Gadis hamil luar nikah perlu bantuan

Gadis hamil luar nikah perlu bantuan

Masyarakat perlu mengubah persepsi negatif terhadap gadis mengandung luar nikah, sebaliknya melihat kumpulan itu sebagai golongan yang perlu dibantu kerana ada antaranya masih mempunyai masa cerah dalam membina kehidupan.

Gadis terbabit melalui situasi penuh trauma dan sebilangannya mempunyai latar belakang keluarga serta pendidikan yang baik.

Pengurus Advokasi dan Komunikasi Yayasan OrphanCare, Riza Alwi, berkata semangat gadis yang terjebak dengan situasi malang ini bukan sahaja perlu dipulihkan, malah mereka diberi peluang kedua untuk menebus kesilapan masa lalu dengan menjalani kehidupan lebih baik,

Katanya, setiap manusia di muka bumi ini pernah melakukan kesilapan tetapi, bagaimana cara untuk memastikan perkara itu ditebus perlu menjadi perkara paling penting dalam kehidupan masa hadapan.

“Di OrphanCare kita sentiasa mengalu-alu mereka yang mahu dibantu dan tidak akan sesekali mendiskrimanasikan masa silam. Ini kerana kita tahu kesinambungan hidup dan masa depan mangsa serta anak mereka adalah perlu diutamakan.

“Disebabkan itu, selain menyelamatkan bayi yang dikandung perkara diutamakan OrphanCare adalah memastikan semangat gadis ini dibina semula dan mereka dapat meneruskan kehidupan seperti orang lain walaupun pernah membuat kesilapan.

“Tahun ini sehingga hari ini, sebanyak 31 bayi diselamatkan melalui penjagaan anak yatim, manakala 19 gadis mencari perlindungan di sini,” katanya kepada BH.

Begitu juga mangsa rogol kebanyakannya terpaksa menanggung masalah itu bersendirian, sedangkan kejadian malang itu bukan salah mereka tetapi terpaksa menanggung seolah-olah mereka dipersalahkan.

Masyarakat perlu melihat gadis ini sebagai mangsa dan bukannya menuduh mereka sebagai penzina yang sangat berdosa di sisi agama.

“Memang mereka melakukan kesilapan kerana mengandungkan anak luar nikah tetapi cukuplah menjatuhkan hukuman kerana kebanyakan mereka adalah mangsa.

“Kebanyakan termasuk mangsa rogol tidak mengenal apakah itu seks, apakah perlindungan ketika hubungan intim berlangsung serta mangsa terjebak dengan situasi tanpa kerelaan.

“Mereka sudah dihukum apabila berdepan dengan situasi itu dan tidak perlu menambah berat hukuman diterima mereka sebaliknya bersama-sama menyokong apa yang akan dilakukan kerana ketika ini semangat mereka terlalu lemah dan mungkin melakukan perkara lebih buruk. Jika ini terjadi adakah kesalahan perlu diletakkan lagi di bahu mereka,” katanya.

Riza menegaskan, masyarakat tidak harus memandang mengandung luar nikah sebagai satu jenayah yang akan menghukum si ibu seumur hidupnya.

“Buang bayi adalah jenayah dan disebabkan itu masyarakat atau orang terdekat perlu berusaha memastikan tiada tambahan tekanan ke atas gadis ini.

“Beri mereka semangat untuk terus hidup dan melakukan apa sahaja membolehkan mereka sentiasa positif untuk diri sendiri dan bayi.

“Sekiranya anda tidak mampu menyokong secara mental, serahkan gadis itu kepada pihak yang mampu menyokongnya kerana di Malaysia ada banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan perkhidmatan sokongan antaranya Rumah Nur Sakinah dan OrphanCare sendiri yang begitu sedia membantu,” katanya.

Katanya, gadis yang mengandung anak luar nikah sekiranya dibantu biasanya akan menjadi individu yang begitu cekal dalam meneruskan kehidupan.

“Mereka sudah melalui tahap yang begitu rendah dalam kehidupan mereka dan jika dibantu sedemikian, merekalah yang paling kuat dan cekal untuk terus hidup. Banyak sudah berjaya dan meneruskan cita-cita mereka, malah menjadikan pengalaman hidup sebagai batu loncatan untuk menjadi seperti orang lain,” katanya. BH

Gadis hamil luar nikah perlu bantuan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Dah bagi Signal Pun Kena Tendang (Video)

Saya tak sekeji dakwaan Puteri Balqis

Ayda Jebat kahwin kerana harta Nabil?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker