Kabinet PM: Harap tiada mulut besar bercakap

Kabinet PM: Harap tiada mulut besar bercakap. Kita telah ketahui barisan kabinet baharu. Yang dilantik nampaknya tiada perubahan besar dan membuatkan kita bagai ‘kerbau terkejut oleh gong᾿. Masih ada muka-muka lama yang dikekalkan dengan tambahan beberapa muka baharu. Kita juga tahu ada juga barisan kabinet lama digugurkan. Yang digugurkan itu eloklah bermuhasabah diri. Untuk muka baharu, eloklah kita ucapkan tahniah kepada mereka. Semoga mereka jalankan tugas dan tanggungjawab dengan amanah kepada negara dan rakyat jelata.

Walaupun begitu, ada juga suara-suara dari rakyat jelata yang terkejut dengan kabinet baharu yang katanya ibarat ‘besar bungkusnya tapi tak berisi᾿. Namun masih ada juga yang gembira dengan pembentukan kabinet baharu itu.

Moleklah diusahakan untuk memberi fokus sepenuhnya sekarang kepada rakyat jelata. Senang rakyat jelata, maka makmurlah negara, berkembanglah aspirasi Keluarga Malaysia untuk hidup makmur dan maju. Begitu juga dari segi keadaan ekonomi yang diuar-uarkan teruk oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini, semoga akan berkembang dengan lebih pantas pula.

Buat masa ini nampaknya keadaan masih dalam tempoh bertenang agaknya. Mereka yang riuh rendah sebelum ini masih belum bersuara sepenuhnya lagi. Mungkin masih menunggu peluang dan ruang untuk berkata-kata agaknya.

Kita tidaklah mahu bak kata peribahasa Melayu lama ‘banyak tukang di mata dan di mulut, sedikit tukang di tangan᾿. Mereka ini yang kononnya memperjuangkan itu dan ini, mengatakan kerajaan dulu begitu dan begini dan menuntut bermacam-macam, janganlah diam seperti orang tertikam kawan.

Saya ada menonton perutusan ketua pembangkang selepas kabinet diumumkan. Saya agak bersimpati juga dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih tidak kesampaian untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Mungkin beliau perlu meminta nasihat daripada Tok Guru yang pernah beliau jumpa sebelum ini untuk meminta nasihat sekali lagi. Dalam perutusan itu, Anwar Ibrahim telah menyatakan akan memberi teguran dengan menggunakan posisi beliau sebagai ketua pembangkang untuk membuat semak dan imbang kepada kerajaan supaya dapat menjalankan tanggungjawab dengan betul.

Cuma yang saya dan mungkin juga rakyat jelata risaukan adalah berlakunya peristiwa ‘pisang berbuah dua kali᾿ pula. Lagikan anak sungai berubah, inikan pula hati orang. Dengan sokongan yang tipis ini mungkin berlakunya peristiwa menarik sokongan sekali lagi.

Kalau lihat situasi sekarang, sudah kelihatan percikan bunga apinya. Cuma percikannya masih tidak melarat sehingga terpaksa menggunakan mercun buatan sendiri. Mungkin mercun buatan sendiri sedang dipersiapkan untuk memberi letupan hebat yang mungkin juga akan bergegar di pembukaan persidangan Parlimen nanti. Mungkin nanti kita akan ketahui akan niatnya yang ibarat embun di atas daun.

Perdana Menteri kita yang bijaksana mungkin perlu berwaspada juga. Kedudukannya mungkin tidak kukuh terutama apabila melibatkan wakil-wakil rakyat tua yang kelihatan agak berkuasa, tetapi masih berharap sesuatu yang tidak kesampaian. Eloklah Perdana Menteri memberi fokus kepada yang muda. Bak kata pepatah lagi, ‘kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapak᾿. Pemilihan Yang Berhormat Khairy Jamaludin sebagai Menteri Kesihatan perlu diberi perhatian juga.

Saya ada menonton sidang media pertama Yang Berhormat Khairy sebagai Menteri Kesihatan yang menampakkan akan keyakinan yang tinggi, jelas dan tersusun akan ucapannya. Butir dan perincian yang diutarakan agak jelas dan mudah untuk memahamkan rakyat jelata.

Tidak ada tersasul, tersilap atau lawak jenaka dalam memberi kenyataan seperti spanish fly atau train kiss each other. Diharapkan Yang Berhormat Khairy dapat melakukan yang terbaik bagi memberi persepsi baik untuk kerajaan baharu ini.

Untuk kabinet yang baharu dibentuk ini, eloklah kita tunggu prestasi mereka yang akan diaudit selepas 100 hari nanti. Rakyat jelata akan menunggu dan melihat. Kami rakyat jelata bukannya harap ke mulut besar cakap, kerja sesuatu tak boleh cekap.

Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: [email protected]

Kabinet PM: Harap tiada mulut besar bercakap


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ada hikmah tak dilantik dalam kabinet – Tok Mat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker