cukai Trend Global Tapi Malaysia Tidak mampu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker