Bahaya manipulasi kes mahkamah

Gambar Hiasan***

ANTARA masalah paling besar yang merosakkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap sesebuah negara, khususnya negara membangun, adalah kehakiman yang tidak bebas.

Adalah hakikat bahawa di sesetengah negara membangun, kehakiman tidak bebas kerana mahkamah tidak diberikan kuasa pemutus (supreme) oleh perlembagaan, pegawai-pegawai mahkamah yang rasuah dan kerajaan yang suka campur tangan.

Apabila pihak luar negara tidak yakin dengan sistem kehakiman sesebuah negara, mereka keberatan berurusan dengan negara tersebut. Kalau pelabur, mereka tidak akan melabur.

Ini adalah kerana jika berlaku masalah atau pertikaian dengan pelaburan mereka, mereka bimbang tidak akan mendapat keadilan daripada mahkamah tempatan. Walaupun mereka boleh membawa aduan kepada mahkamah timbangtara antarabangsa, proses ini memakan masa dan dikhaskan kepada pertikaian besar sahaja.

Dari sudut umum, sistem kehakiman kita adalah antara yang terbaik di kalangan negara-negara membangun dan tidak mempunyai masalah kebolehpercayaan di kalangan pelabur antarabangsa.

Yang menjadi masalah adalah dalam kalangan rakyat jelata Malaysia sendiri. Ramai yang mencurigai sistem keadilan dan kehakiman kita terutama sekali apabila melibatkan orang kenamaan. Mereka sangat bimbang dan curiga berkenaan kemungkinan campur tangan kerajaan dan pihak-pihak lain yang berpengaruh dalam kes-kes seperti itu.

Walaupun kerajaan dari semasa ke semasa memberi jaminan tidak akan campur tangan dalam urusan mahkamah, namun ia masih dicurigai apatah lagi jika kerajaan sendiri kurang diyakini.

Yang terbaharu memberi jaminan ini adalah Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika menjadi Perdana Menteri. Malah beliau berkata, beliau hilang sokongan sesetengah ahli Dewan Rakyat kerana enggan campur tangan dalam kes mahkamah.

Dakwaaan beliau itu segera dinafikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang kini sedang dibicarakan atas kes-kes rasuah berkaitan 1MDB. Katanya, dia mahu membersihkan namanya di mahkamah.

Tetapi sesetengah orang tentu masih ingat, iaitu ketika Mohd Najib menjadi Perdana Menteri, dia melucutkan jawatan Peguam Negara waktu itu, Tan Sri Abdul Gani Patail kerana disyaki akan menuduhkanya di mahkamah dengan kes rasuah SRC International Sdn Bhd.

Sebagai Perdana Menteri adalah hak beliau melantik dan memecat Peguam Negara. Lantas beliau melantik Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagi mengambil tempat Abdul Gani dan dalam masa tidak sampai sebulan Apandi membersihkan Mohd Najib daripada segala syak.

Tetapi apabila kerajaan Barisan Nasional kalah kepada Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum 2018, kes terhadap Mohd Najib dihidupkan semula oleh Peguam Negara yang baru, Tan Sri Tommy Thomas. Mohd Najib didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara serentak 12 tahun dan denda RM210 juta. Dia kini sedang merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Sebab itulah saya baru-baru ini membuat catatan di laman Facebook mengatakan, antara lain, yang kerajaan tidak perlu masuk campur dalam urusan mahkamah untuk mempengaruhi keputusan sesuatu kes.

Sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab bagaimanapun boleh menggunakan Pejabat Peguam Negara kerana ia bertindak sebagai Pendakwa Raya. Peguam Negara juga adalah penasihat undang-undang nombor satu negara yang bekerja rapat dengan kerajaan, khususnya Perdana Menteri.

Jadi Peguam Negara boleh menasihatkan Perdana Menteri mengenai kes-kes besar di mahkamah yang melibatkan orang kenamaan jika ada keperluan atau diminta berbuat demikian.

Dalam hal Peguam Negara sekarang, Tan Sri Idrus Azizan Harun, dia adalah lantikan Muhyiddin apabila kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan pada 1 Mac 2020. Idrus dilantik pada 6 Mac.

Kita ambil contoh beberapa kes sensasi di mana keputusannya dibuat oleh Pendakwa Raya dengan Hakim hanya melaksanakannya.

Yang paling sensasi adalah melepas tanpa membebaskan anak Datin Seri Rosmah Mansor, Riza Shahriz Abdul Aziz atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tahun lalu.

Ini adalah setelah pihak pendakwa dan tertuduh mencapai persetujuan melalui proses representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara. Maksudnya, keputusan tidak meneruskan perbicaraan dibuat dengan persetujuan Pejabat Peguam Negera ketika masih diketuai oleh Tommy Thomas.

Yang terbaru, bekas ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashi, pada 1 September lalu dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 29 pertuduhan rasuah selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan itu.

Jadi tugas dan kuasa Peguam Negara ini cukup besar kerana dalam sistem kita, dia juga bertindak sebagai Pendakwa Raya. Di banyak negara, khususnya negara maju, tugas Peguam Negara dan Pendakwa Raya dipisahkan.

Inilah antara reformasi institusi yang dicadangkan ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan. Jadi, adalah menjadi harapan agar usaha ke arah mereformasikan institusi ini diteruskan apatah lagi Perdana Menteri Ismail Sabri sendiri telah membuka pintu perbincangan dengan Pembangkang.

Buat masa ini sistem keadilan masih boleh dimanipulasi untuk tujuan politik sehinggakan ahli-ahli politik yang sedang dibicarakan pun boleh bebas atau diampunkan sebagai syarat bagi mendapatkan sokongan mereka.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Bahaya manipulasi kes mahkamah


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kabinet PM: Harap tiada mulut besar bercakap

Related Articles

Back to top button