War Cabinet’ perlu diwujudkan perangi Covid-19 habis-habisan

Sebaran :

War Cabinet’ perlu diwujudkan perangi Covid-19 habis-habisan, kata Umno

Satu barisan kabinet yang mirip ‘War Cabinet’ diperlukan bagi menangani pandemik Covid-19 dan menguruskan soal kesejahteraan rakyat yang semakin meruncing, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, untuk itu sebuah kerajaan yang stabil mesti segera ditubuhkan untuk satu tempoh yang munasabah bagi membolehkan ia dilaksanakan.

“Setelah negara mencapai imuniti kelompok dan keadaan memungkinkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, maka kerajaan ini harus dibubarkan bagi menyerahkan semula mandat mutlak kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Zahid berkata, bagi menjamin kestabilan dan kerjasama politik dicapai, tindakan menzalimi parti dan pimpinan lawan juga hendaklah dihentikan dan tindakan menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk melemahkan lawan dalam mengekalkan kuasa tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat.

Dalam pada itu katanya, beliau tidak pernah terlintas untuk menamakan dirinya sendiri sebagai calon Perdana Menteri seperti didakwa.

“Sebagai manusia biasa, pastinya saya tidak dapat menyembunyikan perasaan terhiris apabila pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan ke atas diri saya, sepanjang kemelut politik yang berlaku ini.

“Demi kepentingan rakyat dan negara ketahuilah, saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri saya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar.

“Justeru, Umno sebagai sebuah parti yang mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara, akan mempertimbangkan beberapa calon. Sehubungan itu, saya mengharapkan kerjasama serta sokongan semua Ahli-ahli Parlimen,” katanya.

Zahid berkata, Umno turut merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Muhyiddin Yassin atas perkhidmatannya dan menyeru semua pihak untuk memandang ke hadapan dengan memberi sepenuh tumpuan hanya kepada satu matlamat bagi bersama-sama menjaga kesejahteraan rakyat dan membina kembali negara.

Terdahulu Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya Perdana Menteri interim yang akan dilantik mestilah seorang yang tidak kontroversi, tidak dianggap ancaman kepada sesiapa dan tidak ada cita-cita untuk membunuh pesaing politiknya.

Katanya Perdana Menteri interim boleh mewujudkan ‘War Cabinet’ atau sebuah kabinet berfokus sepertimana pengalaman United Kingdom dalam beberapa peristiwa besar untuk melawan pandemik penyakit kaki dan kuku, ‘Brexit’, Perang Dunia di zaman Winston Churchill dan Perang Falklands di zaman Margaret Thatcher.

“‘War Cabinet’ bagaikan sebuah kerajaan perpaduan ‘unity government’ bersifat inklusif, terdiri daripada wakil-wakil semua parti utama tidak kira kerajaan atau pembangkang yang akan memfokuskan menangani Covid-19 dan mempercepatkan vaksinasi agar negara segera capai imuniti kelompok, menstabilkan ekonomi dan membantu kebajikan rakyat yang kesempitan ketika ini,” katanya. FMT

War Cabinet’ perlu diwujudkan perangi Covid-19 habis-habisan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Nazri tandatangan SD sokong Ismail Sabri jadi PM


Sebaran :

Leave a Reply