Kes masih tinggi, jangan tergesa-gesa umumkan endemik



Kes masih tinggi, jangan tergesa-gesa umumkan endemik

oleh Shahir Adnan

Covid-19 masih lagi diisytiharkan sebagai pandemik oleh World Health Organization (WHO). Pandemik adalah kejadian penyakit dengan bilangan kes melebihi kadar biasa yang berlaku di seluruh dunia dan melibatkan populasi besar.

Endemik pula bermaksud kejadian penyakit yang sentiasa wujud dalam masyarakat atau sesuatu tempat.

Penyakit ini sentiasa ada kes dan pada kadar yang stabil serta rendah. Contoh endemik adalah denggi.




Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) berharap menteri kesihatan yang baru, Khairy Jamaluddin, melaksanakan perubahan strategi dengan segera bagi mengekang penularan Covid-19 dan pertambahan kes harian serta kes kematian harian.

Peluang kedua ini diharapkan tidak disia-siakan oleh menteri baharu agar kita dapat keluar daripada pandemik ini. Strategi baru seharusnya dilaksanakan sebelum kita masuk kepada fasa endemik.

Jangan tergesa-gesa untuk mengumumkan status endemik sekiranya kes harian dan kematian harian masih berada pada kadar yang tinggi. Penanda aras ini harus diberikan keutamaan agar Covid-19 perlu berada pada kadar yang stabil dan rendah.

Memang tidak dinafikan bahawa realiti hari ini, Covid-19 bakal menjadi sebahagian daripada masyarakat dan norma baharu perlu diterapkan.

PKP 3.0 masih berjalan dengan pembukaan sektor lain secara berperingkat bagi Fasa Pemulihan 1, 2, 3 dan 4. Strategi ini masih gagal menurunkan kes harian dan kes kematian harian. Negara kita telah melaksanakan PKP 3.0 sejak 12 Mei 2021 hingga tiada penghujung.




Hari ini kita sudah dibataskan pergerakan selama 114 hari atau 3 bulan 22 hari. Namun begitu, fakta dan sains menunjukkan kita belum berjaya menurunkan kes dengan strategi yang sama.

Bandingkan negara lain yang melaksanakan 14 hari + 14 hari kawalan pergerakan yang ketat, seperti di New Zealand, sehingga mereka dapat menurunkan kes harian kepada angka sifar. Kali ini, mereka juga berjaya mengekang penularan varian Delta.

Vaksinasi bagi setiap 100 orang menurun

Berdasarkan statistik dan data Covid-19 bagi populasi setiap sejuta orang, Malaysia masih mengatasi negara-negara serantau bagi kadar kes harian dan kes kematian harian, termasuklah jika dibandingkan dengan purata statistik dunia.

Pada masa yang sama, kadar vaksinasi bagi setiap populasi 100 orang juga sudah menurun, walaupun negara kita masih berada antara di kelompok tertinggi.




Kadar penurunan vaksinasi harian dan kadar peningkatan jangkitan kes harian menunjukkan kita bakal berdepan masalah lebih serius dalam tempoh dua ke tiga minggu akan datang.

Walaupun perdana menteri menyasarkan seratus hari untuk menilai prestasi setiap menteri, DPIM berpandangan menteri kesihatan perlu bertindak cepat kerana Covid-19 melibatkan nyawa rakyat.

Dalam tempoh tujuh hari yang lepas, angka kematian harian Covid-19 adalah 1,980 orang dengan purata 283 kematian sehari. Sebagai ilustrasi, angka kematian harian ini umpama tujuh pesawat Airbus A330 yang penuh penumpang terhempas dalam tempoh seminggu.

SHAHIR ADNAN ialah ketua DPIM Parti Ikatan Bangsa Malaysia merangkap timbalan pengerusi Ikatan Kelantan.

Kes masih tinggi, jangan tergesa-gesa umumkan endemik





Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Syarikat modal RM1 dapat hak bangunkan hutan simpan Kuala Langat



Leave a Reply

Your email address will not be published.