PTPTN jangan jadi lintah darat atau along

Sejak Wan Saiful Wan Jan dilantik menjadi Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) nampaknya semua cadangan dan ideanya ditolak mentah-mentah bukan sahaja oleh rakyat, malah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Lebih malang lagi, skim kaedah bayaran balik pinjaman secara potongan gaji berjadual (PGB) bermula Januari 2019 serendah RM40 sebulan sehingga mencecah lebih RM1,000 mengikuti paras gaji juga ditolak oleh kabinet.

Mungkin dia terlupa bahawa bukan semua graduan yang telah tamat pengajian secara automatik mendapat kerja. Sebaliknya graduan ini ramai yang menganggur dan masih mencari kerja.

Janji 1 Juta pekerjaan yang dijanjikan PH dalam Buku Harapan pun masih belum ada bayang. Rakyat dah ditekan, belum ditambah dengan janji PH meringankan beban rakyat yang tidak ditunaikan.

PTPTN ditubuhkan pada 1997 bagi menyediakan pinjaman untuk pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Sejak itu, pinjaman PTPTN telah menjadi inisiatif bagi golongan mahasiswa untuk meneruskan pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Janji tangguh bayaran

Sebelum pilihan raya umum lalu, PH berjanji membenarkan peminjam dengan gaji RM4,000 ke bawah menangguhkan bayaran, tetapi manifesto itu tidak dapat dilaksanakan kerana dikatakan kedudukan kewangan negara belum kukuh.

Sekiranya peminjam dibenar menangguhkan bayaran, hutang PTPTN akan menjadi beban besar kepada negara. Justeru, sehingga hari ini kerajaan masih lagi buntu mencari jalan penyelesaiannya terhadap perkara ini.

Pembuat dan pelaksana dasar mesti mencari titik keseimbangan untuk mendapat jalan keluar agar ahli masyarakat, terutama golongan muda yang masih belum menyelesaikan hutang PTPTN dapat menarik nafas lega.

Pengerusi PTPTN sendiri katanya akan mendapatkan input dan melakukan kajian, namun sehingga hari ini masih mendiamkan diri.

Tiba-tiba timbul berita Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN bersara awal.

Sekiranya isu inilah yang menjadi tekanan kepada beliau seharusnya bukan beliau yang bersara sebaliknya Pengerusi PTPTN diminta untuk meletakkan jawatan kerana gagal mencari solusi terhadap perkara ini.

Hutang makin bertambah

Hal ini bertambah malang apabila Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengumumkan bahawa tiada lagi bantuan peringkat pendidikan tinggi melalui MyBrain. Ia sangat membebankan anak muda, terutama yang bakal menyambung pelajaran ke peringkat sarjana.

Cara lain, adalah dengan meminjam PTPTN. Hutang mereka akan bertambah sekiranya sewaktu ijazah pertama dahulu juga meminjam dari PTPTN. Ia sangat membebankan mahasiswa dan anak muda.

Saya mendapat rungutan anak muda bahawa setiap bulan peminjam akan menerima email dari PTPTN yang menyatakan hutang bulanan dan baki tertunggak kepada PTPTN.

Seharusnya pada waktu ini, PTPTN wajar meminta semua peminjam untuk melakukan ‘reschedule’ pembayaran masing-masing. Bukan menambah tekanan kepada peminjam.

Adakah perbincangan meja bulat bersama mahasiswa, alumni insitusi pengajian, institusi perbankan dan pihak berkepentingan telah dilakukan oleh PTPTN bagi mencari jalan keluar terbaik terhadap perkara ini? Apakah keputusan yang diperoleh sekiranya ia telah dilakukan?

Akhirnya, saya berharap PTPTN tidak menjadi lintah darat, along mahupun gangster yang mengutip hutang secara tiada kompromi.

Sebaliknya, jika tidak tahu cari jalan penyelesaiannya tanyalah mereka yang lebih arif. Jika malu, teruskanlah cara pembayaran sewaktu pemerintahan BN yang lalu.

Nasib malang rakyat yang banyak tertipu oleh PH, lain dikata lain dibuat.

Jadi janganlah isu PTPTN ini umpama kayu buruk, buruk dek panas, reput dek hujan kepada golongan anak muda.

MOHAMAD NAJIB SAMURI ialah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Sri Gading.
sumber Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker