‘Game of Thrones’ kini hanya tertumpu Ismail Sabri dan Anwar

‘Game of Thrones’ kini hanya tertumpu Ismail Sabri dan Anwar. SEJUJURNYA, kesabaran penulis menantikan keputusan siapa calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk dipilih secara sebulat suara sebagai calon Perdana Menteri kesembilan pada malam Selasa umpama menyaksikan pemilihan calon Presiden bagi pilihan raya Amerika Syarikat (AS).

Penuh kejutan dan mendebarkan! Perlumbaan tiga calon UMNO dan BN bagi ditabalkan sebagai wakil tunggal koalisi itu untuk dipilih Yang di-Pertuan Agong, berakhir seusai diputuskan dalam mesyuarat ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur.

Seperti dijangka, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjadi pilihan fraksi UMNO cenderung Perikatan Nasional (PN) berjaya mengatasi dua pencalonan lain iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Keputusan pemilihan Ismail Sabri itu sebenarnya memberi gambaran besar bahawa fraksi UMNO menolak PN yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak akan sesekali menjalinkan kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP bagi membentuk kerajaan baharu.

Selain itu, Ismail Sabri juga dianggap calon terbaik dikemukakan BN kerana beliau turut mendapat sokongan padu daripada parti-parti blok PN diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sendiri.

Pengumuman Ismail Sabri sebagai calon juga berkemungkinan menamatkan spekulasi Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bakal kembali menerajui negara selaku Perdana Menteri kesembilan.

Pecutan ‘Game of Thrones’ cecah garisan penamat

Bagaimanapun, Sinar Premium difahamkan satu perjanjian didakwa telah dikompromi oleh pucuk kepimpinan BN termasuk Ahmad Zahid dan Najib bagi membolehkan pemimpin-pemimpin Bersatu kembali diberikan jawatan-jawatan penting kerajaan.

Lebih menarik, melalui pengesahan pencalonan Ismail Sabri itu, pecutan terakhir ‘Game of Thrones’ bagi menentukan siapa ditabalkan sebagai Perdana Menteri baharu Malaysia kini hanya tertumpu kepada Ahli Parlimen Bera itu dan Anwar.

Berdasarkan angka sokongan diperolehi kedua-dua calon itu ketika ini, atas kertas Ismail Sabri berkemungkinan besar meraih kembali sokongan 115 ahli Parlimen yang membentuk kerajaan PN sebelum ini.

Anwar pula buat pertama kalinya didakwa sudah mengumpulkan angka mujarab 105 ahli Parlimen setelah dikatakan berjaya meraih sokongan secara koalisi perdana parti-parti dalam blok pembangkang termasuk Parti Warisan Negara (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Muda (Muda), Parti Sarawak Bersatu (PSB), UPKO dan dua calon bebas.

Kerajaan perpaduan atau mageran

Bagaimanapun, angka sokongan 115 ahli Parlimen dijangka tidak cukup untuk memuaskan hati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membolehkan kerajaan baharu BN-PN-GPS-Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu dipilih sebagai kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan PN.

Hal ini kerana kejatuhan kerajaan PN pada 16 Ogos lalu membuktikan angka itu masih rapuh untuk membentuk sebuah kerajaan stabil, sekurang-kurangnya mampu bertahan sehingga PRU15 pada saat negara ditekan dengan krisis Covid-19 yang sangat dahsyat.

Atas faktor itu, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan setiap parti di negara ini untuk mencari satu titik pertemuan bagi membentuk politik negara yang ‘aman dan nyaman’.

Meskipun Anwar dalam sidang medianya selepas selesai menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara pada Selasa, seolah-olah menggambarkan titah baginda menunjukkan hasrat pembentukan sebuah kerajaan perpaduan.

Namun, bagi sebilangan pemerhati politik tanah air, titah itu boleh juga dianggap sebagai isyarat kepada parti-parti politik tanah air bahawa Seri Paduka Baginda bersedia untuk membuat keputusan lebih drastik termasuk menubuhkan kerajaan berbentuk Mageran bagi menyelesaikan krisis politik yang tidak berkesudahan.

Menariknya, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menyampaikan titah Yang di-Pertuan Agong bagi mengarahkan 220 ahli Parlimen untuk menghantar surat akuan sokongan (SD) calon Perdana Menteri pilihan masing-masing terus kepada Istana Negara.

Berdasarkan satu surat tular di media sosial, Azhar turut meminta semua ahli Parlimen berbuat demikian sebelum jam 4 petang Rabu dengan kaedah serahan perlu dilakukan secara email, faksimile dan salinan PDF melalui aplikasi WhatsApp.

Titah terkini Yang di-Pertuan Agong melalui Speaker Dewan Rakyat turut memberi bayangan jelas bahawa Istana Negara mungkin mencuba konvensyen pemilihan calon Perdana Menteri yang baharu dan lebih telus berbanding konvensyen dipraktikkan Seri Paduka Baginda selepas kejatuhan kerajaan PH.

Ismail Sabri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak dan memohon maaf sekiranya ada kekhilafan sepanjang perkhidmatan beliau. Foto FB Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak dan memohon maaf sekiranya ada kekhilafan sepanjang perkhidmatan beliau. Foto FB Ismail Sabri Yaakob

Anwar masih boleh lakukan keajaiban

Berbalik kepada peluang dua calon Perdana Menteri baharu, Sinar Premium berpandangan di sebalik kelebihan berada di tangan Ismail Sabri untuk menewaskan Anwar, segala kemungkinan masih boleh berlaku pada saat genting ketika ini.

Ibarat perlumbaan acara basikal kierin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan wira negara, Datuk Azizulhasni Awang berjaya membuat pecutan menakjubkan pada 100 meter terakhir perlumbaan bagi memenangi pingat perak.

Keajaiban sama masih boleh berlaku kepada Anwar, lebih-lebih lagi sumber PKR memaklumkan kepada Sinar Premium bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu sebenarnya memiliki sokongan ‘lebih paras mencukupi’ bagi dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Tumpuan utama rakyat pastinya berfokus kepada arah mana sebenarnya sokongan Warisan, Pejuang, Muda, calon bebas dan paling penting fraksi 15 ahli Parlimen UMNO menolak Muhyiddin ketika ini.

Berdasarkan situasi politik semasa, Warisan yang dipimpin bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal secara terbuka mengumumkan sokongan kepada Anwar untuk mengembalikan mandat pembentukan kerajaan PH pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, terdapat spekulasi berlaku pertemuan Ismail Sabri dengan Warisan dan Pejuang sebelum ini dengan sebarang bentuk perjanjian yang lebih menguntungkan kedua-kedua parti itu, pastinya akan diambil sebaiknya oleh mereka untuk memihak pihak lebih ‘pemurah’.

Pada masa sama, tawaran mengujakan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dikatakan diberikan Anwar kepada Mohd Shafie, mungkin menarik minat lapan ahli Parlimen Warisan untuk menyatakan kembali sokongan kepada Pengerusi PH itu.

Bagi Pejuang pula, meskipun parti itu konsisten meminta sebuah Majlis Pemulihan Negara seakan-akan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang bebas politik ditubuhkan bagi menyelesaikan krisis politik Malaysia.

Parti diterajui bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad turut difahamkan tidak akan sesekali menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Hal ini kerana episod perseteruan antara Dr Mahathir dan Anwar sangat jelas dengan impak perbalahan antara dua pemimpin itu turut menjadi faktor utama kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020.

Untuk Muda yang dipimpin satu-satunya ahli Parlimen mereka, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta calon bebas, Dr Maszlee Malik, kedua-dua bekas pemimpin Bersatu ini difahamkan cenderung menyokong perjuangan PH dan dijangka akan menyokong Anwar.

Pada saat getir ketika ini, kemungkinan fraksi UMNO menolak Muhyiddin dipimpin Ahmad Zahid akan memberi sokongan kepada Anwar untuk diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan kelak masih tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Dengan sokongan 15 ahli Parlimen UMNO berkenaan dijangkakan hanya berbentuk sokongan kepada Anwar bagi menjadi Perdana Menteri baharu dan bukan menyertai kerajaan baharu PH secara rasmi kelak.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Setiausaha Agung DAP,  Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengadakan sidang media selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Selasa.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengadakan sidang media selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Selasa.

UMNO fraksi Zahid masih boleh jadi kingmaker

Kumpulan UMNO 15 masih boleh berperanan sebagai ‘kingmaker’ disebabkan fraksi Zahid dan Najib bimbang dengan kedudukan Bersatu dalam kerajaan baharu dipimpin BN yang dianggap mereka sebagai ‘liabiliti’ kepada UMNO.

Ditambah dengan Ismail Sabri secara terbuka menyebelahi Muhyiddin berbanding patuh kepada arahan Ahmad Zahid untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN sebelum ini.

Pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan juga bakal mempengaruhi impak pemilihan parti itu yang dijangka diadakan pada tahun 2023 kelak.

Secara jelas, kedudukan Presiden UMNO itu pastinya akan tergugat dengan Ismail Sabri yang disokong pemimpin-pemimpin UMNO anti Ahmad Zahid akan mengorak langkah untuk bertanding jawatan tertinggi parti berkenaan.

Bahkan kita boleh melihat kem Zahid seolah-olah merupakan kumpulan minoriti dalam permainan kuasa kepimpinan UMNO apabila beliau hanya disokong 14 ahli Parlimen, berbanding Ismail Sabri yang mendapat dukungan 22 ahli Parlimen parti itu.

Lebih penting, sekiranya Ahmad Zahid disabitkan bersalah atas kes mahkamah dihadapi beliau kelak, senario ini pastinya memberi tekanan kepada kem pemimpin UMNO yang menyokong beliau untuk membendung asakan ‘power play’ bakal direncana kem UMNO menolak Presiden parti itu.

Namun begitu, sikap dingin DAP yang menolak pemimpin ‘kleptokrat’ dalam UMNO mungkin menjadi rintangan kepada Anwar bagi mendapatkan sokongan tidak dijangka berkenaan.

Bahkan sikap terbuka beberapa pemimpin DAP seperti Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang lebih rela mengekalkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri berbanding mengembalikan kerajaan ‘kleptokrat’, jelas memberi gambaran fraksi UMNO diketuai Ahmad Zahid tidak dialu-alukan mereka dalam PH.

Ku Li berpotensi ‘potong tang kona’

Sekiranya Anwar dan Ismail Sabri gagal mendapat sokongan majoriti meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bagi membentuk kerajaan stabil, tidak mustahil Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li akan kembali dijadikan sandaran bagi mengetuai sebuah kerajaan Mageran.

Pada saat krisis politik semakin memuncak dengan pandemik Covid-19 bertambah parah, Ku Li dianggap calon terbaik mengetuai kerajaan Mageran bersifat sementara kerana beliau tiada kepentingan politik, mempunyai kualiti kepimpinan dan pengalaman luas dalam pentadbiran negara serta disenangi sahabat dan seteru politik beliau.

Apa pun berlaku kelak, semua rakyat Malaysia diminta kekal bertenang, tidak mewujudkan kegawatan dan yakinlah bahawa krisis politik negara yang tidak kunjung lega ketika ini pastinya akan menemui titik noktah dalam beberapa hari lagi.

Sinar Premium turut berdoa agar Al-Sultan Abdullah dikurniakan kesihatan yang baik dan diberikan petunjuk oleh Allah SWT untuk memilih seorang calon Perdana Menteri baharu yang benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat. Insya-ALLAH. SHP

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

‘Game of Thrones’ kini hanya tertumpu Ismail Sabri dan Anwar


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker