Dua kaedah pelantikan Perdana Menteri

Dua kaedah pelantikan Perdana Menteri

Pakar perlembagaan berpandangan, ada dua kaedah mungkin digunakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam pelantikan Perdana Menteri baharu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan, mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kuasa itu boleh dilaksanakan mengikut kebijaksanaan baginda tanpa perlu memanggil Ahli Dewan Rakyat untuk menyatakan nama yang dipilih sebagai calon Perdana Menteri.

“Baginda juga mungkin menyatakan pandangan kepada pemimpin dua blok iaitu Perikatan Nasional (PN) dan pembangkang supaya kerajaan perpaduan ditubuhkan.

“Syarat pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43(2)(a) tidak tertakluk sudah diuji mendapat sokongan majoriti dan boleh dibuktikan selepas beliau dilantik.

“Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Perdana Menteri daripada PN atau pembangkang termasuk Pakatan Harapan (PH).


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


“Baginda juga mempunyai pilihan menasihati kedua-dua blok menubuhkan kerajaan perpaduan supaya pembentukan kerajaan tidak tertangguh, Parlimen boleh bersidang dan perkara penting seperti Bajet 2022 dapat dibentang seperti dijadualkan.

“Ini bagi mengelak berlaku lagi isu berkaitan hilang kepercayaan majoriti terhadap Perdana Menteri, yang akan mengakibatkan kerajaan jatuh sekali lagi dalam masa singkat,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima peletakan jawatan Muhyiddin dan jawatan seluruh Jemaah Menteri susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Baginda kemudian berkenan melantik Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Wan Ahmad Fauzi berkata, jika kerajaan jatuh sekali lagi sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai pilihan mengisytiharkan darurat bagi membolehkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan untuk mentadbir negara.

Mengulas peranan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sementara, Wan Ahmad Fauzi berkata, penggunaan istilah interim dan ‘caretaker’ pada hakikatnya merujuk kepada situasi sama iaitu suatu yang tidak tetap atau seorang yang melaksanakan tugas atau fungsi kuasa suatu jawatan kerana berlaku kekosongan dalam satu tempoh secara interim.

Seperti istilah demokrasi, beliau berkata, Perdana Menteri interim atau ‘caretaker’ juga tiada dalam Perlembagaan.

Bagaimanapun, katanya, itu bukan bermakna ia tidak boleh digunakan kerana semua istilah itu menunjukkan ciri yang ada dalam keadaan tertentu, sama juga seperti sistem yang tertakluk dalam peruntukan Perlembagaan.

Apa yang lebih penting dibahaskan, tegasnya, adalah punca kuasa dan skop kuasa pelaksana suatu jawatan dan tugas yang dikatakan bersifat interim dan ‘caretaker’ itu.

“Perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk Muhyiddin menjalankan tugas ‘caretaker’ seperti pernah diperuntukkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad diandaikan tidak dibuat di bawah Perkara 43(2)(a).

“Ia berikutan itu adalah sumber kuasa pelantikan yang tertakluk pada syaratnya dan pasti juga bukan di bawah perenggan (b) Perkara yang sama kerana Parlimen tidak dibubarkan ketika ini.

“Jika lantikan dibuat mengikut Perkara 43(2)(a), itu bukanlah bersifat interim dan ‘caretaker’ kerana peruntukan itu merujuk kepada pelantikan penuh yang dibaca bersama dengan Fasal (6).

“Perkara 43(6) iaitu sebelum seseorang Menteri menjalankan fungsi jawatannya, beliau hendaklah mengangkat dan menandatangani di hadapan Yang di-Pertuan Agong, sumpah jawatan, sumpah setia dan sumpah simpan rahsia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam.

“Hakikatnya, pelaksanaan tugas Perdana Menteri interim dan ‘caretaker’ seperti diperkenankan kepada Muhyiddin semalam bersifat sementara atau interim.

“Jika tidak dibuat di bawah Perkara 43(2), maka punca kuasanya berlandaskan prerogatif Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Wan Ahmad Fauzi berkata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai prerogatif untuk membolehkan tugas tertentu dilaksanakan pihak lain, tertakluk kepada undang-undang Persekutuan bagi maksud pelantikan di luar kerangka Perkara 43.

“Pelaksana tugas Perdana Menteri ‘caretaker’ atau interim terhad pada tugas pentadbiran, tempoh dan tertakluk pada fungsi kuasa eksekutif yang diperuntukkan secara nyata oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Sumber kuasa seperti tugas berkenaan boleh dikurniakan baginda di bawah Perkara 39, yang dibaca bersama prerogatif yang terpelihara menurut Perkara 181(1),” katanya. BH

Dua kaedah pelantikan Perdana Menteri

Muhyiddin ‘jatuh’, langkah Azmin, Zuraida jadi tumpuan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker