Politik hanya stabil bila ada reformasi Parlimen

Selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018, landskap politik Malaysia berubah dengan begitu ketara susulan wujud aktiviti lompat parti oleh wakil rakyat.

Keadaan itu juga menyaksikan negara ‘melakar’ sejarah tersendiri apabila dalam tempoh kira-kira tiga tahun, tiga perdana menteri berbeza telah dilantik gara-gara kerajaan tumbang akibat ada wakil rakyat yang berpaling tadah.

Justeru, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berpandangan sudah tiba masanya aktiviti lompat-melompat membabitkan wakil rakyat dihentikan bagi mengembalikan kestabilan politik.

Ikuti wawancara Sinar Ahad bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai itu bagi mengupas mengenai isu lompat parti dan isu hangat lain dikendalikan wartawan Nurul Huda Husain dan Nur Iftitah Rozlan.

SINAR AHAD: Bagaimana YB melihat keadaan politik sekarang?

AHMAD FAHMI: Bacaan saya ia masih kurang stabil dan ini akan melambatkan proses mengembalikan keyakinan pelabur, malah juga pengundi kerana dari segi sistem politik selepas ‘Langkah Sheraton’ hingga ke hari ini terlalu banyak perkara yang dari segi struktur perlu dibaiki semula.

Ini hanya boleh berlaku dengan beberapa reformasi di Parlimen. Contohnya undang-undang antilompat parti, undang-undang pilihan raya semula ataupun memecat seorang ahli Parlimen oleh pengundi di kawasan tersebut. Juga perlu ada persefahaman baharu dalam kalangan pemimpin politik yang memungkin satu persetujuan tentang cara pengurusan politik itu diteliti dan diperakui hingga ke akhir penggal.

Kita tidak mahu perkara seperti ‘Langkah Sheraton’ berulang semula kerana akhirnya yang terkesan adalah pengundi sekiranya mereka hilang kepercayaan kepada proses demokrasi dan institusi Parlimen itu sendiri. Nilai undi turut tercemar dan menjadi tidak bernilai sehingga membuatkan orang berasakan ‘buat apa aku keluar mengundi, kalau akhirnya orang itu khianat, kepada parti, kepada aku (pengundi)’. Jadi konsep itu perlu diperbaiki.

Saya lihat dari segi urus tadbir kerajaan sekarang, (Perdana Menteri) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar, malah mungkin wajib membenarkan satu usul undi percaya terhadap beliau untuk mematikan hujah tentang keabsahan, tentang majoriti.

Kita kena ingat telah beberapa kali dalam sejarah Parlimen Malaysia apabila jawatan Perdana Menteri beralih daripada seorang ke seorang yang lain bukan dalam keadaan pilihan raya, sejurus selepas pengganti dilantik ada undi percaya di Parlimen.

Pertama pada tahun 1976 sewaktu Tun Hussein Onn ambil alih daripada Arwah Tun Razak, kemudian pada 2003 apabila Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) ambil alih daripada Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya lihat terutama dalam keadaan majoriti tidak jelas ataupun majoriti mungkin boleh dipertikai, maka soalan tentang majoriti ini perlu diselesaikan di Parlimen.

– Sejauh manakah kesediaan pembangkang untuk bekerjasama dengan kerajaan menerusi Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) antara pemimpin pembangkang dan Perdana Menteri?

Kami tidak lihat ia sebagai perjanjian kerana skopnya terlalu terhad dan kecil. Seperti yang pimpinan (Pakatan Harapan) telah sebut, malah dalam kenyataan bersama dengan Perdana Menteri, kami ingin lihat siri reformasi diusahakan termasuk reformasi fiskal, penambahbaikan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN), reformasi institusi termasuk di Parlimen dan juga beberapa perkara yang lain.

Kami ingin lihat contohnya Undi 18 dilaksana. Ini penting sebab pindaan kepada Perlembagaan telah dibuat dan perkara itu tidak menjadi isu langsung, boleh dilaksanakan sekarang.

Ada beberapa perkara lain yang perlu untuk kestabilan politik negara yang tidak ada dalam CSA yang konvensional. Jadi apa yang kita lihat sekarang lebih kepada usaha reformasi dan memastikan ada kestabilan dalam politik tanah air.

 

– Terdapat cadangan untuk menggubal Akta Antilompat Parti. Adakah pembangkang bersetuju?

Kami agak positif dengan idea tersebut tetapi kita perlu teliti untuk pastikan apakah cadangan, mekanisme dan apakah kesan kepada mereka yang melompat.

Adakah mereka akan bukan sahaja terbatal atau adakah mereka akan dihalang daripada bertanding lagi dalam satu tempoh sama seperti ahli Parlimen yang melepaskan jawatan wakil rakyat. Jadi dia tidak dibenarkan bertanding selama lima tahun.

Adakah itu apa yang dimaksudkan kesan daripada pelaksanaan Akta Antilompat Parti. Saya percaya dalam kalangan ahli Parlimen yang ada setuju, ada yang tidak setuju. Saya rasa perbincangan tentang isu ini kita wajar rancakkan supaya lebih ramai yang mula tahu.

Kita sudah lihat kesan daripada aktiviti lompat-melompat sejak tahun 2018 apabila sejumlah ahli Parlimen UMNO masuk ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Itu sebenarnya siri lompat-melompat.

Saya boleh sebut ada ahli Parlimen pada waktu itu keluar UMNO hendak masuk PKR tapi dalam kalangan pimpinan (PKR) termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah (Anwar) mereka bertegas, kalau kita terima orang yang lompat kerana dipercayai akan mendapat kedudukan atau keluar daripada masalah, apa kesan kepada politik tanah air, apa kesan kepada kepercayaan pengundi terhadap prinsip kami sebagai sebuah parti?

Jadi itu yang menyebabkan tiada siapa yang masuk ke PKR. Yang keluar itu adalah, yang keluar itu semua pengkhianatlah. Jadi, siri pengkhianatan dan lompat-melompat ini mesti berhenti, tidak boleh.

– Apakah cabaran dalam melaksanakan akta tersebut?

Masalah utama ialah ia mesti diterima oleh ahli Parlimen terutamanya pimpinan parti. Mereka mesti faham niat, hasrat, iltizam, matlamat akta ini. Ada sejumlah pimpinan parti yang setuju, ada yang tidak setuju. Jadi, prosesnya sama seperti gubal undang-undang yang memerlukan persetujuan dua pertiga.

Usaha mesti bermula awal untuk memahami apakah sebab-sebab sesuatu parti itu tidak boleh menerimanya. Ia sama juga contohnya akta untuk kawal dana politik, macam mana ahli-ahli politik, parti politik mengumpul dana. Itu penting supaya kita boleh elak masalah yang berlaku sebelum ini.

– Bagaimana pula dengan cadangan untuk memperkenalkan pilihan raya semula bagi memecat wakil rakyat atau recall election?

Saya suka idea ini seperti yang dicadangkan Datuk Seri Azalina Othman Said. Dalam Peraturan Mesyuarat, ada tiga bentuk rang undang-undang yang boleh dibawa ke dalam Dewan Rakyat, oleh kerajaan, persendirian atau campuran.

Bila persendirian atau rang undang-undang dibawa oleh Backbenches atau pembangkang, ia tidak boleh pada kebiasaannya menjadi akta kecuali diambil, diterima dan dibawa semula oleh kerajaan.

Tetapi proses itu setidak-tidaknya meletakan satu draf untuk perbincangan umum. Harapan kita menteri yang menjaga undang-undang dan Parlimen boleh meneliti, mengambil kira semua pandangan dan mungkin sama-sama kita rangka satu rang undang-undang pilihan raya semula atau recall election yang adil.

Ada juga dalam kalangan pimpinan parti bertanya tentang kos. Kalau hendak melaksanakan satu pilihan raya, adakah kosnya terlalu tinggi, mungkin dalam beberapa juta ringgit dan adakah kos itu juga akan beri kesan kepada politik wang.

Itu sebabnya bagi saya penting untuk kita fahami apakah yang ingin kita tambah baik atau kita perkenalkan tetapi ia tidak boleh (dibuat) satu-satu sebaliknya mesti secara menyeluruh. Penting untuk kita lihat wujudnya rang undang-undang pencegahan lompat parti, ada rang undang-undang untuk membuat pilihan raya semula, ada undang-undang untuk menyelia dana politik dan beberapa rang undang-undang lain yang keseluruhannya menjadi satu pakej.

Ia akan menjadi satu reformasi besar yang memungkinkan politik di Malaysia dan Parlimen itu sendiri berfungsi dengan lebih baik, dengan lebih stabil pada masa depan sekali gus mengelak kejadian selama dua tahun lalu.

Tidak pernah kita ada sejarah politik tanah air dalam masa tiga tahun, tiga perdana menteri yang berbeza. Tidak pernah. Kalau hendak dibandingkan ia mungkin sama seperti dulu pernah berlaku di Jepun sewaktu peralihan daripada kerajaan LDP kepada kerajaan satu kerajaan lain kemudian bertukar balik.

Tapi pada masa yang sama kita kena ingat di peringkat negeri pernah ada negeri yang bertukar tangan macam di Perak dan Kedah. Bila kita sudah ada pengalaman di peringkat negeri, sekarang kita mengalami di peringkat pusat. Ini tidak stabil bagi saya dan kita perlu perbaiki.

– PKR telah menetapkan perjanjian iaitu mana-mana ahli Parlimen PKR yang melompat parti perlu membayar sebanyak RM10 juta namun tuntutan tersebut tidak berjaya dilakukan hingga sekarang. Boleh jelaskan mengapa ia berlaku?

Kita sudah bawa kes ke mahkamah. Saya tidak boleh komen lebih kerana ini merupakan kali pertama kita betul-betul membuat tuntutan. Sebelum ini pernah ada, namun struktur yang diletakkan adalah untuk memastikan setiap ahli Parlimen atau calon yang bertanding menandatanganinya.

Saya sendiri ada menandatanganinya dan sekiranya langgar akan memberi kesan. Jadi, ini adalah kali pertama ia dilaksanakan dan diibaratkan seperti kit ujian.

Namun seeloknya bukan kami yang buat. Kalau ada rang undang-undang atau akta yang saya sebutkan tadi dan ada kesamarataan dalam Parlimen itu sendiri untuk memberi peruntukan kepada ahli Parlimen tidak kira pembangkang atau kerajaan, maka ia akan mengurangkan kebarangkalian lompat parti berlaku.

– Apakah gambaran yang dapat YB berikan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan datang? Adakah YB meramalkan tiada parti politik yang dapat kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan?

Ramalan untuk PRU sama macam ramalan kaji cuaca. Contohnya, kami jangkakan 60 peratus akan hujan di sebelah petang, tapi tengah hari sudah hujan.

Dulu, ramalannya ialah Barisan Nasional (BN) akan menang dua pertiga dan ramalan itu dibuat pada hari PRU itu berlaku atau sehari sebelum. Dulu saya diramalkan kalah di Lembah Pantai tapi yang berlaku saya menang dengan dua kali ganda lebih majoriti berbanding Nurul Izzah Anwar sebelum itu.

Banyak faktor yang kita tidak nampak dan sukar untuk diramalkan. Tetapi, saya nampak kita perlu bersiap sedia dengan beberapa senario. Sebagai contoh, pertama ada kemenangan yang mutlak oleh satu parti atau satu gabungan.

Bagi rakyat Malaysia, kita sudah pernah laluinya, jadi ia tidak terlalu mengejutkan. Apa yang akan berlaku kalau senario lain muncul, contohnya tiada gabungan yang mempunyai majoriti lebih daripada 112? Kalau kita lihat di negara lain, contohnya di United Kingdom (UK) di Whitehall iaitu pihak kerajaan, seperti di Putrajaya, ia pernah menyediakan satu dokumen sebelum ini untuk pegawai-pegawai kerajaan menguruskan situasi sekiranya tidak ada parti yang mempunyai majoriti untuk memastikan proses itu berjalan mengikut perlembagaan dan berasaskan lunas undang-undang. Kita mungkin tidak ada manual seperti itu.

Di Malaysia kita akan mengikut Perlembagaan Persekutuan yang mungkin bagi sesetengah pentafsir memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mempunyai sokongan majoriti. Jadi di situ ada sedikit ruang untuk Tuanku melaksanakan tugas berlandaskan perlembagaan.

Tetapi bagaimana sekiranya wujud keadaan di mana tidak ada majoriti? Jadi ini mungkin senario yang paling dirisaukan terutamanya oleh pelabur, institusi dan dalam kalangan penjawat awam di Putrajaya sendiri. Apa yang akan berlaku? Mungkin ada idea kerajaan campuran atau perpaduan? Namun ia tidak pernah berlaku.

Tapi saya lihat mungkin sekarang adalah masa yang sesuai untuk Putrajaya lebih bersifat profesional seperti Whitehall. Yang menariknya di situ, saya difahamkan sebelum PRU berlaku, Ketua Setiausaha Negara (KSN) di sana akan bertemu dengan ketua-ketua parti dan memaklumkan proses yang perlu dilakukan sekiranya mereka menang. Itu adalah cara yang dibuat di UK.

Tapi di Malaysia, kalau kita lihat sepanjang tiga tahun ini, KSN memainkan peranan penting dalam menstabilkan penjawat awam. Cuma untuk parti politik, masih tidak ada akta antilompat parti dan beberapa akta yang lain.

– Apakah pandangan YB terhadap desakan supaya pemimpin muda diberikan ruang untuk menerajui pembangkang?

Bagi saya, PH sudah membuat satu keputusan sejak April 2021 melalui Ketetapan Port Dickson pada satu program permukiman kepimpinan yang mana kita telah mengesahkkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon PH untuk PRU ke-15.

Itu tidak disangkal atau tidak diubah pada waktu ini dalam keadaan kita menjangkakan PRU mungkin dalam masa 12 bulan atau maksimum 23 bulan dari sekarang. Sebab Parlimen ke-14 akan bubar secara automatik pada 16 Julai 2023. Paling lewat PRU ke-15 boleh diadakan adalah pada September 2023.

Jadi masa tidak panjang dan saya rasa sekarang tidak sesuai untuk ada mana-mana pemimpin lain selain Anwar. Saya dan Majlis Presiden PH juga berpegang pada pendirian itu kerana selama ini kita belum lagi menyaksikan Anwar mengetuai kempen. Saya rasa pelbagai kezaliman yang dilakukan kepada beliau selama ini menjadi hujah paling kuat untuk kita benarkan Anwar menjadi panglima utama perang PRU ke-15 untuk pihak pembangkang.

Apabila melihat statistik Malaysia sekarang, dari segi populasi, lebih sepertiga daripada rakyat Malaysia berusia 15 ke 35 tahun. Bagi PKR, insya-ALLAH kami tidak tandus dari segi anak-anak muda yang mampu tampil ke depan menjadi sebahagian daripada pimpinan peringkat barisan kedua atau ketiga yang satu hari nanti akan memimpin parti.

– Apakah hala tuju PKR dalam menghadapi PRU akan datang ?

Semestinya kami akan fokus lebih kurang 48 kerusi yang telah dimenangi pada PRU ke-14. Isu kerusi belum muktamad namun fokus juga adalah kepada kerusi-kerusi yang pernah kami tandingi dan yang berpotensi khusus untuk dimenangi pada PRU ke-15. Kami akan mempertahankan kerusi-kerusi yang ada dalam tangan, mengambil semula kerusi-kerusi atau kawasan Parlimen yang telah mengkhianati parti dan memberi fokus kepada kawasan-kawasan yang berpotensi.

Kami faham keupayaan parti, jentera, pimpinan dan bakal calon pada waktu ini. Kami akan memainkan peranan yang bersifat sinergi dengan rakan-rakan lain untuk memperoleh kemenangan dan insya-ALLAH sebagai blok terbesar semasa PRU15 nanti.

Fahmi Fadzil

 


ANEKDOT


– Harapan untuk masa depan negara

Saya harap lebih ramai anak muda bukan sahaja minat untuk memahami dan mengikuti, malah menceburi bidang politik. Kita perlukan lebih ramai anak muda untuk tampil ke hadapan. Dalam masa sama, saya harap proses PRU dan Parlimen dapat ditambah baik untuk mencerminkan semangat yang lebih baik dan adil kepada semua pihak.

Selain itu, pimpinan parti politik juga perlu bermuhasabah dan memikirkan nasib masa depan anak cucu serta bersedia bertolak ansur dalam isu mencapai satu kestabilan. Bukan untuk mengalah tapi setidaknya ada kestabilan politik. Kita faham proses untuk mendapatkan kuasa itu tidak akan menjejaskan bukan sahaja keyakinan pengundi terhadap proses demokrasi tetapi berlandaskan semangat perlembagaan itu sendiri. Kalau dilihat di negara lain seperti Amerika Syarikat dan Eropah, ada bibit-bibit warga yang mencemuh proses demokrasi dan mereka lebih bersikap sayap kanan. Berbeza dengan kemajmukan dan semangat di Malaysia di mana kita boleh saling menerima serta bertolak ansur. Kita kena teliti dan jiwai semula semangat itu supaya tidak hilang apa yang telah dicapai selama ini.

– Kenangan dipeluk lepas solat Jumaat

Antara yang paling terkesan bagi saya berlaku pada hari Jumaat pertama selepas PRU ke-14 iaitu ketika saya pergi solat Jumaat di Masjid Jamek Al-Khadijiah di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Selepas selesai solat, di luar saya terserempak dengan seorang pak cik. Dia tengok dan dakap saya kemudian minta tolong saya selamatkan Kampung Kerinchi sambil menangis. Saat itu juga, saya turut sama menitiskan air mata.

Namun peristiwa itu telah mengubah persepsi bahawa wakil rakyat bukan sekadar menyampaikan cita-cita atau harapan tetapi dia juga mesti berusaha untuk mengotakan janji dan amanah.

Itu adalah perkara yang mengubah sikap saya. Ketika itu saya benar-benar faham ini adalah harapan penduduk yang mengharapkan perubahan.

Saya juga ingat lagi, sewaktu kecil dalam tahun 1990-an, saya pernah berada di Dataran Merdeka kerana emak minta saya menemaninya ke satu program dan kami terserempak dengan Anwar Ibrahim. Tanpa saya mengetahui, sejak itu saya mula melihat dunia politik dan kerajaan walaupun hanya dalam konteks yang umum.

– Buku, portal hiburan dan TikTok

Saya seorang yang sukakan buku. Jadi saya sering mengunjungi kedai buku dan membelinya sebagai bahan bacaan pada waktu lapang. Saya sudah dididik sejak kecil oleh ayah untuk tanamkan rasa cinta terhadap buku. Ayah saya lebih suka belikan saya buku berbanding barang mainan. Dari situlah saya ada tabiat suka beli dan membaca. Selain itu, saya juga suka melihat laman web hiburan 9GAG dan melayari media sosial seperti aplikasi TikTok.

 


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


MPN, apa kelainan Muhyiddin boleh buat sekarang?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker