Saiz kabinet Ismail perlu lebih kecil

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 61, yang mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan semalam berdepan cabaran lebih berat untuk membuktikan kerajaan yang bakal dibentuk adalah lebih baik daripada Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ismail Sabri juga memerlukan jemaah menteri dalam kalangan individu profesional yang boleh bekerja bagi memperkukuh kabinetnya.

Dalam wawancara Sinar Ahad minggu ini, Penganalisis Politik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain turut mencadangkan supaya saiz kabinet Ismail Sabri lebih kecil berbanding 70 menteri dan timbalan menteri ketika pentadbiran Muhyiddin.



Ikuti kupasan Dr Mohd Izani mengenai situasi semasa politik tanah air bersama wartawan Raja Nur Faznie Aida dan Muhammad Yunsainy Muhammad Yunus.

SINAR AHAD: Perdana Menteri kesembilan sudah pun dilantik, adakah perkembangan ini akan menghentikan pertelagahan politik dan menjadikan negara aman semula?

DR MOHD IZANI: Ahli Parlimen perlu mengambil iktibar daripada krisis politik yang berlaku. Masing-masing perlu ada satu tanggungjawab yang tinggi. Saya kira inilah pengorbanan yang patut dilakukan oleh ahli-ahli politik supaya mereka dapat menstabilkan politik negara.

Apabila semua ahli Parlimen menghantar surat akuan bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka telah memanggil 114 ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertujuan mendapatkan pengesahan.



Diharapkan sokongan mereka ini kekal dan tidak berubah sehingga sesi Parlimen dibuka atau menjelang PRU15. Sekiranya berlaku perubahan, maka ia akan kembali kepada kemelut sebelum ini. PM akan hilang majoriti dan kerajaan baharu ditubuhkan. Ini akan berulang. Adakah kita mahu politik seperti ini berlaku setiap tahun? Saya berharap ahli-ahli Parlimen perlu mengambil iktibar titah Yang di-Pertuan Agong.

Saya melihat kerajaan baharu nanti ada tugas yang sangat besar. Mereka mestilah lebih baik daripada kerajaan sebelum ini. Kalau prestasi mereka sama sahaja atau lebih buruk, maka rakyat akan mempersoalkan. Jadi mereka tidak boleh bermain-main dalam politik. Mereka perlu menunjukkan teladan kepada rakyat.

 

Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain
Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain

 



Pada pandangan Prof, apakah formula terbaik untuk menyelesaikan krisis politik negara?

Formula terbaik ialah mengadakan PRU15. Tetapi kita masih lagi berhadapan dengan impak Covid-19 yang sangat tinggi. Jadi, tidak sesuai kita membuat pilihan raya dalam masa terdekat. Apa yang kita boleh harapkan dalam krisis ini ialah semua ahli politik perlu bertolak ansur dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik.

Kita beberapa hari lagi akan menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64. Sudah 64 tahun kita bebas daripada penjajahan. Kita harap ahli-ahli politik berjuang menahan nafsu politik mereka supaya adanya tolak ansur dan kerjasama, malah meletakkan keutamaan kepada negara. Ini sajalah harapan kita. Rakyat sudah terlalu lama terkesan dengan wabak Covid-19.

Mengenai pilihan raya umum, bila agaknya waktu yang sesuai untuk melaksanakan PRU15?



Sebenarnya mandat PRU14 adalah sehingga Mei 2023 kerana ia berlaku lima tahun sekali. Biasanya pada tahun ketiga selepas PRU14 pada 9 Mei 2018 sepatutnya PRU yang berikutnya boleh diadakan. Tetapi ia bergantung kepada situasi semasa. Saya menjangkakan PRU15 paling awal pun boleh diadakan pada tahun hadapan dengan syarat negara kita pulih daripada penularan Covid-19 dan majoriti rakyat sudah lengkap dua dos vaksin.

Kemudian barulah kita boleh mengadakan pilihan raya dengan norma baharu. Bagi saya pilihan raya ini kita boleh sahaja adakan, tidak ada masalah.

Negara lain pun buat pilihan raya semasa Covid-19. Tetapi bila berkempen, itu yang timbul isu. Seperti yang berlaku sewaktu pilihan raya di Sabah. Rakyat nak mengundi tidak ada masalah sebab mereka boleh ikut prosedur operasi standard (SOP) seperti pakai pelitup muka dan jaga penjarakan fizikal.

Tetapi kempen politik yang dihadiri ahli-ahli politik, itu yang sering timbul pelanggaran SOP. Mungkin pilihan raya umum yang akan datang mereka boleh memperkenalkan beberapa tatacara yang sesuai dengan norma baharu supaya pilihan raya itu selamat diadakan.



Parti Bersatu nampaknya memberikan sokongan bersyarat kepada Ismail Sabri. Apakah isyarat penting di sebalik syarat tersebut?

Saya nampak syarat yang dinyatakan Muhyiddin yang mahukan kabinet baharu diisi oleh mereka yang berintegriti adalah munasabah dan boleh diterima. Bukan Muhyiddin sahaja, seluruh rakyat Malaysia pun mahukan perkara yang sama.

Kabinet baharu perlu diisi oleh mereka yang mempunyai integriti dan tidak ada beban politik kerana harapan rakyat sangat tinggi. Sekiranya mereka yang tidak mempunyai nilai integriti tinggi dilantik, maka kewibawaan kabinet itu akan dipersoal.

Bagi saya, kabinet baharu nanti bukan sahaja perlu melaksanakan tugas-tugas eksekutif, tetapi turut merancang bagaimana mahu mengembalikan sokongan rakyat. Itu lebih mustahak. Seperti yang saya katakan, memang menjadi harapan rakyat supaya kerajaan baharu nanti lebih baik daripada kerajaan sebelum ini.



Untuk masa akan datang, beberapa jawatan menteri yang kritikal harus diisi oleh mereka yang berkemahiran dan profesional. Sebelum ini kita lihat Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah seorang profesional yang dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Mungkin selepas ini ada beberapa menteri lain dilantik daripada kalangan profesional yang bukan berlatarbelakangkan politik. Dalam situasi negara yang berhadapan dengan krisis kesihatan yang paling buruk dalam sejarah negara, ditambah dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil, saya fikir jawatan tersebut wajar diisi dengan mereka yang berkelayakan, mempunyai kepakaran, malah ada rasa tanggungjawab yang tinggi untuk membantu rakyat.

Mungkin kita tidak perlu barisan kabinet yang besar seperti kerajaan PN sebelum ini yang mana mereka ada banyak jawatan menteri. Ini kerana ada segelintir menteri dilihat tidak melaksanakan tanggungjawab dan tidak berfungsi dengan baik. Justeru, barisan kabinet baharu nanti perlulah solid dan yang terbaik.

Apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri?

Cabaran beliau sangat besar kerana beliau memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan impak ekonomi daripada Covid-19. Namun, beliau ada kelebihan kerana pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan sebelum ini.

Jadi beliau sudah ada pengalaman berurusan dengan penularan Covid-19. Beliau juga sebelum ini Timbalan Perdana Menteri. Jadi, beliau perlu membuat kesinambungan daripada usaha-usaha kerajaan PN. Sudah tentu sebagai seorang Perdana Menteri, kualiti dan impak beliau mesti lebih baik daripada Perdana Menteri sebelum ini.

Harapan dan jangkaan rakyat sangat tinggi dalam situasi yang sukar ini. Kalau prestasinya sederhana, akan bermulalah kritikan-kritikan daripada rakyat terhadap beliau dan kerajaan.

Pembangkang sudah pasti tidak akan berdiam diri dan akan memberikan tekanan kepada Ismail Sabri.

Apakah langkah terbaik yang perlu dilakukan Ismail Sabri Yaakob untuk menjinakkan pembangkang?

Sebelum saya menjawab soalan itu, sebenarnya kita perlu memperbetul konsep kepembangkangan di negara ini. Selama ini persepsi pembangkang itu kerjanya ialah mengkritik kerajaan.

Tetapi dalam konsep demokrasi, istilah pembangkang itu sebenarnya adalah kerajaan alternatif, pembangkang ini tidak selama-lamanya jadi pembangkang, ia juga boleh jadi kerajaan kalau menang pilihan raya. Jadi kita perlu positif terhadap konsep kepembangkangan dalam negara kita.

Yang kedua, pihak pembangkang kena faham prinsip kepembangkangan yang baik. Pembangkang bukan hanya bermaksud kritik dan menghentam kerajaan tetapi memberikan pandangan dan buah fikiran serta terlibat dalam proses pemulihan negara.

Dalam hal itu, saya fikir pembangkang perlu diberikan ruang yang sebaiknya untuk bersama-sama membangunkan negara. Kalau mereka tidak diberikan ruang maka sukar untuk pihak pembangkang ini melaksanakan tugas-tugas mereka.

Apabila kabinet dibentuk, sudah tentu kabinet baharu ini mempunyai fokus tertentu seperti menangani Covid-19 dan ekonomi. Jadi inilah masa terbaik untuk melibatkan pihak pembangkang dalam usaha memulihkan negara termasuk meningkatkan penglibatan mereka dalam jawatankuasa agar pandangan mereka diambil kira.

Sebelum ini, perdana menteri kelapan pernah menawarkan kedudukan ketua pembangkang sebagai menteri kanan, mungkin selepas ini kedudukan ketua pembangkang itu walaupun tidak diletakkan sebagai menteri, boleh diberikan untuk mengetuai Task Force tertentu bagi menangani Covid-19 dan ekonomi kita, itu sebagai contoh. Maksudnya, berikan ruang dan platform yang sewajarnya kepada pihak pembangkang terutama ketua pembangkang.

Bercakap tentang ketua pembangkang, sebenarnya idea untuk memberi ketua pembangkang jawatan bertaraf menteri sudah lama. Pakatan Harapan pun pernah berjanji dalam buku manifesto mereka tetapi apabila menjadi kerajaan, mereka tidak pula lantik wakil UMNO untuk jawatan itu.

Bagi saya yang paling penting ialah keazaman politik untuk melaksanakannya. Kita tak nak janji itu hanya gula-gula politik.

Banyak pihak mengkritik Muhyiddin kerana mempunyai saiz kabinet yang besar kerana mahu membalas budi. Apakah langkah yang patut diambil oleh Ismail Sabri untuk membentuk pasukan beliau?

Kita tidak menafikan bila kerajaan PN mengambil alih tampuk pemerintahan pada Mac 2020, kita melihat saiz kabinet sangat besar. Ada kementerian yang asalnya satu dipecahkan menjadi tiga kementerian. Kita tidak menafikan ada faktor politik yang menyebabkan perkara itu berlaku.

Tetapi saya berharap saiz kabinet kita ini boleh diperkemas, sama ada jumlah kementerian dapat dikurangkan dan fungsi kementerian diperkukuh.

Tetapi ada juga kementerian perlu berdiri dengan sendiri kerana kementerian-kementerian ini sangat kritikal dan mempunyai pihak berkepentingan yang besar. Contohnya, Kementerian Pengajian Tinggi kerana di dalamnya ada universiti awam, swasta, politeknik, kolej komuniti, pensyarah dan pelajar, industri, pelbagai kepentingan. Jadi kementerian sebegini perlu dikekalkan, cuma mesti diisi dengan seorang menteri yang berpengalaman dan memahami ekosistem pendidikan tinggi negara.

Pada masa sama beberapa kementerian yang kritikal wajar dikekalkan dan boleh diisi dengan ahli profesional ataupun golongan teknokrat.

Siapakah menteri yang patut kembali menyertai kabinet?

Yang saya nampak antara menteri yang boleh dikekalkan ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Bagi saya, rakyat Malaysia nampak kesungguhan beliau dan fokus beliau untuk memastikan pemberian vaksin berjalan dengan baik.

Kalau kita tengok kadar pemberian vaksin di negara kita sangat tinggi. Kalau tidak silap saya, 11 juta rakyat Malaysia telah lengkap dua dos vaksin. Dan kita jangkakan dalam sebulan dua ini, majoriti rakyat Malaysia dibekalkan vaksin dengan baik.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula sebelum ini mengetuai sebuah kementerian yang kritikal, menjana ekonomi negara. Kita faham beliau perlu memastikan ekonomi negara berada dalam keadaan baik tetapi beliau berhadapan isu persepsi yang kurang baik, walaupun kita tidak menafikan beliau seorang yang ahli politik berpengalaman dan beliau pun disebut antara calon timbalan perdana menteri.

Jadi bagi saya, terserah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri yang baru untuk pilih ahli kabinet yang menepati syarat-syarat dan juga kehendak rakyat.

Bagaimana dengan cadangan untuk menjadikan Muhyiddin sebagai menteri mentor?

Menteri mentor dia ada kelebihan dan kekurangan. Kesan yang baik ialah beliau mempunyai pandangan kerana beliau sebelum ini seorang perdana menteri yang ada pengalaman memimpin kerajaan dalam krisis.

Cuma kesan yang kurang baik ialah akan timbul persepsi bahawa Perdana Menteri dikawal menteri mentor, sedangkan Perdana Menteri dan kabinet perlu ada kebebasan untuk mengenal pasti idea bagi kerajaan dan rakyat. Persepsi juga melihat Perdana Menteri dan kabinet kita dikawal dan tidak ada kebebasan. Tetapi saya tak fikir Muhyiddin akan dilantik sebagai menteri mentor buat masa ini. Saya nampak tanpa jawatan menteri mentor, Muhyiddin boleh membantu kerajaan pada bila-bila masa.

Apakah yang boleh Prof ramalkan tentang masa depan politik negara?

Sebenarnya politik ini sukar untuk diramalkan kerana ia boleh berubah dalam sekelip mata. Kadang-kadang pandangan ini tidak valid dah esok sebab berlaku banyak perubahan. Cuma ramalan terhadap masa depan politik adalah saya menjangkakan krisis ini akan berlaku menjelang pilihan raya. Tetapi saya berharap krisis yang berlaku itu tidaklah sampai memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat dan juga fokus kita untuk pulihkan negara daripada Covid-19 dan juga ekonomi.

Jadi pada masa sama, krisis politik perlu dinoktah, kita tidak boleh berhadapan krisis ini setiap masa kerana kita perlu bekerja.

Kerajaan kita mesti menyediakan polisi-polisi yang baik untuk negara, rakyat perlu bekerja, jadi kita tidak perlukan krisis ini berpanjangan, perlu noktahkan. Kita tidak boleh biarkan.

Harapan saya dalam pilihan raya umum akan datang, kerajaan yang akan dibentuk dalam pilihan raya nanti adalah kerajaan yang sangat stabil. Kalau boleh kita nak kerajaan kita ada majoriti supaya tidak mudah goyah.


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Itulah Belalang, kan bapak dah bilang…

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker